Friday 10 May 2019

UMNO 73 Tahun: Ayuh! Bangkit Demi Ummah Dan Rakyat Malaysia – Ahmad Zahid


KUALA LUMPUR, 10 Mei – Presiden UMNO Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menyeru semua ahli UMNO mengambil peluang sempena sambutan ulang tahun UMNO yang ke-73 untuk terus muhasabah diri apatah lagi sambutan kali ini jatuh pada bulan Ramadan yang mulia.

Jelas beliau, inilah peluang untuk semua ahli UMNO melakukan sesuatu yang lebih baik demi perjuangan agama, bangsa dan negara yang tercinta.

“Semua ahli UMNO harus bangkit demi ummah dan rakyat Malaysia yang amat memerlukan sentuhan keramat UMNO. Walaupun kuasa kerajaan telah bertukar tangan namun sentuhan UMNO masih ditagih rakyat kerana perjuangan UMNO sememangnya berada di landasan yang benar demi agama, bangsa dan negara yang tercinta ini.

“Kali ini kita menyambut ulang tahun UMNO dalam bulan Ramadan iaitu bulan untuk muhasabah. Jadi, mari kita bersama-sama mengambil peluang untuk melakukan sesuatu yang lebih baik… marilah kita juga meneropong jauh ke dalam jiwa kita menilai diri dan jemaah kita sekalian, memohon ampun kepada Allah kerana sebagai manusia kita tidak sunyi daripada melakukan kesilapan, kesalahan dan dosa,” jelas beliau kepada UMNO-Online.

Tambah Zahid, beliau amat yakin, ahli UMNO masih teguh bersama-sama parti keramat ini.

“Ambillah peluang dari apa yang sedang kita alami ini untuk kita belajar dari bawah… insya-Allah tidak lama kerana kita sememangnya sudah belajar jatuh bangun sejak tujuh dekad yang lalu. Marilah kita mulakan dengan penyatuan fikiran antara kita, berjuang atas nama kabilah UMNO bukan atas nama kabilah pelbagai yang memecahkan kita.

“Kita bersama-sama dalam melakukan kebaikan demi ummah bersama PAS atas semangat ta’awun iaitu pendekatan ‘win win situation’. Kita rapatkan saf perjuangan kita, jika ada yang terluka kita ubati, yang jauh kita dekatkan dan yang renggang kita rapatkan.

“Ayuh! Bangkit demi ummah dan rakyat Malaysia yang amat memerlukan sentuhan keramat UMNO. Yakinlah yang kita berada di landasan perjuangan yang benar demi agama, demi bangsa dan Malaysia yang tercinta. Sama-samalah kita berdoa kepada Allah semoga UMNO sentiasa kukuh, jiwa kita semakin kental dan perjuangan kita terus pada landasan lurus dengan penuh keredhaan daripada Allah,” tegas beliau lagi. – MediaUMNO

0 comments:

Post a Comment