Sunday 23 June 2019

23 Ribu Cawangan UMNO Masih Utuh, Tiada Satu Pun Terbubar – Zahid


MASJID TANAH, 23 Jun – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, walaupun ramai pemimpin UMNO yang telah keluar parti selepas kekalahan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14), namun tidak ada satu pun dari 23 ribu cawangan UMNO yang terbubar.

Jelas beliau, ini jelas menunjukkan akar umbi parti keramat ini masih utuh dan mahu melihat UMNO kembali bangkit.

“Biarpun sebelum ini ‘ada api dalam sekam’ di kalangan kita tapi tidak satu pun cawangan UMNO terbubar. Ini ertinya akar umbi masih setia bersama UMNO.

“Mereka masih mahu terus beri kepercayaan kepada UMNO. Jadi kita akan susun gerakan sebagaimana sekarang iaitu bersama-sama rakan kita iaitu PAS,” ujar beliau ketika berucap merasmikan mesyuarat perwakilan UMNO Bahagian Masjid Tanah, hari ini.

Tambah beliau, sebenarnya kemenangan Pakatan Harapan (PH) dalam PRU-14 yang lalu bukan kerana gabungan mereka kuat tetapi kerana BN dan UMNO itu sendiri lemah.

Justeru katanya, ini adalah masa yang amat sesuai untuk BN, UMNO dan PAS perkuatkan kerjasama bagi merampas kembali Putrajaya. – MediaUMNO

0 comments:

Post a Comment