Sunday 9 September 2018

Masalah EIA Berkaitan PIL-1, PTMP Membimbangkan ?


PULAU PINANG - Meskipun masih belum berjalan, Projek Le­buh Raya Pan Island Link 1 (PIL-1) dan SRS berkaitan Pe­lan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP) dikatakan tetap mengundang kebimbangan da­lam kalangan pelbagai pihak.

Projek itu juga terus mendapat bantahan khususnya daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berhubung risiko terhadap alam sekitar serta orang awam termasuk kumpulan penduduk yang dijangka terjejas akibat projek tersebut.

Berikutan itu, Penang Forum telah mengutus sepucuk surat kepada Bahagian Penilaian-Sekretariat Laporan Kajian Impak Alam Sekitar (EIA), Jabatan Alam Sekitar di Putrajaya untuk memaklumkan mengenai perkara tersebut semalam.

Dalam surat itu, mereka me­nyatakan terdapat sekurang-ku­rangnya 14 kebimbangan melibatkan EIA berkaitan projek PIL-1 dan PTMP.

Antaranya, projek tersebut bu­kan jalan penyelesaian jangka panjang bagi masalah trafik yang dihadapi oleh penduduk Pulau Pinang selain risiko pembinaan terowong dalam projek PIL-1 yang dikatakan tidak diambil kira secukupnya.

“Laporan (EIA) juga tidak mengkaji mengenai impak pembinaan terowong terhadap aliran air bawah tanah manakala kesan dan akibat daripada ‘senario kes terburuk’ serta ‘peningkatan kos mengejut’ juga tidak dibincangkan.

“Pada masa yang sama, tiada persediaan yang secukupnya dibuat untuk pengurusan tapak kerja dan laporan berkaitan juga tidak menyebut mengenai langkah menangani impak kepada komuniti yang terjejas dengan secukupnya,” kata satu kenyataan yang dipetik daripada surat tersebut.

Kebimbangan lain termasuk tiada langkah mitigasi diberikan kepada sekolah, perniagaan dan penduduk yang terjejas secara langsung, rujukan asas atau baseline pencemar bergas yang dilaporkan rendah serta tiada laporan mengenai dakwaan tidak berasas mengenai penambahbaikan masa perjalanan.

Perkara lain yang membimbangkan mereka ialah mengenai laporan yang didakwa mengabaikan perubahan iklim serta tiada struktur warisan yang terjejas selain kegagalan untuk mengakui terdapat kesan impak visual susulan pelaksanaan projek berke­naan.

Selain itu, mereka mendakwa, terdapat juga laporan yang mengabaikan sepenuhnya kemungkinan bencana akibat kekurangan penguatkuasaan serta persoalan dari segi kos penyelenggaraan dan kecekapan institusi sedia ada untuk menguruskan operasi projek tersebut.

Terdahulu, Penang Forum me­nganjurkan forum terbuka bertajuk ‘Apakah yang Dimaksudkan dengan PIL & PTMP?’ di Dewan Sri Penang di sini semalam, yang dihadiri oleh lebih 200 peserta yang terdiri daripada wakil NGO, orang perseorangan, penduduk terjejas serta orang ramai yang berminat untuk mengetahui projek terbabit.

Pada forum itu, Pengerusi Pe­nang Hospice Society, Datuk Dr. Sharom Ahmat bertindak sebagai moderator manakala ahli-ahli panelnya terdiri daripada Ahli Jawatankuasa Pemandu Penang Forum, Khoo Salma Nasution dan Dr. Lim Mah Hui; Presiden Penang Heritage Trust (PHT), Lim Gaik Siang dan saintis, Dr. Kam Suan Pheng.

Difahamkan, forum untuk orang awam itu antara yang terakhir diadakan untuk mendapatkan maklum balas bertulis daripada orang awam iaitu 7 September depan kini tinggal kurang daripada dua minggu sahaja. - Utusan Online

0 comments:

Post a Comment