PULAU PINANG - Kenyataan Timbalan Ketua Menteri 1, Datuk Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman mengenai pembinaan jajaran transit aliran ringan (LRT) berhampiran Masjid Jamek Sungai Nibong Besar (MSNB) dalam sidang akhbar Jumaat lalu menimbulkan lebih banyak kekeliruan berbanding pencerahan.
Sehubungan itu, Pengerusi Pertubuhan Warisan Tanah & Teroka Bandar (Teroka), Zikrullah Ismail menggesa Ahmad Zakiyuddin memberikan penjelasan terhadap tiga perkara yang kini menimbulkan persoalan kepada banyak pihak terutama kariah MSNB.
Pertamanya, kata beliau, Ahmad Zakiyuddin perlu menjelaskan maksud tidak seinci pun tanah wakaf perkuburan tidak akan diusik iaitu sama ada tidak akan ada sebuah kubur pun akan terlibat jika jajaran diteruskan berhampiran tanah wakaf.
“Teroka meminta pelan pembinaan terbaharu yang dikatakan tidak mengganggu seinci pun tanah wakaf perkuburan MSNB dihebahkan kepada awam,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Selain itu, Zikrullah berkata, Ahmad Zakiyuddin juga dituntut memberikan penjelasan apakah alasan pemaju dan kerajaan negeri tidak dapat memenuhi janji awal yang dipersetujui bersama MSNB, iaitu menggunakan jajaran yang dapat mengelak daripada tanah perkuburan.
“Persoalan lain yang diperlu dijelasakan ialah adakah kerajaan negeri akan meratifikasikan Akta Perancangan Bandar dan Desa (Akta A1522, pindaan 2017) yang memperuntukkan keperluan melaksanakan Penilaian Impak Sosial berskala penuh bagi projek LRT tersebut?” katanya.
Ini kerana, menurut Zikrullah , jika kerajaan negeri benar-benar telus dan berintegriti, perkara itu harus dilaksanakan dan laporan tersebut hendaklah didedahkan kepada awam.
Dalam pada itu, Zikrullah berkata, berdasarkan pemerhatian pihaknya, sekurang-kurangnya terdapat tujuh buah masjid akan terkesan secara langsung dengan projek LRT dan juga melibatkan beberapa kawasan kampung Melayu di sepanjang jajaran LRT dalam daerah Barat Daya.
“Jika sikap pihak berwajib yang terlalu bermudah dan pro kepada pemaju, Teroka khuatir usaha untuk menjayakan projek mega Pelan Pengangkutan Induk Pulau Pinang (PIP) yang melibatkan pakej LRT, lebuh raya dan tambak laut akan membawa perubahan sosio demografi Melayu Muslim yang besar dalam daerah tersebut selepas ini.
“Perubahan sosio demografi yang berlaku secara drastik akan mengubah taburan dan populasi penduduk Melayu Muslim dan tidak mustahil satu hari nanti masjid-masjid di kawasan Barat Daya akan kekurangan ahli-ahli kariah untuk mengimarahkan masjid seperti mana yang dialami di beberapa masjid di daerah Timur Laut,” katanya. -UTUSAN ONLINE
0 comments:
Post a Comment