Thursday 6 September 2018

Dr Maszlee Wajar Istiqamah Tunai Janji Universiti Bebas Campur Tangan Politik


PELANTIKAN MENTERI PENDIDIKAN SEBAGAI PRESIDEN UNIVERSITI ISLAM ANTARABANGSA 

WAJAR ISTIQAMAH DENGAN JANJI UNIVERSITI BEBAS CAMPUR TANGAN POLITIK – FOKUS KEPADA TUGASAN DAN AMANAH SEDIA ADA

1. YB Dr Maszlee Malik, Menteri Pendidikan Malaysia wajar menilai semula kewajaran menerima pelantikan sebagai Presiden UIAM yang baru. Setelah diteliti, pelantikan ini kelihatan sangat bercanggah dengan komitmen dan tekad beliau untuk membebaskan universiti sama sekali daripada campur tangan politik. Kenyataan ini berulang kali beliau sebutkan di dalam media massa – dan ianya wajar dianggap sebagai paksi dan teras pembaharuan yang mahu beliau bawa dalam suasana politik dan pentadbiran serba baru.

2. Apakah dengan tanggungjawab sedia ada, menggalas amanah menjaga dua (2) buah portfolio Kementerian (Pengajian Tinggi dan Pendidikan) memberikan beliau masa untuk menjayakan peranan berkesan sebagai Presiden UIAM. Kalaupun mungkin jawatan Presiden UIAM ini bersifat istiadat dan bukan ‘operational’ – ianya masih memerlukan masa dan perhatian khusus oleh seseorang yang lebih layak dan wajar diberikan tempat.

3. YB Dr Maszlee Malik wajar mengotakan janji untuk tidak melibatkan diri sama sekali di dalam pentadbiran universiti. Menteri Pendidikan wajar istiqamah dan bersungguh mengotakan janji dan komitmen yang beliau sendiri ucapkan selama ini. UIAM punya cukup calon berwibawa untuk dipertimbangkan untuk mengisi jawatan sebagai Presiden. Sebagai contoh, kenapa tidak individu terhormat seperti YBhg Tan Sri Prof. Dr. Mohd Kamal Hassan dilantik sebagai Presiden UIAM. Tan Sri Prof Dr. Mohd Kamal mempunyai wibawa dan kredibiliti – untuk meletakkan UIAM di persada kecemerlangan yang berterusan. Sumbangan Tan Sri Prof Kamal kepada UIAM sememangnya diakui bukan sahaja di Malaysia, malahan di pentas antarabangsa.

4. YB Dr Maszlee Malik mempunyai potensi untuk membawa pembaharuan kepada sistem pendidikan negara – sekiranya beliau tidak kesasar dengan menerima amanah yang berlebihan. Kita harap beliau dapat memberikan fokus dan perhatian kepada beban tanggungjawab sedia ada; dan tidak berdolak-dalik dalam memberi justifikasi kepada kewajaran beliau menerima pelantikan di universiti seperti ini.

5. Rakyat Malaysia mengharapkan para Menteri yang berpegang kepada janji perubahan. Amatlah tidak wajar, seorang Menteri membohongi dan mendustai komitmen yang telah beliau sendiri nyatakan secara berulang kali. Pandangan bahawa Presiden UIAM wajar dilantik di kalangan ilmuwan dan ahli akademik juga pernah disuarakan Majlis Perwakilan Mahasiswa (MPM) dan Persatuan Kakitangan Akademik (UIAM) sendiri. Justeru, tindakan paling wajar dan tepat buat Menteri Pendidikan – adalah menolak jawatan tersebut dengan penuh hormat dan takzim. ”Dr Maszlee – this time, please be honorable with your words”

DATO’ SRI REEZAL MERICAN NAINA MERICAN
Ahli Parlimen Kepala Batas

0 comments:

Post a Comment