KUALA LUMPUR, 22 April – Barisan Nasional (BN) memutuskan tidak akan meletakkan calon di Pilihan Raya Kecil (PRK) Sandakan.
Timbalan Pengerusinya, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, ini kerana kerusi tersebut selama ini telah diwakili oleh rakan BN daripada parti tempatan Sabah dan BN belum bersedia untuk mengambil alih.
“Selama ini kerusi itu wakilnya dari parti tempatan Sabah, jadi kita masih belum bersedia untuk mengambil bahagian di PRK Sandakan.
“Tetapi kita akan lihat dulu mahu beri sokongan kepada pihak mana yang ambil bahagian dalam PRK itu setelah proses penamaan calon nanti,” ujar beliau kepada media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi BN.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 27 April ini sebagai tarikh penamaan calon bagi PRK Parlimen Sandakan manakala 7 Mei untuk pengundian awal dan 11 Mei depan sebagai tarikh pengundian biasa berikutan kematian penyandangnya, Datuk Stephen Wong Tien Fatt akibat serangan jantung pada 28 Mac lepas.
Selain itu jelas Mohamad, beberapa perkara lain turut telah dibincangkan antaranya berkenaan prestasi dan gerak kerja yang telah dilakukan di PRK Rantau baru-baru ini.
“Kita amat sukacita kerana gerak kerja antara semua parti komponen yang menurunkan semua jentera mereka dan gerak kerja yang terancang ini telah menghasilkan keputusan yang baik.
“Selain itu BN telah mengambil sebeberapa banyak signal-signal yang perlu dipelajari daripada keputusan tersebut tapi apa yang perlu disebutkan di sini adalah BN tidak akan terbawa-bawa dengan kemenangan di Rantau kerana masih banyak perkara yang perlu dilakukan untuk memperbaiki jentera dan seterusnya untuk memperkasakan parti dan menyusun strategi bagi menghadapi PRU-15,” katanya. – MediaUMNO
0 comments:
Post a Comment