Friday 21 June 2019

Jangan Biar Tangan Ghaib Musnahkan Perpaduan Ummah


BESUT, 21 Jun – Pergerakan Wanita UMNO akan berusaha memastikan Perpaduan Ummah dan kerjasama dengan Pas menjadi lebih mantap bagi menghadapi sebarang kemungkinan berlaku Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Naib ketua pergerakan itu, Datuk Norliza Abdul Rahim berkata, semua pihak dalam UMNO termasuk sayap-sayap mesti berwaspada dengan ‘tangan-tangan ghaib’ kalangan pihak yang sentiasa mencemburui ‘keintiman’ hubungan itu.

Katanya, hubungan yang terjalin atas kesedaran untuk menjaga kepentingan agama, bangsa dan tanah air itu telah menggusarkan pihak tertentu kerana telah berjaya menyatukan semula orang Melayu Islam di negara ini selepas PRU-14.

“Pemerintahan Malaysia Baharu yang dilaung-laungkan selama ini kini sudah semakin hilang integriti dan rakyat juga kian kehilangan kepercayaan selain tertekan dengan pelbagai isu dan masalah,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan Mesyuarat Perwakilan Pergerakan Wanita UMNO Bahagian Besut di Dewan Majlis Daerah Besut (MDB) Gong Kemuntong dekat sini hari ini.

Yang turut hadir Ketua UMNO Bahagian Besut yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Besut, Nawi Mohamad.

Buat pertama kali mesyuarat kali ini menerima kejutan apabila turut dihadiri enam orang Muslimat Pas yang diketuai oleh Timbalan Ketua Dewan Muslimat Pas Kawasan Besut, Wan Bainah Wan Nor.

Norliza berkata, sehubungan itu , Wanita UMNO perlu turun ke akar umbi untuk menceritakan apa sebenarnya yang berlaku ke atas rakyat khususnya di negeri-negeri yang diperintah oleh Pakatan Harapan (PH) lebih setahun lalu.

“Jika mahu menang, Wanita UMNO dan Muslimat Pas perlu bergerak satu arah bermula dari sekarang dengan mengenal setiap pengundi secara peribadi dan mengatur strategi yang dapat menyedarkan masyarakat,” ujarnya.

Terdahulu itu, Ketua Wanita UMNO Bahagian Besut, Engku Naimah Engku Taib dalam ucapannya berkata, Wanita UMNO Besut tidak pernah luntur semangat meskipun kekalahan di peringkat negeri dan pusat.

Katanya, pergerakan itu tetap meneruskan khidmatnya kepada masyarakat walaupun tidak mendapat peruntukan, sebaliknya dilaksanakan dengan penuh kesedaran demi masa depan generasi akan datang.

Sebelum itu, Nawi Mohamad dalam ucapannya menarik perhatian, tiada formula lain yang boleh digunakan untuk meletakkan orang Melayu sebagai tuan di negara sendiri melainkan menerusi Perpaduan Ummah. – UTUSAN ONLINE

0 comments:

Post a Comment