Tuesday, 2 July 2019

“Tidak Cerdikkah Rakyat Zaman Malaysia Haru-Biru Ini?” Soal Zahid


KUALA LUMPUR, 2 Julai – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menempelak Pakatan Harapan (PH) kerana sebelum 9 Mei 2018, apa sahaja yang melibatkan kerajaan Barisan Nasional (BN) dengan negara China menjadi alahan kepada mereka.

“Bawa pelaburan pun diheboh jual negara. Proton adalah mangsa airmata paling besar konon dijual kepada China tapi hari ini ramai puji Proton X70 yang boleh bercakap,” sinisnya dalam satu hantaran di Facebook.

Tetapi apa yang berlaku hari ini setelah menjadi kerajaan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu, bidas Ahli Parlimen Bagan Datuk itu, PH melantik dua warga China sebagai ahli Lembaga Pengarah Khazanah Nasional Berhad, sebuah syarikat pelaburan dan pemegang aset strategik milik negara.

“Kami sebagai rakyat tak sangkal lantikan itu secara individu kerana mereka dilihat layak, namun tidak cerdikkah rakyat Malaysia di zaman Malaysia Haru-Biru ini?

“Eloklah Khazanah Nasional ditukar kepada Khazanah International,” sindirnya lagi.

Untuk rekod, selain ‘galak’ menjual aset-aset kerajaan, terbaharu PH mengumumkan pelantikan ahli Lembaga Pengarah Khazanah Nasional dari China iaitu Pengasas SenseTime dan pensyarah di Chinese University of Hong Kong, Prof Xiao’ou Tang serta Naib Presiden Eksekutif Kanan dan Pengerusi Pemasaran dan Penjenamaan Kumpulan Tencent Holding Company Limited, Lau Seng Yee selain Ketua Bahagian Penasihat Jabatan Peguam Negara, To’ Puan Azian Mohd Aziz.

Sebelum PRU-14 lalu, pemimpin PH amat lantang menghasut rakyat dengan mengatakan kerajaan BN menjual negara dan kedaulatan negara disebabkan banyak pelaburan masuk dari negara tersebut seperti projek Forest City, Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), keretapi laju Kuala Lumpur-Singapura (HSR) dan pelbagai lagi.

Ironinya, selepas menjadi kerajaan, PH bukan sahaja meneruskan projek-projek berkenaan dan menjual aset-aset kerajaan malahan hingga ke tahap menambah hutang rasmi negara dengan menagih ehsan China dengan Bon Panda, selain Bon Samurai dari Jepun. – Media UMNO

0 comments:

Post a Comment