Thursday, 28 March 2019

Kegiatan Korek Pasir Jejaskan 2,000 Nelayan Pulau Pinang


GEORGETOWN: Hampir 2,000 nelayan di Pulau Pinang mendakwa terjejas teruk akibat kegiatan mengorek pasir di perairan berhampiran Weld Quay di sini.

Kegiatan mengorek pasir menggunakan eskavator dan kapal korek yang bermula sejak bulan lalu, dikatakan menyebabkan tangkapan nelayan dari Batu Uban di sini hingga Teluk Bahang, Balik Pulau, berkurangan hingga 50 peratus.

Kerja mengorek pasir bermula jam 10 pagi hingga lewat malam dan pasir kemudiannya dilonggokkan di Macallum, Sungai Pinang di sini.

Pengerusi Persatuan Nelayan Pulau Pinang (PEN Mutiara), Nazri Ahmad, berkata pihaknya tidak pasti sama ada kegiatan itu mendapat kebenaran Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian (JKPTG) atau sebaliknya.

Berikutan itu, pihaknya sudah membuat laporan kepada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) tetapi tiada tindakan diambil kerana kegiatan itu dilakukan di kawasan perairan kurang dari tiga batu nautika dari pantai.

“Kegiatan itu dilakukan pada jarak kurang satu batu nautika dari pesisir pantai. Maritim Malaysia juga memaklumkan kawasan perairan kurang dari tiga batu nautika adalah bukan di bawah bidang kuasa agensi itu," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Persatuan Nelayan Selatan Pulau Pinang, Arshad Omar.

Nazri mendakwa tiada sebarang makluman berkaitan kegiatan itu dikemukakan kepada nelayan sebelum kerja mengorek pasir dilakukan, selain mendakwa tidak mendapat sebarang maklum balas daripada JKPTG.

Katanya, pihaknya juga tidak pasti sama ada pasir itu akan digunakan untuk tambakan laut atau projek lain.

“Kami mendapati kerja mengorek pasir dihentikan apabila bot Maritim Malaysia meronda di kawasan berkenaan,” katanya.

Nazri mendakwa jumlah tangkapan nelayan turun mendadak sejak kegiatan itu bermula, selain hasil laut yang didaratkan dikhuatiri tercemar dengan pelbagai bakteria.

“Ini kerana, selut di kawasan ini dikenal pasti tercemar dengan bakteria patogenik Escherichia coli (E.coli) dan salmonella,” katanya.

Sementara itu, Arshad menggesa JKPTG menyiasat kegiatan itu, selain mengeluarkan arahan pemberhentian kerja serta-merta kerana ia mengakibatkan pencemaran kawasan perairan Pulau Pinang.sumber Berita Harian


0 comments:

Post a Comment