Sunday 30 June 2019

Ahmad Zahid Umum Kembali Aktif Pimpin UMNO


BAGAN DATUK - Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang mengumumkan akan kembali aktif memimpin UMNO hari ini akan memulakan tugasnya walapun banyak rintangan.

Beliau yang mengumumkan perkara itu selepas bercuti selama enam bulan sebelum ini berkata, beliau akan meneruskan tugas sebagai Presiden UMNO walaupun pertuduhan rasuah terhadap beliau masih dibicarakan di mahkamah.

Menurutnya, sebagai Presiden, biar pun apa rintangan dan tuduhan lebih dari 40 kes rasuah di mahkamah, beliau tetap meneruskan perjuangan bersama Pas.

“Keputusan ini dibuat memandangkan hari ini genap setahun saya dipilih sebagai Presiden UMNO oleh perwakilan daripada 191 bahagian.

“Maka genap setahun ini cukup signifikan dan sangat penting bagi saya oleh yang demikian 30 Jun 2019, saya ingin mengumumkan bahawa saya menamatkan cuti sebagai Presiden UMNO pada hari ini.

“Ini bererti mulai pada hari ini, saya akan terus menyambung tugas saya sebagai Presiden UMNO Malaysia,” katanya.

Ahmad Zahid berkata demikian ketika berucap pada Majlis Hari Raya Aidilfitri di Sungai Sumum, Bagan Datuk di sini hari ini.

Pada 18 Disember lalu, Ahmad Zahid mengumumkan bercuti daripada menjalankan tugas sebagai Presiden UMNO dan menyerahkan tugas itu kepada Timbalannya Datuk Seri Mohamad Hasan. - UTUSAN ONLINE

0 comments:

Post a Comment