This is default featured slide 3 title

Go to Blogger edit html and find these sentences.Now replace these sentences with your own descriptions.

This is default featured slide 4 title

Go to Blogger edit html and find these sentences.Now replace these sentences with your own descriptions.

This is default featured slide 5 title

Go to Blogger edit html and find these sentences.Now replace these sentences with your own descriptions.

Tuesday 30 April 2019

OBOR : ‘U-Turn’ PH Buktikan Inisiatif BN Sebelum Ini Tepat – Shahril


KUALA LUMPUR, 30 April – Pemuda UMNO melihat tindakan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan kerajaan Pakatan Harapan (PH) membuat ‘U-turn’ bagi projek pelaburan China menerusi inisiatif ‘One Belt, One Road’ (OBOR) membuktikan kerajaan pimpinan Barisan Nasional (BN) sebelum ini membuat keputusan tepat untuk turut serta di dalam inisiatif tersebut yang boleh memberi pulangan besar kepada negara.

Naibnya, Shahril Sufian Hamdan berkata walaupun Tun Mahathir sebelum ini menyatakan bahawa banyak perjanjian pelaburan yang dibuat sebelum ini adalah tidak telus dan berat sebelah yang tidak menguntungkan Malaysia, namun perkara tersebut masih menjadi pertikaian dan menimbulkan persoalan.

“Sebagaimana kenyataan dahulu bahawa projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) adalah bagi menutup skandal 1MDB, sehingga kini tiada apa-apa bukti yang ditunjukkan oleh kerajaan PH untuk menunjukkan kaitannya,” katanya kepada UMNO-Online, di sini hari ini.

Sambung Shahril lagi, oleh yang demikian seharusnya kerajaan PH menunaikan janji yang telah dibuat di dalam manifesto mereka iaitu untuk menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi merungkai persoalan sebenar.

Ternyata tegas beliau, apa yang dilakukan selama ini oleh kerajaan PH tidak merungkai persoalan sewajarnya.

“Skrip yang berulangkali digunakan dalam menyalahkan kerajaan terdahulu tidak akan menemui noktah penamat sekiranya dakwaan-dakwaan ini tidak disusuli dengan siasatan penuh badan bebas seperti RCI ini,” tambahnya.

Pada 13 Ogos tahun lalu, sebuah media arus perdana memetik temubual eksklusif Tun Mahathir bersama Associated Press (AP) yang mengatakan perdana menteri itu sedang mempertimbangkan untuk membatalkan semua projek pembangunan infrastruktur yang disokong oleh China.-MediaUMNO

Dipilih Oleh Rakyat Bukan Tiket Bermaharajalela, Tegas Annuar


KUALA LUMPUR, 30 April – Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa mengecam sesetengah pihak dari kalangan ahli politik yang berterusan mahu memusuhi institusi Diraja.

Bidasnya dalam catatan di Facebooknya, hanya kerana dipilih oleh rakyat itu bukan tiket seseorang pemimpin untuk bermaharajalela.

“Raja-raja tidak bertindak menyusahkan rakyat. Baginda tidak membuat dasar, tidak berparti dan berpuak-puak. Baginda tidak berkempen. Baginda tidak mengurus wang rakyat.

“Tapi kita orang politiklah yang lakukan segalanya. Salah tindakan kita terutamanya yang berkuasa, maka rakyat menanggung akibatnya.

“Kita yang bertanggungjawab mencukai rakyat, bukan Raja. Kita yang bertanggungjawab membuat segala lantikan. Kita orang politik yang buat segala kempen dan janji,” jelasnya lagi.

Justeru ujarnya, menjadi tanggungjawab bagi pemimpin agar jangan mengalih pandangan terutama atas ketamakan kuasa untuk membenci Raja.

“Kita dan saya sendiri telah lalui pengalaman yang banyak mengajar kita. Usah terperangkap dengan perebutan kuasa hingga kita mahu mengheret Raja-raja.

“Kita orang politik boleh menjadi rakus dengan kuasa dan bukannya Raja yang punya kuasa terhad sebagai Raja Berperlembagaan,” tegasnya lagi.

Begitulah juga katanya yang berkaitan dasar-dasar seperti menangani kos sara hidup rakyat dan harga barang, mendukung prinsip ‘Rule of Law’, mengurus ekonomi negara, hal yang berkaitan integriti serta sistem keadilan semuanya berada di tangan orang politik. – Media UMNO

Monday 29 April 2019

Zahida Bidas Kerajaan PH, #KerajaanSepenggal Semakin Mengarut


KUALA LUMPUR, 29 April – Tindakan Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yasin yang mahu mengkaji cadangan menggugurkan perkataan agama dalam kad pengenalan mendapat kritikan pelbagai pihak.

Ketua Puteri UMNO Datuk Zahida Zarik Khan dalam twitternya turut mengecam kerajaan Pakatan Harapan (PH) mengenai isu yang sama.

“Apa dah jadi? Kerajaan PH! Gugurkan la semua pun takpe, rakyat sukakan?

“Kalau gugurkan identiti agama pada MyKad akan kurangkan kos sara hidup ke?,” bidasnya.

Baru-baru ini, seorang senator dari parti Dap, Nga Hock Cheh dalam sidang Dewan Negara mencadangkan agar perkataan agama di dalam kad pengenalan digugurkan.

Seterusnya, Zahida turut melihat kerajaan PH semakin hari semakin mengarut mengeluarkan kenyataan demi kenyataan serta mencadangkan dasar-dasar yang tidak memberi manfaat kepada rakyat keseluruhannya.

“Makin dekat ulang tahun makin mengarut kerajaan PH, kerajaan penipu rakyat.

“Jadi memang sesuailah kita gelar PH kerajaan sepenggalkan?,” soalnya lagi sambil meninggalkan tanda pagar #KerajaanSepenggal ditweetnya itu.

9 Mei ini genap setahun pemerintahan PH selepas memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) tahun lalu dengan muslihat menawarkan janji-janji palsu serta membudayakan politik fitnah. – Media UMNO

Forum Statut Rom: Polis Siasat Tapi Siapa Yang Nak Dakwa Peguam Negara?


KUALA LUMPUR, 29 April – Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia mengalu-alukan kesediaan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menyiasat Forum Awam Malaysia dan Statut Rom di Auditorium Tun Suffian, Universiti Malaya yang jelas bukan sahaja menghasut bahkan menghina institusi Raja-Raja Melayu yang turut menampilkan Peguam Negara Tommy Thomas sebagai salah seorang panelisnya.

Walaupun begitu, Ketuanya Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menimbulkan persoalan apakah yang akan berlaku selepas kertas siasatan di peringkat PDRM selesai serta diangkat ke Pejabat Peguam Negara dan apakah Peguam Negara akan mendakwa dirinya sendiri.

“Sebab itulah adalah lebih beretika jika Tommy Thomas meletakkan jawatan selaku Peguam Negara sebelum dipecat oleh Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda (DYMM SPB) Yang di-Pertuan Agong.

“Desakan Pemuda UMNO ini adalah munasabah malah amat selari dengan peruntukan Perkara 145 (5) Perlembagaan Persekutuan yang menyebut bahawa “Peguam Negara hendaklah memegang jawatan selama diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong”.

“Bagi Pemuda UMNO, Tommy Thomas sudah tidak layak memegang jawatan Peguam Negara kerana beliau boleh dianggap bersubahat bahkan langsung tidak mempertahankan Raja-Raja Melayu tatkala panelis Forum menyalahgunakan kebebasan bersuara yang mereka miliki untuk menukar forum awam ini menjadi satu medan terbuka untuk membangkitkan kebencian dan penghinaan terhadap Raja-Raja Melayu di hadapan Peguam Negara tersebut,” tegasnya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Asyraf turut menyenaraikan tiga kebencian dan penghinaan utama terhadap Raja-Raja Melayu.

“Pertama, mendakwa Raja-Raja Melayu merasa terancam dan tidak memberi perkenan kepada ratifikasi Statut Rom kerana mahu melindungi diri mereka dari jenayah kemanusiaan yang mereka lakukan.

“Kedua, mendakwa Raja-Raja Melayu dari Johor ke Perlis bukan keturunan Raja sebenarnya tetapi adalah keturunan daripada orang yang diletakkan sebagai Raja oleh British.

“Terakhir, mendakwa Raja-Raja Melayu makin meluas menentang, menceroboh dan melanggar perlembagaan negara, termasuk dianggap sebagai antara perompak kekayaan negara,” ujarnya lagi.

Justeru Asyraf musykil bagaimana mungkin Tommy Thomas sebagai Peguam Negara boleh menasihatkan Yang di-Pertuan Agong dengan baik dari sudut undang-undang apabila beliau langsung gagal bersuara malah bersekongkol bila perlanggaran undang-undang membabitkan Baginda dan institusi Raja-Raja Melayu berlaku di hadapan beliau.

“Sewajarnya Peguam Negara tidak perlu hadir bersekongkol bahkan sepatutnya menasihatkan penganjuran forum awam ini dibatalkan setelah Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, mengumumkan kabinet memutuskan bahawa kerajaan Malaysia akan menarik balik ratifikasi ke atas Statut Rom,” tambahnya.

Sehubungan itu katanya, Pemuda UMNO Malaysia mendesak agar Tommy Thomas meletakkan jawatan secara terhormat kerana ternyata telah membelakangi DYMM SPB Yang di-Pertuan Agong dan kerajaan Malaysia yang telah membuat keputusan menarik balik ratifikasi Statut Rom ini.- Media UMNO.

Saturday 27 April 2019

UMNO PAS Teruskan Jelajah Perpaduan Ummah, Tolak Ketidakfahaman Dan Putar-belit Sesetengah Pihak


KUANTAN, 27 April – Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata jelajah perpaduan ummah yang diusahakan oleh UMNO dan PAS berperanan sebagai medium penerangan kepada rakyat mengenai kepentingan bersatu padu dan demi kesejahteraan negara.

Jelas Mohamad yang menjalankan tugas-tugas presiden parti, ia juga bagi mengelakkan agenda penyatuan ummah disalahfaham serta diputar-belitkan oleh sesetengah pihak yang mempunyai agenda-agenda tertentu.

“Kita tidak mahu agenda penyatuan ummah ini disalahfaham dan diputar-belit oleh orang-orang yang mempunyai agenda-agenda yang tertentu sehinggakan ada yang melabelkan agenda penyatuan ummah ini sebagai deklarasi peperangan terhadap orang bukan Islam dan bukan Melayu.

“Itu bukannya tujuan kita. Kita nak menyatupadukan rakyat Malaysia, yang mana terlebih dahulu kita hendak menyatukan orang Melayu dan orang Islam.

“Jika penduduk yang terbesar di dalam sesebuah negara bersatu padu, negara akan jadi aman damai dan bila negara aman damai, sejahtera maka rakyat bukan Melayu atau bukan kelompok yang disatukan itu akan (turut) dapat menikmati kesejahteraan,” ujarnya dalam sidang media selepas program Himpunan Perpaduan Ummah peringkat negeri Pahang, di sini, malam tadi.

Hadir sama, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Turut hadir, Setiausaha Agung UMNO Tan Sri Annuar Musa, Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyudin Hasan serta pemimpin-pemimpin kedua-dua parti dari pelbagai peringkat.

Kira-kira lebih sepuluh ribu rakyat yang berbilang kaum dan agama membanjiri lokasi himpunan di Padang MPK1, di sini.

Tambah Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu lagi, apabila negara aman dan politik stabil maka pelabur luar akan datang melabur ke negara yang stabil politiknya kerana mereka tidak mahu melabur ke negara yang tidak ada ketentuan politik.

“Jadi ini merupakan satu modul yang kita buat agar rakyat dalam negara bersatu padu semula, jangan berpecah kerana pengakhir cerita jika negara kita tidak stabil rakyat juga akan menjadi sebagai orang yang mendapat bahana daripada masalah-masalah tersebut.

“Maka inilah hasrat kita UMNO dan PAS dua parti Melayu terbesar dalam negara mahu melihat supaya penduduk terbesar di negara ini bersatu padu dan tekad untuk pastikan negara yang bertuah ini terus aman dan sejahtera serta menjadi tempat yang baik untuk semua rakyat yang berbilang kaum membina kehidupan,” katanya lagi yang turut bersyukur majlis berjalan dengan baik dan cukup harmoni.

Sehubungan itu, Mohamad turut memberi jaminan bahawa agenda penyatuan ummah bukan agenda meminggirkan sesetengah kelompok dan kaum kerana yang penting perpaduan antara rakyat.

“Jangan bimbang, jangan gundah-gulana, jangan takut… ini agenda untuk kebaikan, bukan agenda bersatu padu untuk memerangi sesiapa. Kita bersatu untuk memastikan orang Melayu tidak rugi di tanah air sendiri.

“Kita tidak ada agenda yang disorok dan kita terangkan pada orang. Ini agenda kita untuk menyatupadukan ummah,” jelasnya lagi.

Kerana itulah tegasnya, fitnah dan adu-domba perlu disingkirkan dalam pemikiran rakyat negara ini. – Media UMNO.

200 Nelayan Pantai Terjejas, Laut Dan Sungai Tercemar



PULAU PINANG 27 April - Lebih 200 nelayan pantai di Changkat, Seberang Perai Selatan (SPS) di sini terjejas sumber pendapatan mereka berikutan masalah pencemaran sungai dan laut yang semakin serius di kawasan itu.

Kejadian itu yang sudah berlarutan sejak lebih 10 tahun lalu gagal diambil tindakan oleh kerajaan negeri dan jabatan terlibat walaupun berpuluh aduan dibuat nelayan terbabit.

Presiden Sahabat Alam Malaysia (SAM), S. M. Mohamed Idris berkata, masalah itu menyebabkan sumber tangkapan utama nelayan-nelayan pantai seperti ikan, udang, kerang, siput, sotong dan ketam merosot sehingga 70 peratus.

Tambah beliau, tinjauan pihaknya mendapati air sungai dan laut di kawasan berkenaan terlalu kotor dan berbau busuk.

“Selain warnanya yang hitam pekat dan berminyak, berbagai-bagai hahan buangan termasuk plastik terapung memenuhi permukaan air serta mendap di dalam lumpur.

“Keadaan tersebut berlaku dipecayai berpunca daripada pelepasan sisa buangan dari kilang kelapa sawit, ladang ternakan ayam serta tapak pelupusan sampah yang terdapat di daerah itu,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Menurut S. M. Mohamed, pihaknya amat kesal walaupun kejadian itu sudah lama mencemarkan alam sekitar dan mengancam hidupan laut serta kehidupan nelayan di daerah berkenaan, namun tiada tindakan berkesan diambil pihak berwajib.

Tambah beliau, pihaknya percaya jika keadaan itu terus dibiarkan, nelayan-nelayan pantai di kawasan tersebut yang bergantung hidup kepada hasil tangkapan sungai dan laut akan terputus mata pencarian untuk menyara kehidupan.

“SAM turut bimbang hutan paya bakau yang terdapat di kawasan itu juga akan terancam dan musnah jika pencemaran ini berterusan,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menggesa kerajaan negeri;, Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP); Jabatan Alam Sekitar (JAS); Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan Jabatan Perkhidmatan Viterinar (JPV) bertindak segera bagi menangani masalah itu.

Katanya, undang-undang sedia ada perlu dikuatkuasakan dengan tegas dan pemantauan yang berterusan hendaklah dilakukan pihak berkenaan dengan lebih kerap supaya kejadian tersebut tidak berulang. - UTUSAN ONLINE

Penduduk Bimbang Pembinaan Lebuh Raya Rentas Kediaman, Teroka Bukit


PULAU PINANG 26 April - Penduduk di kawasan Green Lane di sini melahirkan kebimbangan dengan aspek keselamatan mereka berhubung projek pembinaan jalan pintas Lebuh Raya Air Itam-Tun Dr Lim Chong Eu yang bakal bermula 31 Ogos ini.

Beberapa penduduk mendakwa, mereka tidak menyangka projek lebuh raya sepanjang 5.7 kilometer itu akan dimulakan tidak lama lagi iaitu dalam keadaan majoriti mereka tidak dimaklumkan khususnya berkenaan aspek keselamatan sepanjang projek berjalan.


Malah, menurut mereka, kali terakhir laporan awam berkenaan projek itu didedahkan kepada penduduk ialah pada 2014 yang mana ketika itu, hanya lima penduduk yang mengambil bahagian.

Seorang penduduk, Tan Wei Loon, 36, berkata, kebimbangan utamanya adalah penerokaan beberapa kawasan bukit bagi memberi laluan kepada projek lebuh raya itu antaranya Bukit Tembaga.

Katanya, penerokaan kawasan bukit itu dikhuatiri akan menyebabkan bencana alam seperti tanah runtuh dan banjir lumpur sekali gus meletakkan nyawa ribuan penduduk di kawasan tersebut dalam risiko.

Malah, katanya, kejadian tanah runtuh bukan perkara asing di kawasan Green Lane yang mana pernah berlaku di Bukit Tembaga dua tahun lalu akibat hujan lebat sekali gus membayangkan keadaan tanahnya yang tidak sesuai untuk sebarang projek pembinaan.

“Kami sebenarnya tidak mendapat gambaran jelas mengenai projek lebuh raya yang bakal merintangi kediaman kami ini terutama dari aspek jaminan keselamatan sama ada ketika projek berjalan atau selepas siap sepenuhnya.

“Kami juga pernah menghantar notis kepada kerajaan negeri supaya satu sesi perbincangan bersama penduduk mengenai projek ini diadakan, namun sehingga kini tidak mendapat maklum balas,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Sementara itu, seorang lagi penduduk, Fatimah Mohamad Abdullah, 65, berkata, projek tersebut bakal memberi impak besar kepada penduduk memandangkan ada kediaman yang hanya berjarak antara 100 hingga 200 meter dari lebuh raya berkenaan.

Selain itu, tambah beliau, penerokaan beberapa kawasan bukit bagi memberi laluan kepada pelaksanaan projek tersebut kelak juga akan mengganggu ekosistem khususnya fungsi kawasan hutan sebagai tadahan air semula jadi.

“Penduduk akan merasai kesan buruk dan risiko keselamatan ini secara jangka panjang apatah lagi dengan dua sejarah tragedi tanah runtuh akibat projek pembinaan yang meragut nyawa berlaku di negeri ini sebelum ini,” katanya. - UTUSAN ONLINE

Tuesday 23 April 2019

Bicara Najib-SRC: Perbelanjaan UMNO Pulau Pinang Cecah RM1.5 Juta Setahun


KUALA LUMPUR: Setiausaha Eksekutif Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini, perbelanjaan pentadbiran parti itu mencecah RM1.5 juta setahun.

Ahmad Sahar Shuib dalam keterangannya pada perbicaraan SRC International Sdn Bhd (SRC International) yang dihadapi Datuk Seri Najib Razak, berkata parti itu tidak menerima sumbangan daripada pihak luar, sebaliknya hanya mendapat peruntukkan dari Ibu Pejabat UMNO.

Ketika disoal balas oleh peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Najib, Ahmad Sahar berkata jumlah RM1.5 juta itu bergantung kepada program yang dijalankan pada setiap tahun.

Muhammad Shafee: Setuju, pada 2014 ada terima RM1 juta?

Muhammad Shafee: Anda minta RM2 juta?

Ahmad Sahar: Ya, tapi kami hanya dapat RM1 juta.

Muhammad Shafee: Bagaimana RM1 juta itu digunakan?

Ahmad Sahar : Membayar gaji kakitangan dan kami salurkan pada UMNO bahagian untuk perbelanjaan seperti kebajikan, bantuan pada mangsa bencana dan anak yatim.

“Pulau Pinang banyak bencana dan kerap berlaku banjir, sehubungan itu, sumbangan disalurkan untuk membantu orang susah, selain menganjurkan program di masjid sepanjang Ramadan,” katanya.

Ahmad Sahar berkata, setiap kali baki akaun mencatat paras RM50,000, beliau akan memaklumkan kepada Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang, Datuk Seri Zainal Abidin Osman. (Untuk rekod, Zainal Abidin meninggal dunia pada 27 Ogos 2018).

“Datuk Zainal kemudian akan menyuruh saya menyediakan rangka surat permohonan untuk diperiksa oleh beliau (Zainal) dan diserahkan kepada Najib,” katanya.

Sementara itu, Bendahari Agung Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (UPKO) mengesahkan parti itu menerima cek RM1 juta daripada Najib.

Perkara itu disahkan Ketua UPKO Putatan, Sabah, Datuk Dr Marcus Mojigoh, yang turut memberitahu mahkamah cek itu diterima daripada bekas perdana menteri itu yang juga Pengerusi BN pada tahun 2015.

Menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya Muhamad Saifuddin Hashim Musaimi, Marcus berkata wang itu digunakan bagi mengendalikan projek sayap parti memandangkan UPKO tidak mempunyai sumber kewangan yang mencukupi.

Muhamad Saifuddin: Pada 2015 anda ada menerima bantuan daripada mana-mana pihak?

Marcus: Kita sering mengadakan mesyuarat BN dan antara salah satu agenda parti adalah projek sayap untuk membantu rakyat.

“Saya kemudian memaklumkan kepada presiden parti (Najib) mengenai masalah yang saya hadapi sebagai Bendahari Agung UPKO.

“Saya beritahu Najib kita tidak mempunyai wang yang mencukupi untuk melawat pesakit dan memberi khidmat kebajikan,” katanya.

Pada prosiding itu, Marcus yang juga saksi pendakwaan ke-15 turut memecah keheningan mahkamah apabila diminta melakukan pengecaman terhadap Najib, beliau menjawab: “Saya tak nampak.”

Sebaik melihat kelibat Najib yang berada dalam kandang saksi, Marcus mengangkat tangan memberi tabik hormat.

Sementara itu, menjawab soalan Muhammad Shafee berhubung aktiviti yang dijalankan dengan sumbangan itu, Marcus menjawab: “Itu bukan dana kerajaan, tetapi dana daripada BN untuk melakukan aktiviti sosial.

Muhammad Shafee: UPKO gunakan dana itu mengadakan klinik perundangan secara percuma?

Marcus: Ya ada, biro perundangan.

Muhammad Shafee: Tolong orang bersara?

Marcus: Bukan, kami beri khidmat nasihat untuk menjana pendapatan.

Muhammad Shafee: Menolong untuk mendapatkan hak berkaitan tanah?

Marcus: Ya

Muhammad Shafee: Dalam bidang Pendidikan?

Marcus: Tak, tapi kami jalankan kursus keusahawan kepada ibu tunggal.

Muhammad Shafee: Najib setuju untuk beri dana tapi ada syarat?

Marcus: Tiada syarat tapi kita senaraikan apa yang kita akan buat.

sumber Berita Harian

BN Tidak Akan Letak Calon Di PRK Sandakan


KUALA LUMPUR, 22 April – Barisan Nasional (BN) memutuskan tidak akan meletakkan calon di Pilihan Raya Kecil (PRK) Sandakan.

Timbalan Pengerusinya, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, ini kerana kerusi tersebut selama ini telah diwakili oleh rakan BN daripada parti tempatan Sabah dan BN belum bersedia untuk mengambil alih.

“Selama ini kerusi itu wakilnya dari parti tempatan Sabah, jadi kita masih belum bersedia untuk mengambil bahagian di PRK Sandakan.

“Tetapi kita akan lihat dulu mahu beri sokongan kepada pihak mana yang ambil bahagian dalam PRK itu setelah proses penamaan calon nanti,” ujar beliau kepada media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi BN.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 27 April ini sebagai tarikh penamaan calon bagi PRK Parlimen Sandakan manakala 7 Mei untuk pengundian awal dan 11 Mei depan sebagai tarikh pengundian biasa berikutan kematian penyandangnya, Datuk Stephen Wong Tien Fatt akibat serangan jantung pada 28 Mac lepas.

Selain itu jelas Mohamad, beberapa perkara lain turut telah dibincangkan antaranya berkenaan prestasi dan gerak kerja yang telah dilakukan di PRK Rantau baru-baru ini.

“Kita amat sukacita kerana gerak kerja antara semua parti komponen yang menurunkan semua jentera mereka dan gerak kerja yang terancang ini telah menghasilkan keputusan yang baik.

“Selain itu BN telah mengambil sebeberapa banyak signal-signal yang perlu dipelajari daripada keputusan tersebut tapi apa yang perlu disebutkan di sini adalah BN tidak akan terbawa-bawa dengan kemenangan di Rantau kerana masih banyak perkara yang perlu dilakukan untuk memperbaiki jentera dan seterusnya untuk memperkasakan parti dan menyusun strategi bagi menghadapi PRU-15,” katanya. – MediaUMNO

Monday 22 April 2019

PAU Khas Pinda Perlembagaan Nov Ini, Mesyuarat UMNO Cawangan, Bahagian Dilanjut Ke 30 Mei & 15 Ogos 2019


KUALA LUMPUR, 22 April – Perhimpunan Agung UMNO (PAU) akan diadakan pada 13–16 Nov depan dengan satu hari akan diperuntukkan bagi Perhimpunan Agung UMNO Khas (EGM) untuk membolehkan Perlembagaan parti dipinda, kata Timbalan Presiden yang menjalankan tugas-tugas Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Katanya, UMNO memerlukan satu hari ekstra bagi membolehkan Perlembagaan parti dipinda.

“Kita telah pun bersetuju PAU diadakan pada tarikh 13 Nov (Rabu) – 16 Nov kerana memerlukan satu hari ekstra untuk mengadakan EGM yang mana parti sekarang sedang dalam proses untuk meminda Perlembagaan parti.

“… untuk menyesuaikan Perlembagaan parti yang mana kita ada sekarang bukan sebagai parti kerajaan, dulu kita punya Perlembagaan terlampau rigid, kita punya cadangan untuk pinda antara lainnya adalah membuka seluas-luasnya kepada orang ramai untuk menjadi ahli UMNO, untuk memberikan lebih banyak kemudahan mereka masuk sebagai ahli contohnya kita akan aktifkan kita punya keahlian UMNO-Online yang sudah dimodify dan boleh masuk dalam minggu depan.

“Banyak lagi tentang Perlembagaan terutamanya kita nak berikan kuasa autonomi sepenuhnya kepada UMNO Sabah yang mana ia menggambarkan situasi politik semasa di Sabah.”

Katanya, adalah lebih sustainable untuk jangka masa yang panjang UMNO Sabah ini diberikan status autonomi sepenuhnya agar mereka dapat urus parti di peringkat Sabah sendiri.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi UMNO di Ibu Pejabatnya, Menara Dato Onn, hari ini.

Dalam masa yang sama beliau turut memaklumkan tarikh mesyuarat UMNO peringkat Cawangan yang sedang berlangsung sekarang ini dilanjutkan sehingga ke 30 Mei depan.

“Jika dulu tempoh mengadakan mesyuarat Cawangan diberikan daripada 15 Feb-30 April tetapi telah dipanjangkan untuk memberikan lebih banyak ruang dan masa kepada cawangan dan bahagian mengurus menyuarat-mesyuarat tersebut, dipanjangkan daripada 15 Feb kepada 30 Mei. Ini ada masa lagi.”

Katanya, ini memandangnya ada Pilihan Raya Kecil (PRK) Rantau dan penyertaan daripada banyak bahagian-bahagian dalam Negeri Sembilan sendiri dan juga dokongan daripada bapa-bapa angkat di seluruh negara termasuk Perhubungan UMNO Negeri juga menghantar banyak jentera dalam PRK tersebut.

“Mereka juga terlibat secara langsung dalam PRK Rantau, maka pihak pengurusan UMNO dan telah dipersetujui oleh pihak Majlis Kerja Tertinggi UMNO untuk kita memanjangkan tempoh untuk mengadakan mesyuarat di cawangan masing-masing supaya dapat memberikan ruang kepada cawangan-cawangan agar tidak tergesa-gesa mengadakan mesyuarat di kawasan masing-masing.”

Dalam masa yang sama, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau memaklumkan tarikh baru mesyuarat UMNO peringkat Bahagian.

“Untuk memberikan banyak pemimpin-pemimpin parti turun ke peringkat bawah di mesyuarat Bahagian nanti… bagi menerangkan isu-isu semasa dan memberikan semangat kepada pemimpin-pemimpin di akar umbi di peringkat bahagian-bahagian, maka mesyuarat UMNO Bahagian turut dipanjangkan daripada 15 Jun sehingga 15 Ogos 2019,” katanya lagi. – MediaUMNO

Tuesday 16 April 2019

Projek PIL 1: JAS Ambil Tindakan Jika Pulau Pinang Langgar Syarat


KUALA LUMPUR: Jabatan Alam Sekitar (JAS) akan mengambil tindakan undang-undang jika kerajaan Pulau Pinang gagal mematuhi semua 56 syarat ditetapkan bagi projek pembinaan Lebuh Raya Pan Island Link 1 (PIL 1).

Ketua Pengarahnya, Datuk Dr Ahmad Kamarulnajuib Che Ibrahim, berkata projek berkenaan diluluskan dengan bersyarat susulan laporan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) yang dihantar kepada jabatan terbabit pada 2 Januari lalu.

Katanya, projek diumum bernilai RM7 billion diselia dan dilaksanakan sepenuhnya di bawah kerajaan negeri dan JAS hanya memberi maklum balas terhadap laporan EIA yang dibuat sebelum ini.

“Projek berkenaan di bawah seliaan kerajaan negeri yang perlu memastikan (kelulusan) syarat yang ditetapkan dipatuhi. Jika tidak, JAS boleh mengambil tindakan berdasarkan undang-undang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas majlis pelancaran Anugerah Bunga Raya Perdana Menteri (PMHA) 2019/2020 oleh Timbalan Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Isnaraissah Munirah, di sini hari ini.

Semalam, JAS dilapor memberi kelulusan bersyarat bagi melaksanakan pembinaan Lebuh Raya PIL 1 yang dimaklumkan kepada kerajaan negeri pada 10 April lalu, selepas melalui penilaian dan pertimbangan Jawatankuasa Teknikal Penilaian Laporan EIA.

PIL 1 adalah sebahagian daripada projek mega Pelan Induk Pengangkutan (PIP) Pulau Pinang, membabitkan pembinaan sistem pengangkutan awam bersepadu dan tiga lebuh raya, selain projek terowong dasar laut yang menghubungkan Bagan Ajam di tanah besar serta Persiaran Gurney di sebelah pulau.

Mengenai Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), Ahmad Kamarulnajuib berkata, setakat ini JAS masih belum menerima permohonan EIA bagi jajaran baharu ECRL kerana pengumumannya baru dibuat beberapa hari lalu.

“Bagi jajaran baharu ECRL, masih belum ada EIA dibuat memandangkan ia baru diumum kerajaan (perubahan jajaran baharu),” katanya.

Ditanya sama ada perubahan jajaran itu mungkin disebabkan jajaran lama yang merentasi Banjaran Titiwangsa tidak mendapat kelulusan EIA, beliau berkata, perkara itu tidak berbangkit kerana laporan EIA bagi projek yang dicadangkan sebelum ini sudah mendapat kelulusan.

“Perubahan jajaran mungkin disebabkan faktor lain,” katanya.


Buka Semula Siasatan SPRM Libatkan Kontroversi Terowong Dasar Laut


PULAU PINANG 16 April - Pemuda UMNO Bahagian Nibong Tebal mendesak supaya siasatan terhadap bekas Ketua Menteri, Lim Guan Eng berhubung isu terowong dasar laut diteruskan mengambil kira beberapa faktor dan kepentingan munasabah.

Ketuanya, Mohd. Norhiesam Ismail berkata, antara faktor itu adalah pendakwaan melibatkan seorang ahli perniagaan, G. Gnanaraja yang dituduh dimahkamah baru-baru ini yang merupakan perkara amat serius terhadap integriti dan ketelusan projek tersebut.

Katanya, pertuduhan itu jelas membuktikan sememangnya terdapat unsur-unsur yang tidak sepatutnya dalam isu projek berkenaan.

“Pertuduhan tersebut juga menimbulkan persoalan bagaimana Guan Eng yang kini Menteri Kewangan tidak dikenakan sebarang tindakan mahupun ditahan untuk disoal siasat.

“Amat malang apabila pentadbiran Kerajaan Pusat bertukar tangan, isu terowong terus ‘didiamkan’ sedangkan perkara ini sudah dalam siasatan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Menurut Mohd. Norhiesam, penduduk negeri ini sejak sekian lama mengharapkan kepada kebenaran berkaitan isu terowong itu apatah lagi duit rakyat dilihat ditelah dibazirkan begitu sahaja.

“Jangan hanya pandai menuduh dan menyalahkan Kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini sebagai perompak, penyamun dan sebagainya kononnya terpalit dengan pelbagai isu.

Sebelum ini, Gnanaraja berhadapan dengan tiga pertuduhan rasuah RM19 juta melibatkan penipuan menutup kes berkaitan projek terowong itu.

Pertuduhan pertama adalah menipu Pengarah Urusan Consortium Zenith Construction Sdn. Bhd., Zarul Ahmad Mohd. Zulkifli yang mana beliau akan membantu menutup siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan mendorong diberikan RM2 juta pada Julai 2017.

Pertuduhan kedua pula pada tarikh 25 Julai yang mana dia didakwa menipu pihak sama dengan mendorong diberikan RM15 juta manakala pertuduhan ketiga pada Ogos 2017 mendorong pihak sama memberinya RM2 juta untuk menutup kes SPRM di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram 2001.

Projek terowong dasar laut dan tiga lebuh raya bernilai lebih RM6 bilion yang dirancang Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah disiasat SPRM selepas dikaitkan dengan pelbagai kontroversi khususnya berhubung kos kajian kebolehlaksanaan projek tersebut. - UTUSAN ONLINE

Wednesday 3 April 2019

Skandal Terowong Pulau Pinang: Ahli Perniagaan Di Dakwa Tipu RM19 Juta


SHAH ALAM: Seorang ahli perniagaan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tiga pertuduhan menipu seorang pengarah urusan membabitkan RM19 juta berhubung siasatan projek terowong dasar laut Pulau Pinang, dua tahun lalu.

MG Gnanaraja, 38, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Rozilah Salleh.

Dia didakwa memperdayakan pengarah urusan Consortium Zenith Construction Sdn Bhd untuk mempercayai bahawa dia boleh membantu mangsa menutup siasatan yang dimulakan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap mangsa di bawah Akta Pencegahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Consortium Zenith Construction adalah kontraktor utama bagi projek terowong dasar laut itu.

Sehubungan itu, tertuduh didakwa dengan curangnya mendorong pengarah urusan terbabit menyerahkan kepadanya wang tunai RM4 juta dan RM15 juta melalui transaksi akaun Maybank milik Syarikat Visione Construction Sdn Bhd ke akaun CIMB Bank milik Syarikat Bumi Muhibbah Capital Holding Sdn Bhd.

Gnanaraja didakwa melakukan kesemua kesalahan di sebuah hotel di Damansara dan sebuah bank di Jalan Ampang, Kuala Lumpur, pada Julai dan Ogos 2017, dan dituduh mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara satu hingga 10 tahun serta sebatan dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Datuk Umar Saifuddin Jaafar, yang mengendalikan pendakwaan menawarkan Gnanaraja diikat jamin RM100,000 dengan seorang penjamin selain syarat tambahan pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah.

Peguam Datuk Geethan Ram Vincent yang mewakili tertuduh tidak membantah tawaran jaminan itu.

Mahkamah membenarkan tertuduh dibebaskan dengan jaminan RM100,000 serta seorang penjamin dan menetapkan 6 Mei ini untuk sebutan semula kes.

Hakim turut memerintahkan tertuduh menyerahkan pasportnya kepada mahkamah sehingga kes selesai.

Menurut sumber SPRM sebelum ini, tertuduh ditahan pada Februari tahun lalu selepas didakwa menerima wang berjumlah RM19 juta daripada syarikat pembinaan projek terbabit selepas dikatakan mampu menyelesaikan siasatan yang dijalankan SPRM. - BERNAMA