Monday 1 July 2019

Kepulangan Ahmad Zahid Tidak Harus Cetus Polemik


KUALA LUMPUR - UMNO harus menumpukan usaha untuk membela nasib rakyat yang kian sengsara dengan pelbagai dasar kerajaan Pakatan Harapan (PH) sehingga menyusahkan mereka.

Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, keutamaan kini harus difokuskan kepada usaha penyatuan ummah dan kerjasama antara dua parti iaitu UMNO dan Pas demi mempertahankan martabat agama serta maruah bangsa yang semakin dirobek di bawah rejim PH.

Sehubungan itu katanya, pengumuman Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi untuk kembali bertugas selaku Presiden UMNO setelah bercuti tidak harus mencetuskan polemik baharu dalam kalangan ahli kerana ia selaras dengan Perlembagaan parti dan hak mutlak beliau selaku presiden yang sah.

“Di kala regim PH yang haru biru dan sedang mengalami pergolakan dalaman yang kronik, UMNO harus menumpukan usaha untuk membela nasib rakyat yang kian sengsara dengan pelbagai dasar PH yang menyusahkan mereka.

“Dengan kesatuan yang utuh, kesetiaan pada idealisme perjuangan dan meletakkan kepentingan parti melebihi peribadi, insya-Allah, UMNO mampu bangkit kembali demi rakyat dan negara tercinta,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Ahmad Zahid semalam mengumumkan akan kembali aktif memimpin UMNO selepas bercuti selama enam bulan sebelum ini.

Bekas Timbalan Perdana Menteri itu membuat pengumuman itu pada satu Majlis Hari Raya Aidilfitri di Sungai Sumum, Bagan Datuk, Perak sempena setahun beliau dipilih sebagai Presiden parti itu. - UTUSAN ONLINE

0 comments:

Post a Comment