Monday, 13 May 2019

Ulang Tahun UMNO-73 Catat Kenangan Manis Dengan Kehadiran PAS


KUALA LUMPUR, 13 Mei – Ulang tahun UMNO ke-73 yang disambut pada 11 Mei lalu mencatat sejarah tersendiri apabila ia turut diraikan bersama-sama barisan kepimpinan PAS.

Umum mengetahui, kedua-dua parti Melayu terbesar di negara ini mempunyai sejarah yang panjang, malah sebelum ini ketidaksefahaman ideologi antara UMNO dan PAS ibarat air dengan minyak.

Namun begitu, siapa pernah menyangka, selepas titik hitam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) yang menyaksikan Barisan Nasional (BN) tewas, parti yang dulunya sering bersengketa, mula menemui nada seiring dalam agenda penyatuan ummah.

Justeru, Ketua Dewan Muslimat PAS Nuridah Salleh yang turut hadir dalam meraikan ulang tahun UMNO melahirkan harapan agar Allah terus memperkuatkan UMNO untuk membela agama dan negara ini.

“Saya berharap, bersempena dengan hari UMNO ini, parti ini akan terus diperkuatkan di masa akan datang. Tahniah UMNO,” ujar beliau.

Agenda penyatuan ummah UMNO dan PAS, dilihat bermula pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Kandis dan ia mula bercambah di setiap PRK selepas itu.

PRK Cameron Highlands akhirnya menjadi bukti kedua-dua parti ini ‘disatukan’ dalam kerjasama yang cukup indah sehingga terbentuklah satu jawatankuasa antara UMNO dan PAS.

UMNO dan PAS tidak lagi menoleh ke belakang walau diserang oleh pelbagai pihak yang tidak mahu melihat penyatuan ini berjaya… inilah hikmah daripada kekalahan dalam PRU-14.

Kini, UMNO dan PAS terus berusaha memperkasakan penyatuan ummah, mengatur dan menyusun strategi bagi menghadapi PRU-15 akan datang.

Apa yang pasti, penyatuan ummah ini bukanlah bersifat rasis kerana ia bukan hanya membela umat Islam dan Melayu namun ia membela nasib semua bangsa. – MediaUMNO

0 comments:

Post a Comment