Friday 5 July 2019

Perteguh Saf Harungi Gelora


SEJARAH perjuangan orang Melayu bermula dengan gabungan pelbagai pertubuhan dan persatuan. Pertubuhan-pertubuhan Melayu ketika itu, laksana ranting, tetapi apabila terhimpun berupaya menyalakan api besar, hingga berjaya meruntuhkan gagasan Malayan Union. UMNO sendiri ditubuhkan melalui Kongres yang menghimpunkan 41 pertubuhan Melayu.

Kekuatan orang Melayu dan pertubuhan ketika itu, tidak didukung oleh kemewahan kewangan, majoritinya pertubuhan tidak dipimpin oleh sarjana berkelulusan tinggi, tetapi dipimpin oleh para guru dan ustaz, kerani dan penghulu, petani dan nelayan. Kebangkitan mereka memperjuangkan kemerdekaan berbekalkan kecekalan, kesatuan dan semangat sedia berputih tulang dari hidup berputih mata.

Syeikh Rached el-Ghannouchi, pemimpin gerakan An-Nahdah di Tunisia, berpandangan “jika ada dua parti politik orang Islam yang berebut kuasa, di situlah punca perpecahan umat Islam di mana-mana negara kerana politik itu mencetuskan kebencian yang luar biasa sehinggakan umat tidak boleh bersikap rasional lagi”

Keresahan ummah pasca PRU ke-14 mula terubat dengan usaha ta’awun siyasi antara UMNO-PAS. Walaupun dahulu ramai beranggapan ta’awun kedua parti terbesar orang Melayu adalah sesuatu yang hampir mustahil. Di sebalik penerimaan positif ta’awun ini, ada juga golongan yang kurang selesa dan merasa tergugat melihat ta’awun UMNO – PAS menuju realiti. Propaganda demi propaganda mula dicipta dan direka bagi meracuni pemikiran rakyat.
Kembalinya saya mengemudi UMNO dengan dua agenda besar menjadi fokus dan tumpuan:

• Merapat dan memperteguh saf kepimpinan dan ahli

• Memperkasa dan merealisasikan agenda ta’awun dan tahaluf siyasi UMNO – PAS dan seterusnya kembali menjadi kerajaan selepas PRU Ke-15

Agenda memperteguhkan saf terutamanya di peringkat kepimpinan tertinggi adalah kunci kepada keutuhan dan ketahanan UMNO bagi mengharugi gelora propaganda Pakatan Harapan. Saya berkeyakinan dengan pencaturan dan gerak kerja yang tersusun berdasarkan kepakaran setiap pimpinan, UMNO, mampu menghadapi apa jua halangan dalaman atau luaran parti.

Gerak kerja yang lebih spesifik antara pimpinan tertinggi UMNO dengan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Ketua Pembangkang, Dato’ Seri Mahdzir Khalid sebagai Ketua Whip Pembangkang dan Dato’ Seri Khaled Nordin sebagai Pengerusi Jawatankuasa Teknikal Perpaduan Ummah membuktikan bahawa UMNO serius melakukan transformasi gerak kerja parti.

Pimpinan tertinggi parti menjadi penyelesai kepada kemelut dan krisis yang timbul, sepertimana yang diungkapkan oleh Tenas Effandy:

Bertuah ayam ada induknya, bertuah serai ada rumpunnya, bertuah rumah ada tuannya, bertuah negeri ada rajanya, bertuah imam ada jemaahnya.

Yang dikatakan pemimpin, berkatanya lidahnya masin, bercakap pintanya kabul, melenggang tangannya berisi. Menyuruh sekali pergi, menghimbau sekali datang, melarang sekali sudah.

Walau berhadapan dengan 87 pertuduhan di mahkamah, saya tetap positif dengan ketentuan ini sebagai harga sebuah perjuangan. Saya akan menghadapinya secara peribadi tanpa melibatkan dan menjejaskan UMNO sebagai sebuah organisasi politik apatah lagi kepada kepimpinan dan ahli-ahli UMNO. Saya berpegang dengan kata hikmah “tidak mudah untuk menjadi seorang pejuang yang berprinsip. Hanya keyakinan dan keikhlasan mampu merealisasikan prinsip perjuangannya”.

UMNO akan terus konsisten memperjuangkan dan melindungi hak orang Melayu dan Bumiputera. Agenda ini demi kelangsungan orang Melayu untuk jangka panjang, kerana sedikit demi sedikit hak, maruah dan martabat orang Melayu dan Bumiputera terhakis. Jika ada suara menuntut untuk dipertahankan kedudukan bangsa, suara tersebut dimomokkan sebagai rasis, dianggap merugikan strategi perjuangan, disifatkan menyinggung perasaan kaum lain. Sheikh Muhammad Abduh pernah mengingatkan bahawa “Islam itu didindingi oleh umat Islam” dan selamanya UMNO akan terus mendindingi orang Melayu dan Bumiputera.

Saya percaya PH akan terus melancarkan gerakan propaganda dan sabotaj, bagi mengagalkan proses memperkukuhkan UMNO dan perpaduan ummah. Jangan pandang kecil pada kilauan pangkat, kedudukan dan janji wang ringgit. Kebiasaannya sabotaj seperti ini agak susah untuk ditempohi dan seringkali disambut sebahagian “pejuang” tanpa sedar. Terutama oleh mereka yang tidak sabar dalam perjuangan. Mengharapkan kemenangan yang cepat dan keuntungan duniawi yang berlipat.

Jelas matlamat dan keikhlasan berjuang menjadi benteng kukuh dari ancaman gerakan sabotaj dan propaganda politik. Tanpa matlamat dan ikhlas, lahirlah pejuang yang tiada arah tuju (muzabzabin) dan golongan yang ragu (was-was). Pejuang yang lemah sering menjadi mangsa sabotaj. Kita perteguhkan landasan perjuangan dengan:

• Membantu UMNO mengikut kepakaran masing-masing menegur dan memperbetulkan kerajaan hari ini, bukan menyerang sesama sendiri

• Menjadi juru bicara parti, mempositifkan kritikan netizen yang negatif

• Menjadikan media elektronik sebagai medium menyebarkan dan menerangkan kebaikan bukan keburukan.

Jika dahulu Melayu kuat dan teguh melalui formulanya “Melayu bersatu”. Sekarang apabila wujudnya usaha ta’awun dan tahaluf siyasi, formula itu evergreen dan bukan sebarangan strategi, ia sudah diuji dan terbukti keberkesanannya. Perteguhkan saf pasti segala rintangan dan halangan dapat diatasi dengan mudah.

AHMAD ZAHID HAMIDI
#demiummah
#akhiratdidepan

0 comments:

Post a Comment