Friday 17 May 2019

Statut Rom: Akhirnya PH Tunduk Dengan Desakan Rakyat, Negara Tak Perlukan Undang-undang Luar


KUALA LUMPUR, 17 Mei – Pengesahan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang bertarikh 15 Mei 2019 dengan caption ‘Malaysia: Withdrawal Of The Instrument Of Accession’ telah memberikan rasa lega kita rakyat Malaysia setelah pelbagai perjuangan dan tekanan khususnya dari blok pembangkang, NGO dan individu yang cintakan negara dalam acuan dan bentuk Malaysia yang tersendiri, kata Naib Presiden UMNO yang juga Ketua Pembangkang, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Katanya, blok pembangkang membantah ratifikasi Statut Rom di dalam Parlimen, UMNO dan PAS mengadakan ceramah bersama, kumpulan NGO-NGO mengadakan himpunan dengan kemuncaknya himpunan menentang Statut Rom di Sogo pada 4hb Mei 2019.

“Kita tidak perlukan undang-undang luar untuk diamalkan kerana perlembagaan dan perundangan dalam negara kita sudah cukup untuk menjadikan Malaysia sebuah negara yang aman dan damai juga selamat untuk rakyatnya.

“Allahuakbar… Allahuakbar… Allahuakbar… hanya ayat ini boleh saya lafazkan apabila mendapat perkhabaran bahawa PBB telah mengeluarkan pengesahan menyatakan Malaysia telah menarik balik niat untuk menyertai atau Meratifikasi Statut Rom.

“Sepanjang Ramadan ini kita melalui saat tegang dan berada di bawah tekanan kerana Kerajaan Dap-PH melalui Menteri Luar YB Dato Saifuddin Abdullah masih beria-ia untuk mengkaji dan mahu meneruskan usaha meratifikasi Statut Rome ini walau Perdana Menteri telah mengumumkan pembatalannya sebelum ini,” katanya yang memberikan perincian menerusi tulisan dalam blog beliau.

Katanya, kejayaan rakyat hari ini merupakan sebuah kejayaan bersama menentang kerajaan Dap-PH yang sedang membawa masuk agenda tersembunyi untuk menghapuskan hak Melayu, hak umat Islam dan Institusi Raja-Raja terutama untuk menghapuskan Kekebalan Raja-Raja Melayu yang selama ini kita dokong dan julang sebagai hak keistimewaan yang tidak boleh dipertikaikan.

“Dalam masa yang sama Statut Rom juga memperlekehkan Raja-Raja Melayu malah segala undang-undang yang terdapat di Malaysia terutama Mahkamah Khas untuk membicarakan Raja-Raja Melayu.

“Agenda demi agenda boleh kita lihat yang mahu dibawa oleh kerajaan Dap-PH ini sepanjang setahun mereka berkuasa. Kesemua agenda yang mahu dibawa ialah berkaitan penghapusan hak istimewa Islam, Melayu, Bumiputera dan samarata agama melalui cadangan ratifikasi ICERD.”

Maka tegasnya, jelaslah bahawa kerajaan Dap-PH ini merupakan sebuah kerajaan anti Islam dan anti Melayu.

“Kita tahu siapa yang ada dibelakang kesemua agenda yang telah dibawa. Kita tahu keterlibatan individu-individu penting yang sentiasa mencuba dan mengkaji apajua cara untuk menghapuskan hak-hak istimewa orang Melayu.

“Alhamdulillah, dalam bulan Ramadan yang barakah ini perjuangan kita diberikan kemenangan oleh Allah SWT. Benarlah, dalam bulan mulia ini doa kita semua dimakbulkan oleh Allah SWT.

“Bagaimana Rasulullah berjaya dalam Perang Badr bersama para Sahabat pada 17 Ramadhan berdepan Kaum Quraisy dan begitu juga kita telah mencatat sejarah kemenangan pada 10 Ramadhan menentang Bangsa Dap-PH di Malaysia.”

Beliau berkata demikian menerusi kenyataan yang dimuatkan dalam laman Facebooknya hari ini.

“Allahuakbar. Kita semua harus sujud syukur kepada-Nya atas pengurniaan kemenangan ini yang telah menidakkan agenda jahat Dap-PH yang mahu dibawa. Moga Allah terus melindungi kita rakyat Malaysia dari dihina dan dizalimi oleh sebuah kerajaan Dap-PH,” katanya lagi. – MediaUMNO

0 comments:

Post a Comment