Sunday 27 January 2019

Lebih Banyak Kejayaan Jika UMNO, PAS Terus Bersama


KULIM 27 Jan. - UMNO dan Pas akan memperoleh lebih banyak kejayaan terutamanya dalam pilihan raya sekiranya pucuk pimpinan kedua-dua parti itu terus berbincang secara berhemah bagi menangani setiap masalah yang timbul.

Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang, Muhamad Yusoff Mohd. Noor berkata, kemenangan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Cameron Highlands, semalam boleh dijadikan panduan untuk kejayaan yang lain.

“Inilah hasil muafakat antara pemimpin Pas dan UMNO, sekiranya akar umbi terus berbalah amat sukar untuk mencapai kejayaan itu,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Terdahulu, Muhamad Yusoff yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Dua, Pulau Pinang merasmikan Pertandingan Boling Mahabbah Pas dan UMNO 2019 yang dianjurkan UMNO Bahagian Tasek Gelugor dan Pas kawasan itu di sini hari ini.

Yang turut hadir, Yang Dipertua Pas Kawasan Tasek Gelugor, Khalid Man dan Timbalannya, Zahidi Mohamad.

Sementara itu, Muhamad Yusoff berkata, orang Melayu terpaksa berhadapan dengan pelbagai cabaran apabila banyak parti politik diwujudkan.

“Setakat ini, kita berpecah antara satu sama lain dan kedudukan orang Melayu juga sering diperlekeh pihak-pihak tertentu apabila kita berada dalam keadaan yang tidak stabil.

“Justeru itu, kejayaan BN di Cameron Highlands adalah langkah awal dan kemenangan PRK DUN Semeyih akan menyusul sekiranya permuafakatan itu masih lagi sempurna,” katannya. - UTUSAN ONLINE

0 comments:

Post a Comment