Tuesday 16 April 2019

Buka Semula Siasatan SPRM Libatkan Kontroversi Terowong Dasar Laut


PULAU PINANG 16 April - Pemuda UMNO Bahagian Nibong Tebal mendesak supaya siasatan terhadap bekas Ketua Menteri, Lim Guan Eng berhubung isu terowong dasar laut diteruskan mengambil kira beberapa faktor dan kepentingan munasabah.

Ketuanya, Mohd. Norhiesam Ismail berkata, antara faktor itu adalah pendakwaan melibatkan seorang ahli perniagaan, G. Gnanaraja yang dituduh dimahkamah baru-baru ini yang merupakan perkara amat serius terhadap integriti dan ketelusan projek tersebut.

Katanya, pertuduhan itu jelas membuktikan sememangnya terdapat unsur-unsur yang tidak sepatutnya dalam isu projek berkenaan.

“Pertuduhan tersebut juga menimbulkan persoalan bagaimana Guan Eng yang kini Menteri Kewangan tidak dikenakan sebarang tindakan mahupun ditahan untuk disoal siasat.

“Amat malang apabila pentadbiran Kerajaan Pusat bertukar tangan, isu terowong terus ‘didiamkan’ sedangkan perkara ini sudah dalam siasatan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Menurut Mohd. Norhiesam, penduduk negeri ini sejak sekian lama mengharapkan kepada kebenaran berkaitan isu terowong itu apatah lagi duit rakyat dilihat ditelah dibazirkan begitu sahaja.

“Jangan hanya pandai menuduh dan menyalahkan Kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini sebagai perompak, penyamun dan sebagainya kononnya terpalit dengan pelbagai isu.

Sebelum ini, Gnanaraja berhadapan dengan tiga pertuduhan rasuah RM19 juta melibatkan penipuan menutup kes berkaitan projek terowong itu.

Pertuduhan pertama adalah menipu Pengarah Urusan Consortium Zenith Construction Sdn. Bhd., Zarul Ahmad Mohd. Zulkifli yang mana beliau akan membantu menutup siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan mendorong diberikan RM2 juta pada Julai 2017.

Pertuduhan kedua pula pada tarikh 25 Julai yang mana dia didakwa menipu pihak sama dengan mendorong diberikan RM15 juta manakala pertuduhan ketiga pada Ogos 2017 mendorong pihak sama memberinya RM2 juta untuk menutup kes SPRM di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram 2001.

Projek terowong dasar laut dan tiga lebuh raya bernilai lebih RM6 bilion yang dirancang Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah disiasat SPRM selepas dikaitkan dengan pelbagai kontroversi khususnya berhubung kos kajian kebolehlaksanaan projek tersebut. - UTUSAN ONLINE

0 comments:

Post a Comment