Thursday 4 July 2019

Usaha Pecah Belahkan UMNO-PAS Tak Akan Berjaya, Agenda Melayu/Islam Jadi Keutamaan


PERMATANG PAUH, 4 Julai – Ketua UMNO bahagian Permatang Pauh Datuk Mohd Zaidi Mohd Said berkata, usaha untuk memecah-belahkan UMNO dan PAS ini tidak mungkin berjaya kerana hari ini kedua-dua parti tersebut sepakat meletakkan asas perjuangan untuk mengembalikan Melayu dan Islam sebagai keutamaan.

Katanya, tuduhan yang mengatakan kerjasama UMNO dan PAS akan berhadapan masalah apabila timbul isu pembahagian kerusi di Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) nanti hanyalah satu usaha untuk merosakkan permuafakatan yang terjalin.

Jelas beliau usaha tersebut tidak mungkin terjadi kerana majoriti akar umbi ke dua-dua parti telah menerima kerjasama yang terjalin ini.

“Hari ini agenda muafakat UMNO dan PAS lebih kepada semangat untuk mengembalikan kuasa pemerintah dalam negara ini kepada parti yang lebih layak daripada yang ada sekarang ini.

“Ini kerana kualiti kepimpinan dalam UMNO dan PAS jauh lebih hebat daripada kerajaan PH. Kita sendiri boleh lihat menteri-menteri PH adalah di kalangan orang yang tidak layak berada dalam kerajaan.

“Sebab itu mereka sering memberi alasan tidak ada pengalaman. Jadi, mereka berusaha untuk pecah-belahkan hubungan UMNO dan PAS agar mereka dapat ilmu bila jadi kerajaan selepas PRU-15 nanti,” ujar beliau kepada UMNO-Online.

Tambah Zaidi, beliau percaya bahawa semua pihak baik di dalam UMNO mahupun PAS, masing-masing mempunyai semangat untuk mengembalikan kuasa dengan mengenepikan segala perbezaan yang ada.

“Jadi soal perebutan kerusi tidak akan timbul kerana kedua-dua belah pihak telah mempunyai asas bagaimana mahu membahagikan kerusi.

“Saya yakin, di mana sahaja UMNO dan PAS bertanding pada PRU-15 nanti, kita boleh menang, maka usaha untuk memecah-belahkan UMNO dan PAS ini tidak mungkin berjaya sekiranya kita meletakkan asas perjuangan untuk mengembalikan Melayu dan Islam sebagai keutamaan,” ulasnya lagi. – MediaUMNO

0 comments:

Post a Comment