Saturday 15 June 2019

Serlahkan Wajah UMNO Sebagai Pembela Kepada Seluruh Rakyat – Dr Shamsul


KUALA LUMPUR, 15 Jun – Ketua Penerangan UMNO, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah mengajak seluruh ahli parti untuk menyerlahkan wajah sebenar UMNO yang ikhlas berjuang membela kepentingan orang Melayu, Bumiputera dan rakyat keseluruhannya tanpa mengira bangsa dan agama.

Menurut beliau kehilangan kuasa semasa Pilihan Raya Umum (PRU-14) mesti menjadi pengajaran besar kepada semua untuk UMNO bangkit semula menjadi parti yang lebih kuat daripada sebelum ini.

“Selamat bersidang kepada pimpinan dan ahli parti di 191 bahagian UMNO seluruh negara. Mesyuarat perwakilan bahagian dan sayap parti bermula minggu ini.

“Sudah tentu keupayaan UMNO terus mengadakan mesyuarat sebagaimana sepatutnya adalah gambaran kekuatan yang dimiliki UMNO”, katanya dalam satu kenyataan di sini.

Jelas beliau lagi sewajarnya mesyuarat ini bukan semata untuk memenuhi aturan dan perlembagaan parti sahaja.

“Jauh daripada itu, kita mesti manfaatkanya untuk berbincang, melakukan muhasabah, menilai apa yang kita lakukan sebelum ini, dan kemudian merencana langkah seterusnya demi menjayakan perjuangan UMNO untuk Agama, Bangsa dan negara tercinta,” ujarnya.

Beliau seterusnya berkeyakinan UMNO sebagai sebuah parti terbesar orang Melayu dan bumiputra dalam negara ini sedang diperhati serta dinilai oleh rakyat.

“Kita mesti buktikan dan yakinkan rakyat UMNO adalah yang terbaik dan mampu diletakkan sandaran serta diberikan semula mandat dan tanggungjawab memimpin Malaysia negara tercinta ini.

“Dipersidangkan ini marilah kita serlahkan wajah sebenar UMNO yang ikhlas berjuang membela kepentingan orang Melayu, Bumiputera dan rakyat keseluruhannya tanpa mengira bangsa dan agama”, katanya.

Dan percayalah tegas beliau, melihat kepada prestasi serta cara Kerajaan PH mentadbir Malaysia ketika ini pasti ia mengecewakan rakyat.

Justeru ujarnya lagi UMNO mesti dilihat serta diyakini untuk mengambilalih semula pemerintahan negara ini, jadi manfaatkan persidangkan ini bagi membuktikan UMNO bersatupadu, kuat, ikhlas, berjuang untuk kepentingan dan masa depan rakyat.-MediaUMNO

0 comments:

Post a Comment