KUANTAN, 27 April – Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata jelajah perpaduan ummah yang diusahakan oleh UMNO dan PAS berperanan sebagai medium penerangan kepada rakyat mengenai kepentingan bersatu padu dan demi kesejahteraan negara.
Jelas Mohamad yang menjalankan tugas-tugas presiden parti, ia juga bagi mengelakkan agenda penyatuan ummah disalahfaham serta diputar-belitkan oleh sesetengah pihak yang mempunyai agenda-agenda tertentu.
“Kita tidak mahu agenda penyatuan ummah ini disalahfaham dan diputar-belit oleh orang-orang yang mempunyai agenda-agenda yang tertentu sehinggakan ada yang melabelkan agenda penyatuan ummah ini sebagai deklarasi peperangan terhadap orang bukan Islam dan bukan Melayu.
“Itu bukannya tujuan kita. Kita nak menyatupadukan rakyat Malaysia, yang mana terlebih dahulu kita hendak menyatukan orang Melayu dan orang Islam.
“Jika penduduk yang terbesar di dalam sesebuah negara bersatu padu, negara akan jadi aman damai dan bila negara aman damai, sejahtera maka rakyat bukan Melayu atau bukan kelompok yang disatukan itu akan (turut) dapat menikmati kesejahteraan,” ujarnya dalam sidang media selepas program Himpunan Perpaduan Ummah peringkat negeri Pahang, di sini, malam tadi.
Hadir sama, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.
Turut hadir, Setiausaha Agung UMNO Tan Sri Annuar Musa, Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyudin Hasan serta pemimpin-pemimpin kedua-dua parti dari pelbagai peringkat.
Kira-kira lebih sepuluh ribu rakyat yang berbilang kaum dan agama membanjiri lokasi himpunan di Padang MPK1, di sini.
Tambah Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu lagi, apabila negara aman dan politik stabil maka pelabur luar akan datang melabur ke negara yang stabil politiknya kerana mereka tidak mahu melabur ke negara yang tidak ada ketentuan politik.
“Jadi ini merupakan satu modul yang kita buat agar rakyat dalam negara bersatu padu semula, jangan berpecah kerana pengakhir cerita jika negara kita tidak stabil rakyat juga akan menjadi sebagai orang yang mendapat bahana daripada masalah-masalah tersebut.
“Maka inilah hasrat kita UMNO dan PAS dua parti Melayu terbesar dalam negara mahu melihat supaya penduduk terbesar di negara ini bersatu padu dan tekad untuk pastikan negara yang bertuah ini terus aman dan sejahtera serta menjadi tempat yang baik untuk semua rakyat yang berbilang kaum membina kehidupan,” katanya lagi yang turut bersyukur majlis berjalan dengan baik dan cukup harmoni.
Sehubungan itu, Mohamad turut memberi jaminan bahawa agenda penyatuan ummah bukan agenda meminggirkan sesetengah kelompok dan kaum kerana yang penting perpaduan antara rakyat.
“Jangan bimbang, jangan gundah-gulana, jangan takut… ini agenda untuk kebaikan, bukan agenda bersatu padu untuk memerangi sesiapa. Kita bersatu untuk memastikan orang Melayu tidak rugi di tanah air sendiri.
“Kita tidak ada agenda yang disorok dan kita terangkan pada orang. Ini agenda kita untuk menyatupadukan ummah,” jelasnya lagi.
Kerana itulah tegasnya, fitnah dan adu-domba perlu disingkirkan dalam pemikiran rakyat negara ini. – Media UMNO.
0 comments:
Post a Comment