Thursday 27 June 2019

Kes Lucut Hak: Muhyiddin, Shafie Juga Perlu Beri Keterangan


KUALA LUMPUR, 27 Jun – Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yasin yang juga Presiden PPBM dan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (Presiden Parti Warisan Sabah) mungkin terpaksa diminta memberi keterangan dalam kes perlucutan hak sivil yang difailkan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) baru-baru ini, tegas Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa.

Dalam ciapan di twitternya, Annuar berkata wang yang dituduh masuk ke akaun UMNO itu berlaku pada tahun 2011, 2012 dan 2013 yang mana ketika itu Muhyiddin sebagai Timbalan Presiden UMNO, juga selaku pengerusi mesyuarat jawatankuasa pengurusan parti manakala Shafie, Naib Presiden turut sebagai ahli mesyuarat jawatankuasa tersebut.

“Wang yang dituduh masuk akaun UMNO itu berlaku tahun 2011, 2012 dan 2013…

“Waktu itu jk (jawatankuasa) pengurusan UMNO dipengerusikan TAN SRI MUHYIDDIN YASIN DAN AHLINYA TERMASUK DS (Datuk Seri) SHAFIE AFDHAL..

“Kita mungkin terpaksa minta mereka beri keterangan masuk keluarnya wang ketika itu,” tegas Annuar yang juga Ahli Parlimen Ketereh.

Ketua Pesuruhjaya SPRM yang baharu, Latheefa Koya pada 21 Jun lalu telah mengumumkan nama-nama 41 individu, syarikat, yayasan, pertubuhan bukan kerajaan dan parti politik yang akan dikenakan ‘civil forfeiture’ atau lucut hak terhadap wang dalam akaun-akaun berkenaan.

Menurut Latheefa yang juga bekas ahli majlis pimpinan pusat PKR, tindakan tersebut dikenakan di bawah Seksyen 56 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Aktiviti Haram 2001 (AMLA 2001) bagi mendapatkan semula sejumlah wang bernilai RM270 juta yang kononnya dicuri dari 1MDB dan dipindahkan menerusi satu akaun bank milik Datuk Seri Najib Tun Razak.

Annuar, dalam satu kenyataan sebelumnya turut berkata UMNO bersedia memfailkan Afidavit Balas di mahkamah dan satu pasukan peguam sudahpun dilantik bagi tujuan tersebut di samping mengharapkan proses berjalan secara adil dan mematuhi prinsip ‘rule of law’ serta pelaksanaan sistem kehakiman yang bebas dan berintegriti.

“Semua pihak harus menghormati prinsip tersebut,” tegasnya. – Media UMNO

0 comments:

Post a Comment