GEORGETOWN - Musim perayaan begitu sinonim dengan budaya kunjung mengunjung bagi mengeratkan silaturrahim antara satu sama lain.
Bagaimanapun, budaya itu perlu dilaksanakan secara beradab agar tidak menimbulkan ketidaksenangan pada tuan rumah termasuk dalam kalangan tetamu lain.
Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor berkata, budaya ziarah digalakkan dalam Islam dengan tujuan mengeratkan silaturrahim antara saudara, jiran, rakan dan adik-beradik.
Menurutnya, bagaimanapun setiap individu berperanan menjaga adab ketika berkunjung ke rumah yang dituju.
"Ada beberapa syarat utama yang penting untuk kita jaga ketika berkunjung ke rumah orang. Niat yang paling utama adalah untuk mengeratkan silaturrahim kerana ALLAH SWT. Seterusnya, niat kena baik, bukannya ada kepentingan lain dengan tujuan tidak baik.
"Ada hadis sahih juga mengatakan, kita jangan terlalu kerap mengunjungi seseorang dan perlu pada waktu munasabah. Jangan berkunjung secara mengejut kerana tuan rumah juga ada waktu privasinya sendiri," katanya ketika dihubungi hari ini.
Tambahnya, pengunjung juga dinasihatkan mengelak daripada menziarahi pada waktu yang tidak sesuai.
"Nabi Muhamad SAW melarang kita menziarahi rumah orang sebelum Subuh, selepas waktu Zohor dan terlalu lewat malam. Selain itu, kita perlu menjaga tutur kata agar tidak menggores hati tetamu lain serta tuan rumah. Jangan kita mencemarkan dengan mengumpat, mengeji, bercakap dusta atau meninggi suara.
"Bergurau juga ada batasnya, jangan keterlaluan. Jangan memalukan dan menjatuhkan aib orang lain. Ketawa juga ada batas, jangan terlalu kuat. Kita juga perlu menjaga mata dan aurat ketika berkunjung ke rumah orang termasuk saudara," katanya.
Wan Salim berkata, sebagai tetamu, kita perlu menjaga tatasusila agar tidak memasuki kawasan larangan di rumah yang dikunjung.
"Jangan masuk ke dalam bilik tidur dan dapur jika tidak diizinkan. Apa sahaja makanan dihidang, itulah makanan untuk kita. Jangan pula masuk ke dapur dan mengambil makanan yang tidak dihidang.
"Sebagai tetamu juga, jangan sesekali mengganggu perhiasan rumah. Kepada mereka yang ada anak, kawal anak anda agar tidak berkeliaran di tempat larangan seperti yang disebut tadi," katanya.
Tambahnya, sebelum pulang, kita perlu meminta izin selain bermaaf-maafan dengan tuan rumah bagi menjaga silaturahim yang sedia terjalin.
"Kepada yang bergelar agamawan, saya ingin berpesan, jangan lah kita terus mengimamkan solat (jika masuk solat) tanpa kebenaran tuan rumah. Mungkin tuan rumah ada pilihan lain untuk mengimamkan solat.
"Banyak adab yang perlu dijaga ketika berkunjung, sebab itu saya berpesan, sebelum pulang, kita bermaaf-maafan dahulu. Mungkin perbuatan atau tutur kita telah menggores perasaan orang lain yang kita sendiri tidak sedar. Pesan saya, jagalah adab ketika berkunjung ke rumah orang," katanya. - Sinar
0 comments:
Post a Comment