Wednesday 3 April 2019

Skandal Terowong Pulau Pinang: Ahli Perniagaan Di Dakwa Tipu RM19 Juta


SHAH ALAM: Seorang ahli perniagaan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tiga pertuduhan menipu seorang pengarah urusan membabitkan RM19 juta berhubung siasatan projek terowong dasar laut Pulau Pinang, dua tahun lalu.

MG Gnanaraja, 38, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Rozilah Salleh.

Dia didakwa memperdayakan pengarah urusan Consortium Zenith Construction Sdn Bhd untuk mempercayai bahawa dia boleh membantu mangsa menutup siasatan yang dimulakan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap mangsa di bawah Akta Pencegahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Consortium Zenith Construction adalah kontraktor utama bagi projek terowong dasar laut itu.

Sehubungan itu, tertuduh didakwa dengan curangnya mendorong pengarah urusan terbabit menyerahkan kepadanya wang tunai RM4 juta dan RM15 juta melalui transaksi akaun Maybank milik Syarikat Visione Construction Sdn Bhd ke akaun CIMB Bank milik Syarikat Bumi Muhibbah Capital Holding Sdn Bhd.

Gnanaraja didakwa melakukan kesemua kesalahan di sebuah hotel di Damansara dan sebuah bank di Jalan Ampang, Kuala Lumpur, pada Julai dan Ogos 2017, dan dituduh mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara satu hingga 10 tahun serta sebatan dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Datuk Umar Saifuddin Jaafar, yang mengendalikan pendakwaan menawarkan Gnanaraja diikat jamin RM100,000 dengan seorang penjamin selain syarat tambahan pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah.

Peguam Datuk Geethan Ram Vincent yang mewakili tertuduh tidak membantah tawaran jaminan itu.

Mahkamah membenarkan tertuduh dibebaskan dengan jaminan RM100,000 serta seorang penjamin dan menetapkan 6 Mei ini untuk sebutan semula kes.

Hakim turut memerintahkan tertuduh menyerahkan pasportnya kepada mahkamah sehingga kes selesai.

Menurut sumber SPRM sebelum ini, tertuduh ditahan pada Februari tahun lalu selepas didakwa menerima wang berjumlah RM19 juta daripada syarikat pembinaan projek terbabit selepas dikatakan mampu menyelesaikan siasatan yang dijalankan SPRM. - BERNAMA

0 comments:

Post a Comment