Friday 7 June 2019

Pas Mahu Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen Digantung


KUALA LUMPUR, 7 Jun – Pas mencadangkan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen Untuk Melantik Jawatan-Jawatan Utama Perkhidmatan Awam digantung sehingga Pakatan Harapan (PH) menghormati janjinya.

Timbalan Presidennya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, tidak dinafikan dari sudut undang-undang, keputusan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad melantik Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) baharu tanpa sebarang perbincangan adalah prerogatif beliau.

Katanya, memandangkan nasi sudah menjadi bubur, Pas berharap Ketua Pesuruhjaya SPRM yang baharu, Latheefa Koya dapat membuktikan kebolehannya.

Namun ujar beliau, episod itu juga membuktikan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen yang ditubuh Untuk Melantik Jawatan-Jawatan Utama Perkhidmatan Awam hanyalah jawatankuasa yang tidak berperanan.

“Sebagai seorang ahli jawatankuasa Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen Perlantikan Awam Utama mencadangkan agar Pengerusi Jawatankuasa, William Leong Jee Keen menggantung jawatankuasa ini serta merta, memandangkan sekali lagi kerajaan PH tidak dapat mengambil serius dan menghormati manifesto dan janji mereka sendiri.

“Perlu diingat manifesto PH menyatakan lantikan awam utama perlu melalui Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen mengenai Pelantikan Awam Utama dan mereka turut berjanji agar tiada lagi lantikan politik dalam jawatan perkhidmatan awam,” katanya dalam kenyataan kepada media hari ini.

Tuan Ibrahim yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian memberitahu, manifesto yang sama turut menyatakan Tun Dr Mahathir akan memberi laluan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku perdana menteri bila tiba waktunya nanti.

Malangnya, kata beliau dalam episod itu, PH sekali lagi memahat ke sanubari rakyat bahawa janji mereka tidak boleh diambil secara serius. – MalaysiaGazette

0 comments:

Post a Comment