Wednesday 6 June 2018

UMNO Perlu Tampil Pemimpin Baru, Zainal Abidin Osman Umum Tidak Bertanding Sebarang Jawatan


NIBONG TEBAL, 6 Jun – Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Pulau Pinang, Datuk Seri Zainal Abidin Osman hari ini mengumumkan tidak akan menawarkan diri untuk bertanding dalam sebarang jawatan baik di peringkat Bahagian mahupun Majlis Tertinggi (MT) pada pemilihan parti UMNO akan datang.

Sehubungan itu, beliau akan melepaskan jawatan sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Pulau Pinang berkuatkuasa pada tarikh lantikan muka baru bagi memastikan penyerahan tugas dalam keadaan tersusun dan penuh tertib.

“Pengganti saya sebagai Ketua UMNO Bahagian Nibong Tebal yang baru akan dipilih oleh para perwakilan dalam Persidangan UMNO Bahagian Nibong Tebal yang akan diadakan pada 30 Jun nanti.

“Ini kerana saya merasakan satu keperluan terdesak untuk UMNO menampilkan muka-muka baru di barisan pimpinan peringkat Bahagian, Negeri dan Pusat. Adalah sukar untuk mengurangkan kebencian kepada pemimpin dan parti UMNO sekiranya semua wajah-wajah yang serupa kekal. Suara-suara baru yang lantang berani dan segar perlu diberi ruang untuk menjadi pembangkang yang berkesan dan akhirnya boleh mengembalikan keyakinan rakyat kepada UMNO.

“Justeru, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua yang telah membantu dan menyokong saya selama ini sebagai ahli Majlis Tertinggi, Pengerusi Badan Perhubungan, Ketua Bahagian dan semasa saya menjadi Naib Ketua Bahagian dalam tempoh masa 25 tahun. Dengan DNA dan pengalaman yang ada saya akan terus kekal bersetia dalam perjuangan UMNO dan akan terus membantu parti dalam kapasiti tidak rasmi,” ujar beliau dalam satu kenyataan media.

Beliau turut memohon maaf atas apa-apa kekurangan dan kesilapan sewaktu menjalankan amanah dan tanggungjawab yang dipikul.

“Sepanjang perjuangan, sehabis daya saya telah cuba berikan yang terbaik, terutama kepada Bangsa Melayu dan Agama Islam di Pulau Pinang.

“Terima kasih juga kepada rakan-rakan media yang telah meberikan kerjasama dan sokongan selama ini,” ujar beliau lagi. – MediaUMNO

0 comments:

Post a Comment