Saturday 27 April 2019

Penduduk Bimbang Pembinaan Lebuh Raya Rentas Kediaman, Teroka Bukit


PULAU PINANG 26 April - Penduduk di kawasan Green Lane di sini melahirkan kebimbangan dengan aspek keselamatan mereka berhubung projek pembinaan jalan pintas Lebuh Raya Air Itam-Tun Dr Lim Chong Eu yang bakal bermula 31 Ogos ini.

Beberapa penduduk mendakwa, mereka tidak menyangka projek lebuh raya sepanjang 5.7 kilometer itu akan dimulakan tidak lama lagi iaitu dalam keadaan majoriti mereka tidak dimaklumkan khususnya berkenaan aspek keselamatan sepanjang projek berjalan.


Malah, menurut mereka, kali terakhir laporan awam berkenaan projek itu didedahkan kepada penduduk ialah pada 2014 yang mana ketika itu, hanya lima penduduk yang mengambil bahagian.

Seorang penduduk, Tan Wei Loon, 36, berkata, kebimbangan utamanya adalah penerokaan beberapa kawasan bukit bagi memberi laluan kepada projek lebuh raya itu antaranya Bukit Tembaga.

Katanya, penerokaan kawasan bukit itu dikhuatiri akan menyebabkan bencana alam seperti tanah runtuh dan banjir lumpur sekali gus meletakkan nyawa ribuan penduduk di kawasan tersebut dalam risiko.

Malah, katanya, kejadian tanah runtuh bukan perkara asing di kawasan Green Lane yang mana pernah berlaku di Bukit Tembaga dua tahun lalu akibat hujan lebat sekali gus membayangkan keadaan tanahnya yang tidak sesuai untuk sebarang projek pembinaan.

“Kami sebenarnya tidak mendapat gambaran jelas mengenai projek lebuh raya yang bakal merintangi kediaman kami ini terutama dari aspek jaminan keselamatan sama ada ketika projek berjalan atau selepas siap sepenuhnya.

“Kami juga pernah menghantar notis kepada kerajaan negeri supaya satu sesi perbincangan bersama penduduk mengenai projek ini diadakan, namun sehingga kini tidak mendapat maklum balas,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Sementara itu, seorang lagi penduduk, Fatimah Mohamad Abdullah, 65, berkata, projek tersebut bakal memberi impak besar kepada penduduk memandangkan ada kediaman yang hanya berjarak antara 100 hingga 200 meter dari lebuh raya berkenaan.

Selain itu, tambah beliau, penerokaan beberapa kawasan bukit bagi memberi laluan kepada pelaksanaan projek tersebut kelak juga akan mengganggu ekosistem khususnya fungsi kawasan hutan sebagai tadahan air semula jadi.

“Penduduk akan merasai kesan buruk dan risiko keselamatan ini secara jangka panjang apatah lagi dengan dua sejarah tragedi tanah runtuh akibat projek pembinaan yang meragut nyawa berlaku di negeri ini sebelum ini,” katanya. - UTUSAN ONLINE

0 comments:

Post a Comment