Tuesday 30 April 2019

OBOR : ‘U-Turn’ PH Buktikan Inisiatif BN Sebelum Ini Tepat – Shahril


KUALA LUMPUR, 30 April – Pemuda UMNO melihat tindakan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan kerajaan Pakatan Harapan (PH) membuat ‘U-turn’ bagi projek pelaburan China menerusi inisiatif ‘One Belt, One Road’ (OBOR) membuktikan kerajaan pimpinan Barisan Nasional (BN) sebelum ini membuat keputusan tepat untuk turut serta di dalam inisiatif tersebut yang boleh memberi pulangan besar kepada negara.

Naibnya, Shahril Sufian Hamdan berkata walaupun Tun Mahathir sebelum ini menyatakan bahawa banyak perjanjian pelaburan yang dibuat sebelum ini adalah tidak telus dan berat sebelah yang tidak menguntungkan Malaysia, namun perkara tersebut masih menjadi pertikaian dan menimbulkan persoalan.

“Sebagaimana kenyataan dahulu bahawa projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) adalah bagi menutup skandal 1MDB, sehingga kini tiada apa-apa bukti yang ditunjukkan oleh kerajaan PH untuk menunjukkan kaitannya,” katanya kepada UMNO-Online, di sini hari ini.

Sambung Shahril lagi, oleh yang demikian seharusnya kerajaan PH menunaikan janji yang telah dibuat di dalam manifesto mereka iaitu untuk menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi merungkai persoalan sebenar.

Ternyata tegas beliau, apa yang dilakukan selama ini oleh kerajaan PH tidak merungkai persoalan sewajarnya.

“Skrip yang berulangkali digunakan dalam menyalahkan kerajaan terdahulu tidak akan menemui noktah penamat sekiranya dakwaan-dakwaan ini tidak disusuli dengan siasatan penuh badan bebas seperti RCI ini,” tambahnya.

Pada 13 Ogos tahun lalu, sebuah media arus perdana memetik temubual eksklusif Tun Mahathir bersama Associated Press (AP) yang mengatakan perdana menteri itu sedang mempertimbangkan untuk membatalkan semua projek pembangunan infrastruktur yang disokong oleh China.-MediaUMNO

0 comments:

Post a Comment