Wednesday, 29 May 2019

Kes Adib : Blok Pembangkang Desak Perdana Menteri Pecat Peguam Negara Dan Tubuh RCI


KUALA LUMPUR, 29 Mei – Perdana Menteri didesak untuk memecat Peguam Negara (AG), Tommy Thomas ekoran kegagalannya dalam beberapa isu termasuk menuntut keadilan kepada anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim yang maut ketika menjalankan tugas dalam rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman, Seafield, akhir tahun lalu, tegas Ketua Pembangkang, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakub.

Katanya, Kerajaan juga perlu menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung dengan supaya siasatan secara adil dan teliti kes yang melibatkan kematian ini dapat dijalankan.

“Kami dari blok pembangkang merasakan bahawa pihak Peguam Negara dilihat campurtangan secara terbuka di dalam kes yang melibatkan Adib,” katanya dalam sidang media yang berlangsung di Ibu Pejabat UMNO, hari ini.

Turut hadir pada sidang media tersebut ialah Ketua WHIP BN, Datuk Seri Mahdzir Khalid, Ketua WHIP PAS, Datuk Takiyuddin Hassan, Pengerusi PAC, Datuk Dr Noraini Ahmad dan Peguam PAS, Wan Rohimi Wan Daud.

Jelas beliau, kalau dilihat sejak dari awal selepas kes yang melibatkan rusuhan dan menyebabkan berlaku kecederaan teruk kepada Adib, sewaktu lawatan ke hospital, Perdana Menteri pun menyebut bahawa ada unsur cubaan membunuh terhadap Adib.

“Menteri Dalam Negeri dalam Parlimen mengeluarkan pernyataan menteri (ministerial statement) yang juga menyebut tentang percubaan membunuh malah pihak polis telah mengadakan siasatan dengan memanggil 34 orang saksi dan akhirnya membuat pertuduhan di bawah Seksyen 307 Kanun Kesiksaan iaitu cubaan membunuh, iaitu peringkat awal lagi rakyat telah pun digambarkan bahawa terdapat cubaan membunuh dalam kes melibatkan Adib.

“Selepas kematian Timbalan Ketua Polis membuat pengumuman penyataan bahawa kes yang dibawa seksyen 307 dipinda kepada Seksyen 302 iaitu membunuh dan apabila dihantar kepada AG dan sebagainya, pihak Peguam Negara telah pun memutuskan untuk membuat inkues.”

Terang beliau, membawa kes ini untuk membuat inkues adalah bagi dua tujuan iaitu:
1. Untuk mencari sebab-sebab kematian (cause of death)
2. Sama ada wujud perbuatan jenayah dalam kes yang terlibat.

“Jadi bermakna pihak AG menolak secara langsung siasatan dan juga dapatan (finding) yang dibuat oleh pihak polis. Seolah AG tidak yakin apa yang dilaksanakan oleh polis.

“Apabila inkues dijalankan, pihak mahkamah telah memanggil saksi, dan belum membuat keputusan lagi tentang sebab-sebab kematian ini tetapi malangnya pegawai daripada Jabatan Peguam Negara iaitu Hamdan Hamzah telah membuat afidavit dalam mahkamah mengatakan bahawa sebab kematian Adib bukan disebab dipukul oleh mana-mana, jadi bermakna pihak Peguam Negara mempunyai pemikiran sendiri, telah buat keputusan sendiri sebelum mahkamah membuat keputusan bahawa Adib tidak dipukul… mati bukan kerana dipukul tapi sebab-sebab ada sebab yang lain. Jadi kita dah nampak dah ke arah mana yang nak dibawa oleh Peguam Negara dalam kes Adib ini.

“Jadi kami berpandangan bahawa ianya merupakan satu campurtangan yang amat ketara. Kita boleh baca pemikiran rakyat dan yang di AG ini bahawa dari awal lagi seolah-olag tidak bersetuju bahawa Adib tidak dipukul dan sebagainya,” tegas beliau yang juga Naib Presiden UMNO.

Katanya, dalam perkembangan terbaru apabila peguam Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Syazlin Mansor diarahkan untuk menarik diri, jadi nampak jelas bahawa campurtangan terlalu jelas dalam isu itu.

“Kita berasakan bahawa AG bertindak diluar daripada kuasa yang ada padanya.Ini merupakan kegagalan kepada Peguam Negara dan merupakan sebahagian daripada banyak kegagalan-kegagalan yang telah dilakukan sebelum ini.

“Peguam Negara gagal menasihati kerajaan, gagal menasihat Perdana Menteri sehingga negara telah menandatangai Statut Rom dan akhirnya membatalkannya.

“Ini merupakan satu perkara yang memalukan kepada negara… menunjukkan tidak ada profesionalisme langsung dalam AG menjalankan tanggungjawabnya menasihati undang-undang kepada pihak kerajaan Begitu juga dengan kes-kes lain yang melibatkan AG.”

Pada penghujung November lalu, berpunca daripada salah faham pihak Kuil Sri Maha Mariamman, Seafield, Subang Jaya, Selangor dengan syarikat pemaju One City Development Sdn Bhd (One City), ribuan kaum India telah berkumpul di sekitar Kuil Sri Maha Mariamman, Siefield, Subang Jaya, Selangor.

Ekoran daripada peristiwa itu, rusuhan telah berlaku dan tindak-tanduk perusuh berada di luar jangkaan walaupun pihak pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) berkawal.

Hal ini turut menyebabkan kebakaran kenderaan yang menuntut pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) turun padang pada 27 November sehingga menyebabkan Adib cedera parah dan meninggal dunia selepas 20 hari dirawat. – MediaUMNO

0 comments:

Post a comment