KUALA LUMPUR, 14 Jun – Ketua Pergerakan Wanita UMNO Malaysia Datuk Noraini Ahmad berkata, UMNO tidak berminat dengan permasalahan yang sedang melanda Pakatan Harapan (PH) kerana agenda utama sekarang ini adalah memperkasa parti menuju Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).
Jelas beliau, ‘kecelaruan’ yang sedang melanda PH sekarang ini tidak memberi untung kepada UMNO lagi pula cara politik UMNO adalah berdasarkan fakta dan bukannya auta.
“Agenda penting dan besar kita adalah PRU-15. Apa nak jadi dengan PH itu urusan mereka. Memang kita sudah sedia maklum dari dulu lagi, kesepakatan mereka dalam PH hanya kerana kuasa. Sebab itu mereka mampu tidur sebantal tapi tidak pernah mempunyai mimpi yang sama….
“Maka buat apa kita sibuk dalam masalah mereka… lebih baik kita tumpukan pada mesyuarat bahagian yang akan bermula Ahad ini. Kita rapatkan saf, kita kukuhkan hubungan Barisan Nasional (BN) bersama PAS dan jalan terus untuk mendapat kemenangan dalam PRU-15,” ujar beliau kepada UMNO-Online.
Tambah Noraini, mungkin ada yang berpendapat inilah masa terbaik untuk UMNO mengambil kesempatan membuktikan bahawa segala fitnah dan tohmahan yang pernah dilemparkan sehingga BN tewas dalam PRU-14 namun sebagai sebuah parti yang memperjuangkan kebenaran dan berlandaskan fakta, UMNO mempunyai cara untuk ‘memberitahu’ kepada rakyat bahawa parti keramat ini adalah yang terbaik.
“Kita tidak perlu terikut dengan cara pembangkang dahulu. Kita ada cara kita… kalau hendak berlawan biar berhemah, barulah orang akan hormat kita… sekarang ini rakyat sedang mememerhati dan menilai.
“Rakyat bijak dan tahu membezakan parti mana yang jauh lebih baik malah kini rakyat sudah ramai menyedari bahawa mereka telah tersalah pilih jadi janganlah kita musnahkan momentum ini dengan tingkah laku yang boleh merosakkan apa yang telah kita bina,” ujarnya lagi.
Selain itu, beliau turut berpesan terutamanya kepada semua Wanita UMNO peringkat bahagian yang bakal melangsungkan mesyuarat untuk melaksanakan persidangan secara berkhemah dan atasi segala permasalahan dengan baik.
“Kita cari solusi terbaik untuk kita menang dalam PRU-15 nanti. Gunakan mesyuarat bahagian ini sebagai satu platform bagi menyuarakan pandangan kepada kepimpinan parti,” luah beliau. – MediaUMNO
0 comments:
Post a Comment