1. MERUJUK kepada laporan yang disediakan oleh Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan (JKSTUPKK), saya begitu musykil bagaimana Jawatankuasa Siasatan dan Kementerian memperoleh angka kerugian berjumlah RM500 juta sedangkan nilai kerugian tersebut hanya dianggarkan semata-mata pada kerugian jangkaan. Bagaimana boleh munculnya nilai RM 500 juta ini?
2. Perkara yang jauh lebih serius adalah perjanjan Land Swap melibatkan Mukim Plentong dan Mukim Tebrau, Johor berkeluasan 382.16 ekar yang telah diluluskan oleh kabinet pada tahun 1996 tetapi telah dibatalkan perjanjiannya.
3. Semasa saya Menteri Pertahanan, saya memandang serius akan isu ini dan merasakan perlunya satu tindakan yang tegas untuk diambil. Maka, bertarikh 2 November 2015, Kementerian Pertahanan sebenarnya telah memulakan Writ Saman dan Penyata Tuntutan kepada pihak syarikat di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. Malangnya pada 17 Februari 2017 pihak syarikat didapati gagal mematuhi persetujuan tersebut walaupun pihak Kementerian sedaya upaya membantu
sebagaimana yang diperlukan oleh Penghakiman Persetujuan. Memandangkan keseriusan isu ini, saya mengarahkan Kementerian memfailkan writ saman kedua di atas kegagalan syarikat dengan tuntutan ganti rugi RM 1.48 billion.
4. Justeru, saya menggesa agar pihak Kerajaan membuat tindakan susulan bagi
menuntut semula RM1.48 billion dari projek yang gagal ini. Kerugian ini hakikatnya adalah kerugian terbesar yang dicatatkan dalam laporan JKSTUPKK. Pihak Penyiasatan dan Kementerian perlu menumpukan segala fokus yang mendalam tentang bagaimana untuk mendapatkan jumlah ini semula.
5. Dari 16 perjanjian land swap ini, laporan JKSTUPKK menunjukkan bahawa terdapat 7 kontrak lagi yang belum ditandatangani. Jika pihak Kementerian Pertahanan benar-benar menentang perjanjian ini disebabkan kerugian jangkaan, saya mencadangkan agar pihak Kementerian tidak meneruskan 7 perjanjian ini.
6. Sepanjang saya berkhidmat di Kementerian, saya sentiasa meletakkan kepentingan terbaik Angkatan Tentera sebagai keutamaan saya.
7. Jika benarlah mekanisme land swap ini tidak mendatangkan sebarang bentuk manfaat dan kebaikan kepada Angkatan Tentera, saya gesa agar kepimpinan baharu datang dengan penyelesaian alternatif yang lebih efektif dan menjimatkan kewangan, untuk memastikan agar Angkatan Tentera kita dan semua pihak yang terlibat meraih manfaat keseluruhannya, bukan bersikap menuding jari kepada orang lain.
8. Saya sebenarnya sangat mengalu-alukan laporan yang dihantar oleh Kementerian
Pertahanan terhadap kesemua 16 perjanjian land swap kepada Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM). Sepertimana yang pernah saya perkatakan,saya bersikap telus dan tiada apa yang perlu disembunyikan, dan sangat terbuka dengan penyiasatan terhadap kesemua 16 perjanjian land swap yang telah diluluskan oleh Kabinet sejak 1995 lagi.
9. Saya juga telah meminta wakil saya untuk memfailkan laporan kepada SPRM untuk mengambil tindakan yang sewajarnya berkaitan dengan semua 16 perjanjian land swap tanpa pilih bulu. Sebarang maklumat yang kami miliki akan dihantar terus kepada SPRM bagi membantu siasatan tersebut.
10. Sebagaimana kenyataan YAB Tun Dr Mahathir, tiada siapapun yang berada di
atas undang-undang dan tiada siapa yang kebal dari undang-undang dalam isu ini.
Menteri-menteri dan Perdana Menteri terdahulu perlu mengambil tanggungjawab
terhadap tindakan mereka jika didapati bersalah di sisi undang-undang.
11. Saya turut menggesa agar semua bahan bukti dan dokumen, berserta laporan penuh JKSTUPKK perlu diserahkan kepada SPRM bagi membolehkan mereka menyiasat secara sepenuhnya terhadap 16 perjanjian land swap tersebut.
12. Isu ini tidak boleh diheret ke dalam perbicaraan media untuk dihakimi, persepsi akan menutup realiti, jadi serahkan kepada pihak berkuasa untuk menyiasat dengan penuh teliti agar kebenaran diadili.
13. Kementerian Pertahanan telahpun menyerahkan laporan kesemua 16 perjanjian land swap kepada SPRM. Berikan SPRM ruang untuk menjalankan tugas mereka dan Menteri usah leka bermain politik. Menteri juga sudah tidak boleh berdalih dan beralasan lagi.
14. Kini adalah masa untuk Menteri menjalankan tugasnya sebagai seorang Menteri. Pihak Kementerian perlu terus bergerak dan mengambil langkah untuk melindungi negara, membangunkan kemampuan Angkatan Tentera dan memastikan agar kebajikan askar-askar dan veteran kita sentiasa dipelihara dan dijaga.
15. Sudah-sudah bersikap menunding jari, Pakatan Harapan bukannya pembangkang
lagi.
YB Dato’ Seri Hishammuddin Tun Hussein
Ahli Parlimen Sembrong
16 Mei 2019
0 comments:
Post a Comment