Wednesday 12 June 2019

Musim Durian Tarikan di Balik Pulau


BALIK PULAU - Sebut pasal durian di Pulau Pinang, pastinya penduduk tempatan akan merujuk kepada raja buah yang ditanam di kawasan Balik Pulau sebagai yang terbaik di negeri ini.

Sebagaimana hebatnya mangga harum manis dikaitkan dengan Perlis, begitulah juga sinonimnya durian Balik Pulau kepada Pulau Mutiara ini yang pastinya menjadi buah yang dicari-cari tatkala ketibaan musimnya.

James Wong, seorang daripada pemilik ladang durian di daerah barat daya pulau ini adalah antara usahawan yang tidak menang tangan apabila jumlah pengunjung meningkat ke ladangnya setiap kali musim durian tiba.

Dusunnya yang seluas lima hektar di Sungai Pinang, Balik Pulau ini mempunyai 150 pokok yang terdiri daripada 20 varieti durian termasuk musang king, udang merah, duri hitam dan kulit hijau.

“Tahun ini hanya ada dua musim durian sahaja berbanding tiga musim pada tahun lepas. Musim pertama kali ini antara hujung bulan Mei dan Ogos manakala yang kedua nanti dalam bulan September,” katanya ketika ditemui di ladangnya.

Biarpun musimnya kurang, Wong berkata kuantiti buah yang diperolehnya tahun ini lebih banyak berbanding jumlah yang dikutip tahun lepas.

Sebagai nilai tambah kepada produk sajiannya kepada pengunjung, beliau turut menawarkan ‘bufet durian’ di ladangnya pada harga RM80 seorang untuk membolehkan penggemar durian menikmati sebanyak mungkin varieti durian di ladangnya dalam tempoh dua jam.

Buah dari dusunnya ini turut dijual di daerah-daerah lain di negeri ini serta di Kedah.- Bernama

0 comments:

Post a Comment