Sunday 23 June 2019

Muktamar PAS Lulus Usul Memeterai Perjanjian Politik Dengan UMNO


KUANTAN, 22 Jun – Muktamar Tahunan PAS kali ke-65 hari ini meluluskan usul supaya pimpinan PAS Pusat dan Majlis Syura Ulama memeterai perjanjian politik dengan UMNO.
Usul itu dibentang oleh Ketua Penerangan Dewan Ulama Mohd Asri Mat Daud, yang kemudiannya dipersetujui sebulat suara oleh perwakilan.

Ketika membentangkan usul itu, Mohd Asri berkata PAS tidak boleh menjalin taawun siyasi (kerjasama demi kepentingan Islam) semata-mata, sebaliknya hendaklah diikuti dengan tahaluf siyasi (muafakat politik).

“Dalam masa sama, (PAS) hendaklah mengadakan garis panduan asas, syarat-syarat dan batas kerjasama politik dengan parti politik tersebut,” katanya.

Kali terakhir PAS mengadakan perjanjian politik ialah bersama DAP pada 2008 sebelum ia ditamatkan setelah didakwa berlaku pelanggaran syarat pada Julai 2015.

Sementara itu, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang ketika ditemui pemberita berkata Majlis Syura Ulama telah meluluskan secara dasar perjanjian politik berkenaan dalam perbincangan sebelum ini.

“Ia sudah dibincang dalam Majlis Syura Ulama dan usul ini hanya untuk disahkan dalam muktamar… dalam perlembagaan kita, keputusan itu mesti diizinkan (mendapat mandat) perwakilan muktamar,”  katanya. –Bernama

0 comments:

Post a Comment