Tuesday, 16 April 2019

Projek PIL 1: JAS Ambil Tindakan Jika Pulau Pinang Langgar Syarat


KUALA LUMPUR: Jabatan Alam Sekitar (JAS) akan mengambil tindakan undang-undang jika kerajaan Pulau Pinang gagal mematuhi semua 56 syarat ditetapkan bagi projek pembinaan Lebuh Raya Pan Island Link 1 (PIL 1).

Ketua Pengarahnya, Datuk Dr Ahmad Kamarulnajuib Che Ibrahim, berkata projek berkenaan diluluskan dengan bersyarat susulan laporan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) yang dihantar kepada jabatan terbabit pada 2 Januari lalu.

Katanya, projek diumum bernilai RM7 billion diselia dan dilaksanakan sepenuhnya di bawah kerajaan negeri dan JAS hanya memberi maklum balas terhadap laporan EIA yang dibuat sebelum ini.

“Projek berkenaan di bawah seliaan kerajaan negeri yang perlu memastikan (kelulusan) syarat yang ditetapkan dipatuhi. Jika tidak, JAS boleh mengambil tindakan berdasarkan undang-undang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas majlis pelancaran Anugerah Bunga Raya Perdana Menteri (PMHA) 2019/2020 oleh Timbalan Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Isnaraissah Munirah, di sini hari ini.

Semalam, JAS dilapor memberi kelulusan bersyarat bagi melaksanakan pembinaan Lebuh Raya PIL 1 yang dimaklumkan kepada kerajaan negeri pada 10 April lalu, selepas melalui penilaian dan pertimbangan Jawatankuasa Teknikal Penilaian Laporan EIA.

PIL 1 adalah sebahagian daripada projek mega Pelan Induk Pengangkutan (PIP) Pulau Pinang, membabitkan pembinaan sistem pengangkutan awam bersepadu dan tiga lebuh raya, selain projek terowong dasar laut yang menghubungkan Bagan Ajam di tanah besar serta Persiaran Gurney di sebelah pulau.

Mengenai Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), Ahmad Kamarulnajuib berkata, setakat ini JAS masih belum menerima permohonan EIA bagi jajaran baharu ECRL kerana pengumumannya baru dibuat beberapa hari lalu.

“Bagi jajaran baharu ECRL, masih belum ada EIA dibuat memandangkan ia baru diumum kerajaan (perubahan jajaran baharu),” katanya.

Ditanya sama ada perubahan jajaran itu mungkin disebabkan jajaran lama yang merentasi Banjaran Titiwangsa tidak mendapat kelulusan EIA, beliau berkata, perkara itu tidak berbangkit kerana laporan EIA bagi projek yang dicadangkan sebelum ini sudah mendapat kelulusan.

“Perubahan jajaran mungkin disebabkan faktor lain,” katanya.


0 comments:

Post a Comment