Friday 21 June 2019

Pindaan Perlembagaan: Pandangan Bersifat Spekulatif, Pra-matang Tidak Gambarkan Perkara Sebenar – SUA


KUALA LUMPUR, 21 Jun – Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa dengan tegas menyatakan sebarang kenyataan yang merujuk kepada sebarang pandangan yang spesifik adalah bersifat spekulatif dan pra-matang (premature) serta tidak menggambarkan perkara sebenar.

Menurutnya, berhubung dengan pindaan perlembagaan UMNO, Majlis Kerja Tertinggi (MKT) akan mencadangkan satu usul melalui satu Perhimpunan Agung Khas November ini bagi meminda beberapa fasal tertentu di perlembagaan parti bertujuan memperkemaskan lagi UMNO sesuai dengan tuntutan semasa.

“Bagaimanapun proses ini masih di peringkat awal, iaitu mengutip pandangan dan syor akar umbi dan sayap-sayap parti oleh satu jawatankuasa yang dipengerusikan oleh salah seorang Naib Presiden UMNO.

“Ini merupakan peringkat pertama dari enam peringkat (stage) yang bakal dilalui sebelum sebarang pindaan dibawa ke Perhimpunan Agung khas.

“Peringkat lain termasuklah taklimat kepada jawatankuasa pengurusan, perbincangan peringkat MKT, taklimat cadangan MKT kepada Bahagian-bahagian, keputusan akhir syor MKT dan Perhimpunan Agung Khas,” ujarnya dalam satu kenyataan media, di sini, hari ini.

Jelas Annuar yang juga Ahli Parlimen Ketereh, syor-syor tersebut terlebih dahulu akan dibincang dan diteliti oleh MKT, dijangka penghujung bulan ini dalam satu retreat khas ahli MKT.

“Ketika ini, MKT belum memutuskan sebarang perkara spesifik berhubung pindaan ini.

“Sebarang cadangan MKT akan dibawa untuk ditaklimatkan kepada akar umbi sebelum ia dibentangkan di Perhimpunan Agung Khas nanti,” katanya. – Media UMNO

0 comments:

Post a Comment