Thursday 13 June 2019

BN Hargai Sokongan Berterusan Parti Pemerintah China


KUALA LUMPUR, 13 Jun – Barisan Nasional (BN) melahirkan penghargaan kepada Parti Komunis China (CPC) yang mengadakan kunjungan hormat ke Ibu Pejabatnya, di Menara Dato’ Onn di sini hari ini.

Delegasi CPC seramai 30 orang yang diketuai oleh Li Xi selaku Anggota Biro Politik Jawatankuasa Pusat Parti Komunis China telah mengadakan kunjungan dengan disambut oleh Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan dan barisan kompenan BN termasuklah Pengerusi MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong dan Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M. Saravanan.

Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, BN amat berbesar hati dengan sokongan berterusan parti pemerintah China walaupun BN bukan lagi kerajaan.

“Kami amat berbesar hati dengan kunjungan ini walaupun kami bukan lagi lagi kerajaan tetapi kedatangan Parti Komunis China adalah satu penghormatan yang sangat tinggi apatah lagi China adalah antara kuasa besar dunia hari ini.

“Kunjungan ini juga telah memberi satu semangat dan kekuatan kepada BN untuk meneruskan perjuangan dan berkhidmat kepada rakyat tanpa mengira kedudukan sama ada sebagai kerajaan atau sebagai pembangkang,” katanya kepada UMNO-Online.

Dalam kunjungan tersebut, Li yang juga Setiausaha Parti Komunis China bagi Jawatankuasa Wilayah Guangdong telah menekankan akan meneruskan jalinan persahabatan dengan BN walaupun bukan lagi kerajaan.

Hubungan akrab antara BN dan CPC bermula 45 tahun lalu apabila kunjungan Perdana Menteri kedua, Tun Abdul Razak Hussein ke China bertemu dengan Mao Tse Dong pada tahun 1974.

Hubungan tersebut berlanjutan dengan diperbaharui dalam perjanjian persefahaman pada tahun 2010.

Sejak itu delegasi antara kedua-dua parti saling berkunjung sambil bertukar-tukar idea dan berkongsi pengalaman dalam pelbagai bidang.

Antara yang turut hadir dalam pertemuan yang berlangsung lebih sejam itu ialah Ahli Dewan Tertinggi BN Datuk Seri Mahdzir Khalid, Datuk Noraini Ahmad, Datuk M. Asojan dan Datin Paduka Chew Mei Fun. – MediaUMNO

0 comments:

Post a Comment