Saturday 22 June 2019

Kes Kematian Adib Mesti Diurus Secara Telus, Jangan Putar Belit – Zahid


KEPONG, 22 Jun – Kes kematian anggota bomba Adib Mohd Kassim pada rusuhan di sebuah kuil di Subang Jaya 27 November tahun lalu, mesti mendapat pembelaan secukupnya daripada kerajaan, khasnya pejabat Peguam Negara.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata prosiding inkues kes itu mestilah dibuat secara telus dan tidak diputar-belit kerana ia membabitkan ‘Rule of Law’ kerajaan Pakatan Harapan (PH) serta kepentingan rakyat.

“Kes itu kini cuba ditutup dengan pelbagai karenah mereka yang menguasai sistem perundangan, dan kini ia menjadi tumpuan dan tanda tanya masyarakat antarabangsa.

“Saya mengikuti kes ini dan mendapati ada usaha untuk mengalih pandangan bagi menjaga pihak tertentu. Peguam Negara memfailkan afidavit bahawa Adib bukan mati dipukul sedangkan saksi di tempat kejadian berkata sebaliknya.”

Berucap merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Kepong di sini, hari ini, Dr Ahmad Zahid berkata wujud kesangsian terhadap inkues itu dengan penamatan khidmat peguam Syazlin Mansor selaku peguam pemerhati kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, bomba dan keluarga Adib.

“Selepas 34 hari, prosiding inkues nampaknya akan menjadikan Adib sebagai pesalah sebenarm dan bukannya mangsa.”

Dr Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk berkata, rakyat mahukan kebenaran daripada kerajaan agar sistem perundangan negara diyakini dan berkredibiliti, khasnya Peguam Negara.”

Usaha pembelaan ini, katanya perlu diteruskan.

Dr Ahmad Zahid turut melahirkan harapan agar inkues itu berjalan dengan adil bagi pihak Allahyarham Adib, adil bagi rakyat semua kaum dan adil dari segi perundangan. – MediaUMNO

0 comments:

Post a Comment