Monday, 20 May 2019

Kuota Matrikulasi Mazlee Dan Isu Diskriminasi Pasaran Kerja Sektor Swasta


Saya sudah lama bawa isu ini. Alhamdulillah kini Menteri Pendidikan Dr Maszlee sudah nampak cahaya kebenaran.

Memang terdapat diskriminasi teruk dalam pengambilan pekerjaan di sektor swasta.

Dalam dua kajian empirikal yang dilaksanakan oleh dua badan bebas yang berlainan, hanya 4 peratus daripada pemohon-pemohon kerja dari kalangan orang-orang Melayu dan India dipanggil untuk temuduga di sektor swasta di Malaysia berbanding 25 peratus untuk kaum lain dengan kelulusan yang sama.

Sebelum ini saya pernah menyarankan kepada kerajaan bahawa jika kerajaan serius untuk menangani masalah diskriminasi, maka mereka perlu menumpukan perhatian kepada sektor swasta kerana di situlah masalah diskriminasi berlaku dengan berleluasa, bukannya di sektor awam dengan polisi superfisial seperti ICERD dan sebagainya yang mahu membubarkan dasar korektif tindakan afirmatif tetapi menutup sebelah mata kepada masalah diskriminasi sebenar di pasaran kerja di sektor swasta.

Jika orang-orang Melayu dan India sukar untuk mendapatkan pekerjaan di sektor swasta akibat didiskriminasi walaupun dengan ijazah dan kelulusan yang tinggi, mereka akan terus tertinggal dan dipinggir dalam masyarakat kerana tidak mempunyai kekuatan ekonomi dan kewangan malah tidak ada pekerjaan.

Saya minta Dr Maszlee bertanya kepada Perdana Menteri Tun Mahathir apa pendapat beliau berkenaan hal ini.

Adakah Tun Mahathir akan kata lagi bahawa Melayu tidak dapat kerja dan didiskriminasi di pasaran kerja sebab mereka malas?

Sebenarnya, orang-orang Melayu didiskriminasi sebab prejudis yang mengatakan mereka malas, bukannya mereka malas sebab itu didiskriminasi.

Apabila seseorang pemimpin yang berpengaruh mengatakan bahawa bangsanya sendiri itu malas, maka ia tidak akan membuatkan bangsa itu tiba-tiba celik menjadi rajin.

Namun sebaliknya ia akan memperkuatkan prejudis kepada bangsa tersebut dan menyebabkan bangsa itu lebih teruk didiskriminasi.

Saya percaya kepada kata-kata ahli falsafah Descartes yang mengatakan Cogito Ergo Sum (I think therefore I am) atau “Saya fikir oleh itu saya jadi begitu”.

Jika hari-hari pemimpin sesuatu bangsa itu kata mereka malas, mungkin lama-lama bangsa itu pun percaya yang mereka ini malas walaupun sebenarnya adalah sebaliknya.

Yang lebih buruk ialah kaum-kaum lain pun akan lebih percaya yang bangsa tersebut malas dan ini akan menerukkan masalah prejudis dan diskriminasi masyarakat terhadap sesuatu bangsa itu.

Ideologi “Melayu malas” seperti ini perlu dibuang kerana ia adalah salah satu punca utama masalah prejudis dan diskriminasi di Malaysia.

ISHAM JALIL
20 Mei 2019

0 comments:

Post a Comment