Monday 17 June 2019

Kerajaan Pusat ‘Baik Hati’ Biaya Projek PIP P.Pinang… Bantuan Rakyat?


KUALA LUMPUR, 17 Jun – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak dengan sinis memuji Menteri Kewangan, Lim Guan Eng kerana sifat ‘baik hati’ kerajaan pusat Pakatan Harapan (PH).

“Sekarang, menteri kewayangan kerajaan pusat PH baik hati sangat dan mahu biayai kos projek RM46 bilion PIP ini.

“Tak apa. Kerajaan PH boleh pinjam lagi. Bantuan kepada rakyat masih boleh potong lagi.

“Hutang rasmi negara hanya naik ke RM800 bilion. Belum sampai RM1 Trilion,” bidasnya dalam Facebook, yang sering merujuk Guan Eng sebagai Menteri Kewayangan.

Najib berkata demikian mengulas laporan media berhubung kenyataan Guan Eng bahawa kerajaan pusat bersedia memberi dana kepada kerajaan negeri Pulau Pinang bagi projek Pelan Induk Pengangkutan (PIP) Pulau Pinang ataupun Penang Transport Masterplan (PTMP) yang bernilai RM46 bilion.

Lebuhraya Pan Island Link (PIL) di pulau merupakan lebuhraya termahal di Malaysia dengan harga RM460 juta setiap km (RM9 bilion untuk 19.5km) juga termasuk dalam PIP, ujarnya juga.

Jelas Najib lagi, dahulu apabila kerajaan Dap Pulau Pinang di bawah Guan Eng mahu melaksanakan projek PIP tersebut, mereka berkata kerajaan pusat ketika itu, kerajaan Barisan Nasional (BN) tidak boleh mencampuri urusan.

“Kerana mereka kata hak tanah adalah hak kerajaan negeri dan mereka akan membiayai sepenuhnya kos projek PIP dengan membayar menggunakan tanah dan hak tanah kerajaan negeri.

“Kini, tanah dan hak tanah negeri sudah bagi kepada syarikat swasta. Projek kondo mewah syarikat swasta di atas sebahagian tanah yang dibayar pun sudah hampir siap.

“Tapi masih tidak ada sebarang pembinaan yang telah mula untuk projek PIP mereka,” tegasnya lagi.

Begitu juga kata Najib, projek misteri terowong bawah laut Pulau Pinang adalah satu komponen daripada projek PIP tersebut. – Media UMNO

0 comments:

Post a Comment