KUALA LUMPUR, 18 Jun – Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah meminta kerajaan Pakatan Harapan (PH) terutamanya Perdana Menteri dan Menteri Kewangan untuk menghentikan penjualan aset negara.
Katanya, kaedah dan pendekatan yang lain mesti dicari dan dilaksana untuk mengukuhkan ekonomi negara kerana penjualan aset merugikan dan bukan kaedah terbaik pada negara.
“Kita melihat pendekatan mudah melalui penjualan aset yang telah dan akan dilakukan ini adalah bukti ketidakupayaan Kerajaan PH memikirkan pendekatan atau kaedah terbaik menjana pendapatan negara.
“Ini juga gambarkan kegagalan Majlis Ekonomi Negara dan Menteri Kewangan berperanan sebagaimana sepatutnya,” katanya dalam kenyataan menerusi Facebook beliau.
Jelasnya, sehingga kini, difahamkan telah banyak aset negara terjual umpamanya IHH Berhad, BDO Unibank dan sebagainya.
“Maka, jika sebelum ini pimpinan PH menfitnah Barisan Nasional (BN) menjual negara, sebaliknya tindakan mereka inilah yang menggadai dan menjual negara. Oleh itu ianya mesti dihentikan.
“Malah kita bimbang penjualan ini akan hanya menguntungkan pihak-pihak tertentu sahaja.
“Jadi Kerajaan PH mesti telus berkaitan perkara ini, apatah lagi penjualan aset atau tanah ini melibatkan kepentingan awam dan negara.”
Tegas beliau, langkah Kerajaan PH ini juga membuktikan kegagalan Kerajaan PH menarik pelaburan luar negara melabur di negara ini.
“Lawatan Perdana Menteri sebelum ini ke Jepun, China, Pakistan, Amerika Syarikat dan terbaru ke London ternyata gagal menarik pelabur sebagaimana sepatutnya melainkan hanya menjual aset negara,” katanya yang juga Ahli Parlimen Lenggong. – MediaUMNO
0 comments:
Post a Comment