Monday 22 April 2019

PAU Khas Pinda Perlembagaan Nov Ini, Mesyuarat UMNO Cawangan, Bahagian Dilanjut Ke 30 Mei & 15 Ogos 2019


KUALA LUMPUR, 22 April – Perhimpunan Agung UMNO (PAU) akan diadakan pada 13–16 Nov depan dengan satu hari akan diperuntukkan bagi Perhimpunan Agung UMNO Khas (EGM) untuk membolehkan Perlembagaan parti dipinda, kata Timbalan Presiden yang menjalankan tugas-tugas Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Katanya, UMNO memerlukan satu hari ekstra bagi membolehkan Perlembagaan parti dipinda.

“Kita telah pun bersetuju PAU diadakan pada tarikh 13 Nov (Rabu) – 16 Nov kerana memerlukan satu hari ekstra untuk mengadakan EGM yang mana parti sekarang sedang dalam proses untuk meminda Perlembagaan parti.

“… untuk menyesuaikan Perlembagaan parti yang mana kita ada sekarang bukan sebagai parti kerajaan, dulu kita punya Perlembagaan terlampau rigid, kita punya cadangan untuk pinda antara lainnya adalah membuka seluas-luasnya kepada orang ramai untuk menjadi ahli UMNO, untuk memberikan lebih banyak kemudahan mereka masuk sebagai ahli contohnya kita akan aktifkan kita punya keahlian UMNO-Online yang sudah dimodify dan boleh masuk dalam minggu depan.

“Banyak lagi tentang Perlembagaan terutamanya kita nak berikan kuasa autonomi sepenuhnya kepada UMNO Sabah yang mana ia menggambarkan situasi politik semasa di Sabah.”

Katanya, adalah lebih sustainable untuk jangka masa yang panjang UMNO Sabah ini diberikan status autonomi sepenuhnya agar mereka dapat urus parti di peringkat Sabah sendiri.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi UMNO di Ibu Pejabatnya, Menara Dato Onn, hari ini.

Dalam masa yang sama beliau turut memaklumkan tarikh mesyuarat UMNO peringkat Cawangan yang sedang berlangsung sekarang ini dilanjutkan sehingga ke 30 Mei depan.

“Jika dulu tempoh mengadakan mesyuarat Cawangan diberikan daripada 15 Feb-30 April tetapi telah dipanjangkan untuk memberikan lebih banyak ruang dan masa kepada cawangan dan bahagian mengurus menyuarat-mesyuarat tersebut, dipanjangkan daripada 15 Feb kepada 30 Mei. Ini ada masa lagi.”

Katanya, ini memandangnya ada Pilihan Raya Kecil (PRK) Rantau dan penyertaan daripada banyak bahagian-bahagian dalam Negeri Sembilan sendiri dan juga dokongan daripada bapa-bapa angkat di seluruh negara termasuk Perhubungan UMNO Negeri juga menghantar banyak jentera dalam PRK tersebut.

“Mereka juga terlibat secara langsung dalam PRK Rantau, maka pihak pengurusan UMNO dan telah dipersetujui oleh pihak Majlis Kerja Tertinggi UMNO untuk kita memanjangkan tempoh untuk mengadakan mesyuarat di cawangan masing-masing supaya dapat memberikan ruang kepada cawangan-cawangan agar tidak tergesa-gesa mengadakan mesyuarat di kawasan masing-masing.”

Dalam masa yang sama, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau memaklumkan tarikh baru mesyuarat UMNO peringkat Bahagian.

“Untuk memberikan banyak pemimpin-pemimpin parti turun ke peringkat bawah di mesyuarat Bahagian nanti… bagi menerangkan isu-isu semasa dan memberikan semangat kepada pemimpin-pemimpin di akar umbi di peringkat bahagian-bahagian, maka mesyuarat UMNO Bahagian turut dipanjangkan daripada 15 Jun sehingga 15 Ogos 2019,” katanya lagi. – MediaUMNO

0 comments:

Post a Comment