Friday 10 May 2019

Tekad, Bangkit Kukuhkan Bahtera… Agama, Bangsa Kini Diperkotak-katikkan – Najib


KUALA LUMPUR, 10 Mei – Bekas Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak menyeru kepada semua ahli agar terus kekal kuat dan utuh dalam melayarkan bahtera parti demi agama, bangsa dan tanah air.

Ujar bekas Perdana Menteri itu juga, ini berikutan setelah setahun kerajaan Pakatan Harapan (PH) mengambil-alih tampuk pentadbiran negara, jelas disaksikan bagaimana kesucian agama dan keistimewaan bangsa mula diperkotak-katikkan oleh mereka.

“Sukar untuk saya menggambarkan bagaimana kita meraikan ulang tahun parti keramat ini ketika kita tidak lagi memegang tampuk negara. Bagaimana sukar dan pedih… parti keramat kita ini perlu terus melayarkan bahtera demi melindungi agama, bangsa dan tanah air yang tercinta ini.

“Setahun kita tidak memegang kuasa, sudah tentu mata kita sendiri dapat melihat bagaimana agama kita, bangsa kita diperkotak-katikkan oleh pihak-pihak yang berkuasa ketika ini.

“Sesuatu yang kita tidak pernah jangka sama sekali, berselindung atas apa jua alasan pun maruah dan martabat bangsa dan agama seharusnya menjadi keutamaan pemerintah bukannya tunduk kepada desakan atau kepentingan pihak-pihak lain,” katanya kepada UMNO-Online sempena menyambut hari ulang tahun UMNO ke-73 esok.

Justeru itu, Najib yang juga Ketua UMNO Bahagian Pekan menyeru kepada semua pendukung parti agar bertekad merampas semula pentadbiran negara.

“Jangan kita merasa lemah dengan keadaan yang menimpa kita sebelum ini. Tanda-tanda untuk kita bangkit semakin terserlah. Saya percaya dengan keazaman semua ahli UMNO yang tetap utuh setia kepada parti kita mampu mencapainya, InsyaAllah.

“Percayalah dan yakinlah dengan pucuk pimpinan yang ada pada hari ini. Jangan kita terbuai dengan hasutan-hasutan yang mahu memecah-belahkan parti keramat kita ini.

“InsyaAllah, Allah tetap bersama perjuangan ikhlas kita untuk mengangkat dan mendaulatkan Islam,” tambahnya. – MediaUMNO

0 comments:

Post a Comment