Friday 28 June 2019

Tragedi Pasir Gudang Berulang Kembali: PH Gagal, Tiada Strategi Jitu…


KUALA LUMPUR, 28 Jun – Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan menempelak kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang ternyata gagal menangani masalah pencemaran udara yang kronik di Pasir Gudang.

Bukan sahaja gagal menyelesaikan isu tersebut secara tuntas, malah ketiadaan strategi yang jitu bagi memastikan tragedi sama tidak akan berulang, tegas Ahli Parlimen Pontian itu dalam Twitternya.

“Pencemaran kronik. Rejim #PH #Dap gagal untuk selesaikan isu dengan tuntas dan bentang strategi yang jitu.

“#Rakyat tidak ingin dengar alasan. Mereka minta siasatan segera, hukuman yang berat dan pampasan adil,” ciapnya.

Bahkan dilaporkan juga Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim pernah menyuarakan ketidakpuasan hatinya berhubung cara krisis tersebut diuruskan oleh kerajaan.

Kegagalan kerajaan bertindak dengan menyeluruh bidas Ahmad, adalah harapan demi harapan palsu yang diberikan oleh PH.

“Hingga hari ini harapan palsu yang diberi dan petaka yang berpanjangan,” kesalnya.

Sebagai rekod, tragedi terbaharu ini merupakan kejadian kali kedua berlaku dalam tempoh tiga bulan sahaja.

Ketidakcekapan kerajaan PH menangani isu pencemaran di Pasir Gudang telah membuat rakyat bangkit menyerahkan memorandum kepada kerajaan negeri Johor baru-baru ini, menuntut supaya segera dibentangkan pelan strategi pengurusan kes secara menyeluruh kepada rakyat termasuklah mengeluarkan senarai pihak-pihak yang terlibat dengan segera.

Pada Mac lalu, ribuan rakyat Pasir Gudang menjadi mangsa pencemaran udara yang teruk kesan dari pembuangan sisa bahan toksik di Sungai Kim Kim oleh pihak yang tidak bertanggungjawab di mana menurut Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad pada 20 Mac lalu, seramai 5,848 kanak-kanak dan orang dewasa dirawat sejak 8 Mac akibat pencemaran sisa beracun di sungai tersebut.

Daripada jumlah itu, 951 mangsa dimasukkan dalam wad, manakala 25 pula dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU)

Terkini, Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC) mengesan kehadiran gas methyl mercaptan yang dianggap sebagai keganjilan (anamoly) dalam kes pencemaran terbaharu di Pasir Gudang, Johor.

Menurut Menterinya, Yeo Bee Yin, dua gas lain yang dikesan adalah Acrylonitrile dan Acrolein, yang masing-masing turut dikesan ketika kes pencemaran Sungai Kim-Kim, beberapa bulan lalu. – MediaUMNO

0 comments:

Post a Comment