Thursday 7 February 2019

Ke Mana Hala Tuju Generasi Muda Di Bawah Kerajaan PH?


PULAU PINANG 7 Feb. – Pemuda UMNO Nibong Tebal mempersoal rancangan dan hala tuju bagi generasi muda di bawah kerajaan Pakatan Harapan (PH) khususnya menerusi Kementerian Belia dan Sukan yang diterajui Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Ketuanya, Mohd. Norhiesam Ismail berkata, sehingga kini iaitu selepas sembilan bulan PH mengambil alih kerajaan, tiada sebarang perubahan dapat dilihat sebaliknya Syed Saddiq hanya meneruskan legasi yang ditinggalkan kerajaan Barisan Nasional (BN) terdahulu.

Apa yang mengecewakan, jelas beliau, banyak janji yang dibuat kerajaan PH khusus kepada golongan muda seperti pemansuhan PTPTN; satu juta peluang pekerjaan; perumahan golongan muda dan pengurangan kos sara hidup gagal ditunaikan.

Lebih parah, tambahnya, Bantuan Rakyat 1Malaysia (BRIM) kepada golongan muda yang berpendapatan di bawah RM2,000 juga dimansuhkan kerajaan PH sekali gus menimbulkan persoalan apa manfaat yang diperoleh golongan itu di bawah kerajaan baharu.

Selain itu, ujarnya, pelbagai isu dan kemelut di Kementerian Belia dan Sukan juga gagal ditangani dengan baik seperti isu peletakan jawatan dan masalah elaun atlet, program belia yang terlalu perlahan dan banyak lagi.

“Sedarkah Syed Saddiq, golongan muda semakin merungut, resah dan bimbang dengan masa depan mereka di bawah kerajaan PH hari ini? Sebagai Menteri yang dipertanggungjawabkan untuk menjaga hal ehwal golongan muda, dengarlah denyut nadi golongan ini. 

“Usahlah berbangga dengan populariti mempunyai pengikut Instagram yang ramai sebaliknya turunlah ke akar umbi berjumpa anak-anak muda di kampung serta pinggir bandar dan melihat betapa susahnya mereka meneruskan kehidupan walaupun sebelum ini yakin janji manis PH akan menggembirakan mereka,” katanya di sini hari ini.

Sehubungan itu, Mohd. Norhiesam mengingatkan Syed Saddiq yang mana generasi muda hari ini akan terus menuntut janji-janji yang dibuat kerajaan PH khusus untuk mereka sebelum pilihan raya umum lalu.

Katanya, kerajaan PH perlu bersedia untuk ditolak sekiranya terus berdolak-dalik dan memungkiri janji mereka dan kuasa anak-anak muda mampu membuat keputusan luar biasa seperti dibuktikan mereka ketika menukar kerajaan pada pilihan raya umum lalu. – UTUSAN ONLINE

0 comments:

Post a Comment