Friday, 21 June 2019

Jajaran LRT: Desak Kerajaan Negeri Guna Pelan Asal


GEORGETOWN - Ahli kariah Masjid Jamek Sungai Nibong Besar mendesak kerajaan negeri agar mengikut pelan asal cadangan jajaran Transit Aliran Ringan (LRT) Bayan Lepas di kawasan masjid berkenaan.

Bendaharinya, Mohd Noor Kamarudin berkata, pada April 2016, satu pertemuan diadakan di antara pihaknya dengan syarikat SRS Konsortium berhubung projek berkenaan yang akan melalui kawasan masjid tersebut.

Menurutnya, hasil perbincangan tersebut, ahli kariah masjid bersetuju agar jajaran itu dibuat di belakang masjid tersebut.

"Setelah mengambil kira faktor sensiviti agama (rumah ibadat) dan bantahan daripada ahli kariah Masjid Jamek Sungai Nibong Besar telah memutuskan secara bersama bahawa jajaran itu akan melalui di bahagian belakang masjid.

"Bagaimanapun, apa yang kami kesal sekarang ini, keputusan yang dipersetujui sebelum ini tidak dipatuhi oleh syarikat SRS Konsortium. Ia berikutan, pada 14 Jun lalu, satu lawatan bersama pasukan projek pembinaan LRT memaklumkan bahawa ada perubahan pada pelan asal.

"Jajaran itu bukan terletak di belakang tetapi di bahagian depan masjid. Perkara itu amat dikesali dan menimbulkan kemarahan lebih 5,000 ahli kariah serta penduduk Islam lain yang mempunyai kepentingan di masjid tersebut," katanya kepada media tadi.

Dia ditemui selepas menyertai bantahan aman dan penyerahan memorandum kepada kerajaan negeri di pekarangan Komtar selepas solat Jumaat tadi.

Kira-kira 150 yang terdiri daripada beberapa badan bukan kerajaan (NGO) Islam Pulau Pinang yang diketuai Pengerusi Persatuan Kebajikan Surplus Pulau Pinang, Sophian Mohd Zain hadir bagi menyatakan bantahan mereka terhadap cadangan jajaran LRT berkenaan.

Memorandum bantahan itu diserahkan kepada Pegawai Khas Timbalan Ketua Menteri 1(TKM1), Roshdi Hussin untuk diserahkan kepada TKM 1, Datuk Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman.

Mohd Noor berkata, perubahan jajaran itu dari pelan asal akan memberi impak negatif kepada penggunaan tanah wakaf, masjid, kubur, keselamatan, merubah rekabentuk serta nilai estetika masjid baharu apabila ia siap kelak.

"Mengapa jajaran ini diubah iaitu dari di bahagian belakang ke hadapan? Kami difahamkan, alasan utama mengapa ia ditukar adalah kerana terdapat dua lencongan di belakang masjid dan ia akan menyebabkan kos pembinaan tinggi selain akan merosakkan rel.

"Ini semua kami tidak mahu ambil tahu. Kami mahu penjelasan dari TKM 1 mengapa perkara ini berlaku. Bayangkan jika jajaran ini dibuat di hadapan masjid, tiang laluan LRT akan dibina di kawasan tanah perkuburan. Adakah kita sanggup melihat kubur ibu, bapa dan saudara kita dibina tiang dan menjadi laluan LRT?

"Sekiranya ia masih diteruskan, lebih 600 buah kubur akan terjejas. Ini yang kami tidak mahu ia berlaku. Kerajaan negeri perlu bertanggungjawab dengan isu ini. Kami bukan membantah pembangunan tetapi biarlah ia dilakukan dengan baik dan mengambil kira sensitiviti agama," katanya.

Mohd Noor menambah, pihaknya juga mahu projek membesarkan masjid tersebut diteruskan seperti yang dirancang dan tidak ditangguhkan lagi.

"Masjid tersebut telah dirobohkan pada 7 Ramadan lalu yang mana, baharu empat peratus kerja pembinaan dijalankan. Bagaimanapun, kerja-kerja itu ditangguhkan pada minggu lepas disebabkan ada perubahan pada pelan asal jajaran LRT itu.

"12 tahun penduduk sekitar Sungai Nibong menunggu pembinaan masjid ini. Malah kami menyumbang sebanyak RM4.65 juta, lebih banyak dari kerajaan Pusat salurkan iaitu hanya RM1.8 juta.

"Ini amanah orang untuk membangunkan masjid ini. Masjid itu dijangka siap pada 13 Mei 2021 dengan kos keseluruhan RM6.5 juta," katanya.

Dia berkata, selepas pertemuan pada 14 Jun lalu, pihaknya diminta menunggu jawapan dari Jawatankuasa Fatwa Pulau Pinang berhubung bantahan yang dibuat. - Sinar

0 comments:

Post a comment