MASJID TANAH, 23 Jun – UMNO sukar memaafkan pemimpinnya yang belot selepas Pilihan Raya Umum 14 (PRU14) hanya kepentingan peribadi dan enggan bertanggungjawab ke atas kekalahan parti.
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata mereka ini bukan sahaja menikam parti malah mengkhianati kaum sendiri, iaitu orang Melayu, dalam memperjuangkan hak serta mempertahankan agama Islam.
“Perbuatan ini tidak boleh diterima. Ia ibarat pisau bengkok yang melupakan sarungnya.
“Mereka yang selama ini mengecap pelbagai kesenangan ketika bersama UMNO, kini sanggup meludah ke muka anak bangsa demi menyelamatkan diri sendiri,” ujarnya ketika merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Masjid Tanah di sini, hari ini.
Dr Ahmad Zahid berkata, Masjid Tanah sepatutnya menjadi modul kemegahan UMNO kerana semua lima kawasan Dewan Undangan Negeri dimenanginya pada PRU lalu.
Bagaimanapun, ahli Parlimennya sanggup keluar parti dan menyertai PPBM sejurus selepas Barisan Nasional yang diterajui UMNO tewas pada PRU14.
“Ini kesalahan mereka terhadap bangsa sendiri, khianat terhadap amanah dan kepercayaan pengundi serta pengkhianatan terhadap parti.
“Inilah antara nama-nama yang akan terpahat di dalam sejarah hitam orang Melayu sampai bila-bila,” katanya.
Justeru itu, beliau mengingatkan orang Melayu bahawa perjuangan untuk anak bangsa perlu diutamakan daripada sikap memperkasa dan menonjolkan diri sendiri.
“Api dalam sekam ini perlu dipadamkan dari awal supaya tidak membakar dan merosakkan parti pada masa depan. Pada mereka, UMNO akan hancur tetapi ingatlah bahawa parti ini akan terus berdiri kukuh untuk Melayu dan rakyat Malaysia.
“Perjuangan akan diteruskan. Malangnya, Melayu adalah satu-satunya bangsa di negara ini yang berpecah dan berpuak-puak, menyebabkan perjuangan untuk mempertahankan hak mereka menjadi lemah dan diperlekehkan oleh orang lain.”
Dr Ahmad Zahid juga berkata, tidak perlu lagi rakyat mempersoalkan kegagalan kerajaan yang ada dalam menunaikan janji mereka kerana cukuplah umum mengetahui betapa Pakatan Harapan sekarang dihantui pelbagai kemelut yang menjejaskan reputasinya dengan teruk.
“Kita tunggu sahaja ketikanya apabila gabungan Melayu-Islam di antara UMNO dan PAS memberikan cabaran sengit kepada mereka.
“Kita lihat bagaimana kerjasama ini berhasil di Cameron Highlands, Semenyih dan Rantau. Kebangkitan ini tidak boleh disekat. Rakyat makin sedar betapa keselesaan dan kemakmuran yang dibawa oleh BN selama 62 tahun, dimusnahkan oleh PH dalam setahun,” katanya.
Mengenai hubungan UMNO-PAS, Dr Ahmad Zahid berkata UMNO sesungguhnya berasa amat berterima kasih kepada parti Islam itu kerana sudi bekerjasama selepas ‘sengketa’ yang lama.
“Itu sejarah. Namun kesedaran kedua-dua pihak selepas PRU14 adalah kebangkitan kepada perjuangan serumpun di negara ini. Tanpa mempersoalkan hak bangsa lain, kami akan terus membela, mempertahan dan mengembalikan hak yang dirampas,” katanya.
Kerjasama itu dikecam oleh banyak pihak, terutamanya Dap yang menuduh ingin mewujudkan Negara Taliban dan mengancam kestabilan negara kerana mereka sudah mulai nampak keberkesanannya, di samping menggugat politik mereka.
Dengan itu, Dr Ahmad Zahid menggesa orang Melayu dan rakyat agar tidak lagi tertipu dengan janji, pembohongan dan dakyah yang ditaburkan oleh PH demi masa depan generasi sekarang dan akan datang. – MediaUMNO
0 comments:
Post a Comment