Friday 21 June 2019

Jawatankuasa Fatwa Pulau Pinang Lihat Semua Aspek


GEORGETOWN - Jawatankuasa Fatwa Pulau Pinang akan melihat isu cadangan jajaran Transit Aliran Ringan (LRT) Bayan Lepas di kawasan Masjid Jamek Sungai Nibong Besar dari semua aspek termasuk keselamatan dan kehormatan masjid tersebut sebelum membuat keputusan.

Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor berkata, isu itu telah dibincangkan dalam Jawatankuasa Fatwa Pulau Pinang Rabu lalu yang turut dihadiri kerajaan negeri jawatankuasa kariah masjid tersebut.

Menurutnya, sebagai ahli Jawatankuasa Fatwa Pulau Pinang, pihaknya melihat isu tersebut dari sudut hukum terhadap semua aspek yang dibangkitkan.

"Dari segi keselamatan jemaah, masjid ini sentiasa penuh terutamanya ketika solat Jumaat dan solat Aidilfitri. Sekiranya projek jajaran LRT ini dibina berdekatan dengan masjid tersebut, kita bimbang dengan keselamatan para jemaah yang solat di situ.

"Jika ia membahayakan, maka kita terpaksa memutuskan bahawa ia tidak dibenarkan dalam agama bagi memelihara nyawa manusia.

"Kita membuat keputusan bukan sahaja melihat kepada konteks agama dan hadis tetapi menggunakan kaedah yang dipersetujui ulama, contohnya, jika kita nak sampai kepada satu kebaikan, kepentingan dan kemudaratan juga perlu dipertimbangkan," katanya pada sidang media tadi.

Menurutnya, aspek kedua yang dilihat adalah dari segi kehormatan masjid dan tanah perkuburan.

"Jika projek itu akan menyebabkan kehormatan tanah terjejas, maka kita kata tak boleh. Sekiranya projek ini melalui masjid dan tanah perkuburan, kita sebolehnya nak elak.

"Yang mana kita boleh elak, kita elakkan. Mengenai tanah wakaf pula, kita kena raikan syarat pihak yang mewakafkan tanah itu. Bagaimanapun, semuanya diletakkan di bawah penyeliaan pengurusan Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) sebagai pemegang amanah.

"Oleh itu, ia terpulang kepada pemegang amanah, jika ada kepentingan awam maka dia boleh ubah status wakaf itu. Maknanya status asal wakaf untuk tanah perkuburan contohnya di Masjid Jamek Sungai Nibong Besar boleh diubah menggunakan budi bicara," katanya.

Diminta mengulas mengenai bantahan beberapa pihak berhubung jajaran LRT di kawasan masjid tersebut, Wan Salim berkata, semua pihak perlu optimis dengan mendapat penjelasan yang tepat dari pihak terlibat.

"Mereka yang membantah, mungkin mereka belum mendapat penjelasan yang tepat. Dan mungkin juga ada salah faham. Tapi bagi pendapat saya, kalau mereka boleh sabar sebentar untuk kita runding terlebih dahulu, itu lebih baik.

"Apa-apa pun kita perlu optimis untuk membolehkan isu ini diselesaikan dengan cara baik, asalkan semua pihak terlibat ada keikhlasan untuk selesaikan dengan cara yang baik demi kepentingan semua," katanya.- Sinar

0 comments:

Post a Comment