KEPALA BATAS- Pulau Pinang menjadi negeri ke 11 Program Jelajah Ihya Ramadan yang dihadiri Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajidi Disuki di sini petang tadi.
Bermula dengan program gotong-royong memasak bubur lambuk, sebanyak 500 pek disiapkan dan diedarkan kepada orang ramai di sekitar Taman Bertam Indah di sini.
Program berkenaan diteruskan lagi dengan aktiviti ziarah kasih pemuda di beberapa buah rumah di sekitar Parlimen Kepala Batas selain menyampaikan sumbangan kepada mereka yang memerlukan.
Dr Asyraf berkata, program berkenaan bertujuan untuk menyemarakkan lagi semangat Ramadan dengan turun ke akar umbi.
"Dalam program yang diadakan ini kita mendengar isi hati rakyat yang kebanyakannya tertekan dengan kos sara hidup dan masih lagi menagih janji yang diungkapkan oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH).
"Ketika ini, banyak janji-janji yang dibuat PH gagal dilaksanakan seperti isu pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional ( PTPTN) yang menimbulkan kemarahan orang muda, kos sara hidup yang meningkat, bantuan yang tidak diterima oleh golongan petani dan peladang serta banyak lagi," katanya ketika ditemui media selepas mengedarkan bubur lambuk di Taman Bertam Indah petang tadi.
Turut hadir, Ahli Parlimen Kepala Batas, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.
Mengulas lanjut mengenai program berkenaan, Dr Asyraf berkata pada sebelah malam program berkenaan akan diteruskan dengan majlis berbuka puasa, solat tarawikh dan program santai dan menyantuni anak muda.
Katanya, program sama akan diteruskan lagi di Perak pada esok dan berakhir di Sabah pada hari berikutnya. - Sinar
0 comments:
Post a Comment