This is default featured slide 3 title

Go to Blogger edit html and find these sentences.Now replace these sentences with your own descriptions.

This is default featured slide 4 title

Go to Blogger edit html and find these sentences.Now replace these sentences with your own descriptions.

This is default featured slide 5 title

Go to Blogger edit html and find these sentences.Now replace these sentences with your own descriptions.

Thursday 31 August 2017

Tambakan Laut: Kerajaan P.Pinang Patut Ikut Syarat Proses Permohonan


TASEK GELUGOR, 31 Ogos – Kerajaan negeri Pulau Pinang sepatutnya mengikut syarat dalam proses permohonan projek Tambakan Laut Bahagian Selatan Pulau Pinang termasuk menunggu laporan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) untuk mendapatkan kelulusan.

Pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan Pulau Pinang Datuk Seri Zainal Abidin Osman berkata kerajaan persekutuan akan bersikap adil dalam memproses permohonan projek itu bukannya dipengaruhi faktor politik.

“Kerajaan negeri tidak perlu bimbang kerana kerajaan persekutuan buat keputusan bukan atas kepentingan politik semata-mata kerana kalau ikut (politik) tak kan pelbagai projek dilaksanakan di negeri ini.

Sejak lapan tahun lepas mereka mentadbir Pulau Pinang, kerajaan persekutuan melaksanakan pelbagai projek mega membabitkan perbelanjaan lebih RM20 bilion. Itu bukti (kerajaan persekutuan) tidak sesekali meletakkan perbezaan politik dalam membuat keputusan, semua untuk kepentingan rakyat,” katanya kepada pemberita selepas majlis penutup Ekspo Usahawan Bumiputera Pulau Pinang (Penbex) 2017 di Dataran Transformasi Usahawan, Kubang Menerong di sini malam tadi.

Semalam, kerajaan DAP Pulau Pinang berharap kerajaan persekutuan bersikap adil dalam memproses permohonan projek Tambakan Laut Bahagian Selatan Pulau Pinang.

Pengerusi Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalu Lintas dan Tebatan Banjir negeri, Chow Kon Yeow dilaporkan berkata penilaian terhadap cadangan projek tambakan laut itu perlu dipertimbangkan berdasarkan faktor teknikal dan faedah kepada rakyat di negeri ini, bukannya dipengaruhi faktor politik.

Kerajaan negeri sebelum ini mengumumkan pelaksanaan projek tambakan laut seluas kira-kira 1,800 hektar di Permatang Damar Laut di sini bernilai RM46 bilion bagi membina tiga pulau buatan untuk tujuan pembangunan.

Sementara itu, Zainal Abidin yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang berkata penganjuran Penbex tahun ini berjaya mencapai sasaran malah jumlah hasil jualan melebihi sasaran awal RM1.8 juta iaitu lebih RM2 juta.

“Dalam penganjuran Penbex 2016 hasil jualan berjaya dikutip sebanyak RM1.5 juta tapi tahun ini dapat RM2 juta malah jumlah pengunjung juga melebihi sasaran 80,000 orang sepanjang enam hari penganjuran ekspo membabitkan lebih 300 usahawan itu,” katanya.

Umat Islam Diminta Hayati Aidiladha, Pupuk Semangat Perpaduan – Najib


KUALA LUMPUR, 31 Ogos – Datuk Seri Najib Tun Razak mahu umat Islam di negara ini menghayati sambutan Hari Raya Aidiladha kerana perayaan itu dapat memupuk semangat perpaduan sesama rakyat Malaysia dan umat Islam amnya.

Perdana Menteri berkata​ menerusi ​​​​ penghayatan itu, umat Islam  di negara ini dapat menjaga hubungan persaudaraan, bersatu hati dan sanggup berkorban, di samping menghindari sikap mementingkan diri sendiri.

“Umat Islam yang mengabaikan prinsip-prinsip perpaduan, akan membuka ruang dan peluang kepada musuh-musuh Islam untuk menerobos, melemahkan serta menghancurkan Islam dan umatnya.

“”Sesungguhnya, perpaduan dan keamanan yang dikurniakan ini adalah nikmat yang sangat berharga dan wajib dipertahankan.

“”Bahkan, adalah wajib untuk kita berlaku adil sesama manusia walaupun daripada golongan yang berbeza agama dan kepercayaan,” katanya menerusi perutusan sempena sambutan Hari Raya Aidiladha dalam blognya www.1Malaysia.com.my.

Najib berkata sambutan Aidiladha kali ini juga amat istimewa kerana bertepatan dengan sambutan Hari Kebangsaan pada hari ini dan meraikan kejayaan Malaysia muncul juara pada Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 yang berakhir semalam dengan pungutan 145 pingat emas, 92 perak dan 86 gangsa.

Perdana Menteri juga berkongsi kegembiraannya apabila tahun ini menyaksikan Malaysia  menghantar bilangan jemaah haji yang teramai dalam sejarah negara.

“Kita merakamkan ucapan terima kasih kepada kerajaan Arab Saudi yang telah memudahkan pengurusan jemaah haji Malaysia kerana kita merupakan negara pertama di dunia dibenarkan untuk menjalankan program prapelepasan jemaah haji pada tahun ini di mana jemaah haji kita tidak perlu lagi menjalani proses pemeriksaan pasport dan kastam di Makkah dan Madinah.

“”Nikmat ini juga atas asbab hubungan akrab kita dengan pemerintah Arab Saudi yang sentiasa kita semai dan pelihara selama ini,” katanya.

Beliau seterusnya mengajak umat Islam meraikan hari kebesaran itu dengan penuh rasa kesyukuran dan keimanan, selain mengukuhkan silaturahim agar dapat melahirkan satu ummah ÿang berjaya di dunia dan di akhirat.

Manifestasi Cinta Negara Terserlah Dalam Sambutan Hari Kebangsaan 2017


KUALA LUMPUR, 31 Ogos – Manifestasi rasa cinta kepada negara yang terpancar sempena sambutan Hari Kebangsaan 2017 di Dataran Merdeka hari ini turut mewarnai suasana sambutan di seluruh negara dengan pelbagai acara penuh semangat patriotik, yang dihadiri kepimpinan negeri dan rakyat.

Pelbagai program bagi menyemarak semangat kemerdekaan tanggal 31 Ogos 1957 dan transformasi negara selama enam dekad diadakan di setiap negeri bagi meraikannya, yang menarik perhatian bukan sahaja rakyat tempatan malah juga warga asing.

Orang ramai, khususnya ibu bapa mengambil kesempatan cuti umum ini membawa anak-anak mereka untuk melihat dan merasai sendiri acara yang bertema ‘Negaraku Sehati Sejiwa’ itu, berada di lokasi sambutan sejak awal pagi.

Di KUALA LUMPUR, sambutan gilang-gemilang di Dataran Merdeka menghidupkan kembali penghayatan dan semangat merdeka di Stadium Merdeka pada 1957 dengan penyertaan hampir 18,000 peserta terdiri daripada anggota pelbagai jabatan dan agensi kerajaan serta swasta dan pelajar sekolah.

Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, timbalannya Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, barisan kepimpinan kabinet serta tetamu jemputan menyaksikan sambutan yang bermula 8 pagi.

Di KUALA TERENGGANU, perarakan sejauh kira-kira 4.1 kilometer berlangsung di Dataran Batu Burok, di sini, dengan disaksikan Yang Di-Pertuan Muda Terengganu Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan dan kekanda Tengku Nadhirah Zahrah, Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman serta barisan kepimpinan kerajaan negeri.

Menepati tema ‘Negaraku Sehati Sejiwa’ keharmonian pelbagai kaum dan budaya di negara ini dapat dilihat dalam kalangan peserta Melayu, Cina dan India yang mengambil bahagian dalam perbarisan serta sokongan orang ramai yang terus mengibarkan Jalur Gemilang.

Sebanyak 142 kontinjen terdiri daripada 6,992 peserta daripada jabatan dan agensi kerajaan, sekolah, institusi pengajian tinggi, pasukan beruniform serta badan bukan kerajaan (NGO) menyertai perarakan dan perbarisan bermula 9.20 pagi.

Di JOHOR BAHRU, sambutan melibatkan 129 kontinjen seramai 4,500 peserta yang memakai pelbagai jenis pakaian bertemakan Jalur Gemilang berarak sejauh dua kilometer bermula dari Padang Ekstrem Pasir Gudang dan berakhir di Stadium Tertutup Majlis Perbandaran Pasir Gudang.

Turut mencuri tumpuan, perarakan kereta antik termasuk jenis Morris Eight daripada Kelab Kereta dan Motosikal Antik Johor serta aset daripada Angkatan Tentera Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia.

Selain itu, kronologi sejarah kemerdekaan Malaysia turut ditayangkan kepada orang ramai melalui skrin layar di stadium tertutup itu.

Di KOTA BHARU pula, persembahan tangkas sekumpulan ‘21 pendekar’ menarik perhatian orang ramai pada sambutan Hari Kebangsaan 2017 yang diadakan di Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian di sini.

Kumpulan pendekar yang diketuai Panglima Singa Malaya Mohd Amru Rosli, 34, daripada Pertubuhan Silat Seni Gayong Malaysia Kelantan itu mempersembahkan tari pendekar, gerakan serangan anak harimau, permainan tangan kosong, permainan tongkat, tempur lembing, tempur keris, pemusnahan atap genting dan lompatan api.

Beliau berkata persembahan itu adalah mesej pembentukan disiplin, jati diri dan semangat patriotik anak muda yang tinggi khususnya yang menganggotai pertubuhan silat berkenaan.

Selain itu, hampir 2,000 peserta daripada 60 kontinjen, terdiri daripada pebagai jabatan dan agensi kerajaan, sektor swasta dan badan bukan kerajaan, memeriahkan sambutan yang dirasmikan Menteri Besar Datuk Ahmad Yakob.

Di ALOR SETAR, acara sambutan melibatkan 95 kontinjen bersama lebih 2,000 peserta di Dataran Wisma Darul Aman, Alor Setar disaksikan Raja Muda Kedah Tan Sri Tunku Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah dan Raja Puan Muda Kedah Puan Sri Tengku Maliha Tengku Ariff.

Di MELAKA, seramai 9,680 peserta daripada 193 kontinjen menyertai perbarisan dan perarakan Hari Kebangsaan peringkat negeri di Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan, Bandar Hilir, di sini. Bertemakan ‘Era Kemerdekaan 1957’, sebahagian pengunjung yang hadir ke acara itu dilihat memakai pakaian ala era 50-an.

Di SEREMBAN, dianggarkan lebih 20,000 hadir menyaksikan sambutan yang diadakan di Padang Majlis Perbandaran Seremban (MPS).

Sebanyak 110 kontinjen melibatkan 13,000 peserta termasuk pasukan keselamatan negara, Pasukan Veteran Angkatan Tentera Malaysia Negeri Sembilan, Persatuan Bekas-bekas Polis Negeri Sembilan, jabatan dan agensi kerajaan serta parti politik.

Di IPOH, Sultan Perak Sultan Nazrin Shah dan Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim berkenan menghadiri acara sambutan di Dataran Bandaran Ipoh.

Kira-kira 10,000 pengunjung berhimpun menyaksikan pelbagai persembahan menarik dipertontonkan oleh 107 kontinjen melibatkan 5,213 peserta, antaranya persembahan koir daripada 105 pelajar sekolah serta gerak tari negeri Perak daripada 130 pelajar sekolah diiringi lagu gubahan oleh Kumpulan Dendang Anak.

Di GEORGE TOWN, seramai 5,800 peserta mewakili 88 kontinjen daripada agensi kerajaan dan swasta menyertai sambutan Hari Kebangsaan peringkat Pulau Pinang yang diadakan di Padang Kota Lama.

Antara persembahan yang menarik perhatian orang ramai termasuk pelancong asing ialah Tempur Tanpa Senjata oleh pasukan tentera, deklamasi puisi bertajuk ‘Menyusuri Sungai Merdeka’, nyanyian lagu patriotik dan tarian kebudayaan.

Sementara itu di KUANTAN, biarpun cuaca panas terik, lebih 10,000 pengunjung terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat yang hadir menyaksikan acara sambutan Hari Kebangsaan peringkat negeri di Jalan Mahkota, di sini, tetap tidak berganjak.

Kebanyakan mereka hadir seawal 7 pagi walaupun perarakan dan perbarisan yang disertai seramai 6,566 peserta daripada 89 kontinjen hanya bermula 8.30 pagi.

Acara terjunan khas 10 pegawai dan anggota Pasukan Khas Udara (PASKAU) Tentera Udara Diraja Malaysia yang mengibarkan Jalur Gemilang dan bacaan pengisytiharan kemerdekaan diikuti laungan kemerdekaan sebanyak tujuh kali sebagai mengimbas detik sejarah kemerdekaan negara paling mencuri tumpuan pengunjung.

PM Sampaikan Amanat Merdeka Di Sesi Townhall


KUALA LUMPUR, 31 Ogos – Rakyat Malaysia daripada generasi lama dan baharu mewakili beberapa kumpulan masyarakat berpeluang berinteraksi dengan Datuk Seri Najib Tun Razak dalam suasana santai pada satu sesi yang dinamakan “Negaraku Merdeka Bersama Perdana Menteri”, di sini baru-baru ini.

“Hari ini saya memilih untuk melakukan kelainan, di mana perutusan dan mesej hari merdeka saya ingin sampaikan dalam suasana lebih santai, tidak formal, lebih mesra,” kata Perdana Menteri membuka bicara pada sesi itu.

Kumpulan rakyat Malaysia itu adalah undangan khas ke acara rakaman majlis penyampaian Perutusan dan Amanat Merdeka oleh Perdana Menteri, yang julung-julung kalinya diadakan secara sesi townhall dan disiarkan oleh semua stesen televisyen tempatan pada pukul 11 pagi ini.

Mereka termasuklah pelajar sekolah, ahli akademik, pekerja professional, atlet Sukan SEA Kuala Lumpur 2017, anggota pasukan keselamatan serta dua orang bekas anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang menurunkan bendera Union Jack British dan menaikkan serta mengibarkan bendera Persekutuan Tanah Melayu buat pertama kalinya pada 31 Ogos, 1957.

Pada tahun-tahun sebelum ini, Perutusan dan Amanat Merdeka oleh Perdana Menteri disampaikan di tempat yang lebih formal.

Sesi townhall itu dimulakan dengan paparan video yang mengimbau kembali peristiwa kemerdekaan pada 31 Ogos 1957 diikuti dengan kronologi kemajuan yang telah dikecapi negara.

Sebelum memulakan sesi itu Najib yang segak berpakaian kemeja berwarna merah hati dan seluar berwarna coklat disambut dengan mini koir kanak-kanak untuk menyanyikan lagu Negaraku disertai para hadirin.

Ditemani Jalur Gemilang dan bendera negeri-negeri di seluruh negara, nyanyian itu ternyata menyemarakkan semangat patriotisme sempena Hari Kebangsaan, yang disambut pada hari ini.
Usai nyanyian itu, Perdana Menteri mengimbas kembali kenangan beliau sewaktu negara melalui hari pertama kemerdekaan, yang pada ketika itu beliau baru berumur empat tahun dan penuh dengan dunia permainan seperti kanak-kanak lain.

“Walaupun saya ini tergolong dalam kategori pra-merdeka, tapi terus terang, apabila negara kita mendapat kemerdekaan, saya berumur empat tahun sahaja. Tentu saya tidak ada ingatan di atas peristiwa yang sangat bermakna kepada kita semua.

“Namun saya dapat menceritakan, pengalaman saya, ingatan saya masih terpahat dalam minda saya adalah, sewaktu saya membesar di Federal Hill KL, di situlah saya masih ingat lagi, saya berbasikal, turun naik bukit dan sebagainya, saya ke sekolah, main bunga api, panjat pokok jambu, seperti mana anak muda buat.

“Saya lahir, membesar sama seperti anak-anak Malaysia,” katanya disusuli tepukan hadirin.

Sejurus itu Najib diajukan soalan oleh seorang pelajar Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Chong Hwa Gombak, Samuel Chau Jun Hao yang ingin tahu cabaran menjadi Perdana Menteri untuk semua rakyat Malaysia.

Sambil mengakui bahawa bukan mudah menjadi Perdana Menteri dalam sebuah negara berbilang kaum, agama dan budaya, Najib bagaimanapun berbangga kerana rakyat negara ini dapat hidup dalam keadaaan harmoni dengan menghormati semangat Perlembagaan dan Rukunegara.

“Susah Samuel. Tengok rambut saya,” kata Najib sambil mengusap rambutnya disertai tawa hadirin.

Najib kemudian menjelaskan, “kadang-kadang kehendak mereka itu bertembung antara satu sama lain, namun saya bersyukur bahawa kita telah dapat membentuk sebuah negara Malaysia,” katanya.

Hadirin kemudian mendengar pengalaman dari ahli sejarah tempatan merangkap Pengarah Pusat Kajian Institut Raja-Raja Melayu, Prof Datin Paduka Dr Ramlah Adam yang merakamkan ucapan penghargaan kepada Allahyarham Tun Abdul Razak yang pada hayatnya sebagai Menteri Pelajaran telah memasukkan subjek Pendidikan Islam sebagai satu pendidikan utama.

Sesi itu turut menyaksikan penghargaan daripada seorang arkitek projek Mass Rapid Transit (MRT), Sarah Sofia Yahya yang berkongsi pengalamannya terlibat dalam projek mega pengangkutan awam negara.

Ia disusuli dengan ucapan penghargaan daripada atlet gimnastik, Farah Ann Abdul Hadi dan Raja Pecut Asia Tenggara, Khairul Hafiz Jantan kepada rakyat Malaysia di atas sokongan padu dan tidak berbelah bahagi ke atas kontinjen negara pada temasya Sukan SEA Kuala Lumpr 2017.

Suasana di sesi tersebut kemudian bertukar hiba dan sunyi apabila tiba giliran seorang bekas pejuang kemerdekaan yang merupakan anggota Komando VAT 69, Tawel Jailani berkongsi momen ketika beliau dan rakan-rakannya memerangi musuh.

“Saya masih merasakan lagi bagaimana susah payahnya di medan perang untuk memerangi musuh dan melihat sendiri kawan-kawan saya gugur, ada yang cedera parah.

Dalam suasana begini, saya terkenang mereka yang telah pergi, gugur semasa berjuang sedangkan saya masih hidup. Sambutan Hari Merdeka ini adalah kerana jasa dan perjuangan mereka bersama kami di dalam hutan,” katanya sebak sambil mengesat air mata.

Hadirin kemudian dibawa mengimbau kembali detik pengisytiharan kemerdekaan enam dekad lalu oleh dua figura penting yang berperanan menaikkan bendera Persekutuan Tanah Melayu, Mohd Sharif Kalam dan yang menurunkan bendera Union Jack, Oliver Culvelt Samuel yang sekali gus menandakan berakhirnya cengkaman penjajah.

Suasana di dalam dewan itu kemudian berubah secara tiba-tiba apabila Perdana Menteri bangun dari tempat duduknya dan terus berjabat tangan dan memeluk kedua-duanya sambil melaungkan perkataan keramat ; Merdeka yang turut disambut penonton.

Tumpuan kemudian terarah kepada Perdana Menteri yang berdiri di tengah-tengah khalayak penonton dan mula menyampaikan amanat dan perutusan merdeka kepada penonton yang tidak sabar-sabar menanti ucapan tersebut.

Antara amanat dan perutusan tersebut adalah berkaitan pengertian kemerdekaan, pencapaian dan kejayaan negara meliputi pembangunan dan ekonomi, komitmen kerajaan untuk terus membantu rakyat serta pengiktirafan Malaysia dijulang sebagai juara keseluruhan Sukan SEA KL 2017.

“Apa yang penting, kerajaan ini tidak mahu membuang masa terjebak dan melayan jalan percanggahan sebaliknya komited dan bertekad menumpu seluruh kudrat dan usaha merencana agenda kepesatan ekonomi demi maslahat rakyat terbanyak.

Mustahak jua kerajaan ini percaya dalam ikhtiar mengkhidmati rakyat, ia harus bersifat melangkau politik dan berorientasikan kepentingan rakyat,” tegas Najib.

Sesi kira-kira 45 minit itu kemudian diakhiri dengan suasana patriotik apabila semua hadirin berdiri dengan mengibarkan Jalur Gemilang dan kemudian melaungkan ‘Merdeka’ dan Negaraku Malaysia.

Wednesday 30 August 2017

Laksana Janji Untuk Rakyat Dalam Mengisi Kemerdekaan – Najib


KUALA LUMPUR, 30 Ogos – Tiada hadiah yang lebih istimewa kepada rakyat, sebagai pengisian sebenar sebuah kemerdekaan, melainkan menjadi kerajaan yang mampu menyampai serta melaksana janji-janji yang dibuat untuk kepentingan rakyat dari semasa ke semasa, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perdana menteri berkata pentadbirannya tidak mahu membuang masa untuk terjebak dan melayan tohmahan, sebaliknya komited dan bertekad menumpu sepenuh kudrat dan usaha merencana agenda kepesatan ekonomi demi maslahah rakyat terbanyak.

“Kisah kemerdekaan Malaysia terus diisi dengan pelbagai kejayaan dan pencapaian yang disegani oleh kawan dan lawan,” katanya dalam Perutusan Hari Kebangsaan 2017.

Malaysia, katanya, kini dirujuk ramai sebagai negara yang sedang maju membangun, berteraskan pendirian yang amat jelas dalam hal-hal seperti menolak ideologi dan fahaman melampau, khususnya dalam membanteras ancaman Daesh.

“(Raja Arab Saudi) Raja Salman Abdulaziz Al-Saud telah berkenan untuk memilih Malaysia sebagai Pusat Keamanan Antarabangsa,” kata Najib.

Perdana menteri menyebut beberapa kejayaan terkini negara seperti Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku kedua tahun ini mencatat pertumbuhan memberangsangkan pada kadar 5.8 peratus, antara yang tertinggi di dunia.

Majalah Forbes pula, katanya, meletakkan Malaysia pada kedudukan paling atas antara semua negara Asia untuk pelaburan asing manakala agensi penarafan antarabangsa Fitch Ratings juga mengekalkan penarafan kredit Malaysia dengan unjuran stabil pada skor A-.

Menyentuh kedudukan rizab antarabangsa Bank Negara, Najib berkata ia kini bertambah kepada RM431 bilion, jumlah rizab yang semakin kukuh.

“Lalunya, bagaimana mungkin sesetengah pihak sesuka hati menuduh bahawa, Malaysia sekarang ini sebagai sebuah negara gagal, atau a failed state, sedangkan pada era 90-an, di mana kedudukan rizab yang jauh lebih rendah sebenarnya waktu itu, tidak pula dikatakan sebagai negara yang gagal,” katanya yang jelas merujuk kepada tohmahan pembangkang.

Najib berkata pentadbirannya percaya dalam ikhtiar mengkhidmati rakyat, ia harus bersifat melangkau politik dan berorientasikan kepentingan rakyat.

Najib berkata pentadbirannya sejak lapan tahun lalu tidak pernah berlengah-lengah sejak awalnya, bahkan amat komited dengan pelbagai dasar serta inisiatif demi memakmur negara dan mensejahterakan rakyat.

Berpaksikan falsafah 1Malaysia: Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan, perdana menteri berkata kerajaannya akan terus mengutamakan projek-projek Infra-Rakyat seperti MRT (Mass Rapid Transit) yang jelas bertaraf dunia dan memberi impak kepada 500,000 pengguna setiap hari.

Menurut rekod, projek MRT itu dapat membantu mengurangkan kos sara hidup dengan menyediakan sistem pengangkutan yang selesa dan lebih murah di samping mengurangkan kesesakan lalu lintas, mengurangkan masalah tekanan dalam kalangan orang ramai, membantu alam sekitar di segi pengurangan pelepasan karbon dan mempergiat lagi kegiatan ekonomi di koridor berkenaan.

Begitu juga projek-projek East Coast Rail Link, Lebuhraya Pan-Borneo serta High Speed Rail yang sedang rancak dan bakal dibina, katanya.

Di samping itu, kata Najib, inisiatif dan bantuan kepada golongan raykat yang memerlukan akan terus diperuntuk serta dipergiatkan demi kebaikan mereka.

Antaranya BR1M, Kedai Rakyat 1Malaysia, Projek Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia, PRIMA, Klinik 1Malaysia, Kad Diskaun Siswa 1Malaysia dan bantuan-bantuan kepada para petani, pekebun kecil, nelayan serta para peneroka Felda.

Najib berkata Malaysia turut tidak terkecuali dibelenggu kemelut ekonomi global sejak beberapa tahun kebelakangan, namun melalui perancangan yang strategik lagi berhemah serta pentadbiran dan pelaksanaan yang cekap dan sistematik telah menjadikan ekonomi negara terus kekal berdaya tahan.

Beliau berkata perayaan kemerdekaan negara tahun demi tahun semakin mantap dan mendalam maksudnya.

“Dalam erti kata lain, tiap kali menjelangnya sambutan, ia menjadi satu momentum yang menganjak kita jauh ke hadapan sebagai sebuah negara bangsa yang berjati diri.

“Nikmat kemerdekaan seiring dengan tema pada tahun ini, iaitu “Negaraku Sehati Sejiwa” seharusnya melimpah-limpah dari Semenanjung hinggalah ke Sabah dan Sarawak.

Lantaran itu, marilah sama-sama kita mensyukuri nikmat kemerdekaan, kita bersatu dan berganding bahu, membina matlamat, merencana hala tuju, demi mencapai impian 1Malaysia Negaraku.

“Merdeka! Merdeka! Merdeka!

Tolak Jemputan White House Letakkan Kit Siang Ke Taraf ‘Politik Longkang’


KUALA TERENGGANU, 30 Ogos – Undangan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trumph kepada Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk membuat lawatan rasmi ke negara tersebut merupakan satu tamparan hebat kepada pihak pembangkang memandangkan selama ini mereka menjaja cerita seolah-olah Datuk Seri Najib adalah pemimpin yang amat dikehendaki pihak berkuasa negara itu berhubung isu 1MDB, demikian jelas Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Tan Sri Annuar Musa.

Menurut beliau, pembangkang kini sudah mula terperangkap dalam skrip yang mereka ciptakan sendiri apabila undangan tersebut secara tidak langsung telah mengagalkan rancangan mereka untuk menggambarkan kepada rakyat kononnya Amerika Syarikat mahu menyiasat Datuk Seri Najib berhubung skandal tersebut.

“Satu perkara yang pembangkang tidak pernah terbayangkan apabila dalam usaha mereka memutar belitkan cerita dan cuba mengaitkan perdana menteri dengan skandal 1MDB dan keterlibatan Amerika Syarikat dalam isu tersebut, tiba-tiba White House menjemput Datuk Seri Najib untuk mengadakan lawatan rasmi ke sana.

“Mereka cuba spin cerita tentang isu ini agar rakyat mempercayai kata-kata mereka, namun sebelum rakyat percaya akhirnya mereka sendiri yang terperangkap dalam skrip yang mereka bina. Pembangkang menjaja cerita kepada rakyat kononnya kalau Datuk Seri Najib pergi ke Amerika, beliau akan ditangkap. Mereka jaja cerita kononnya Datuk Seri Najib merupakan pemimpin yang tidak lagi diiktiraf oleh Amerika berhubung isu 1MDB.

“Jadi apabila berlakunya satu keadaan yang amat berbeza dengan skrip yang mereka rancang, apabila White House mengundang Datuk Seri Najib untuk membuat lawatan rasmi ke sana pada 12 September akan datang ini ke sana, maka jelaslah kini pembangkang sendiri telah terperangkap dalam skrip yang mereka ciptakan itu,” tegasnya.

Annuar berkata demikian di hadapan pemberita dalam satu sidang akhbar selepas satu pertemuan tertutup dengan ketua-ketua penerangan bahagian UMNO dan sayap-sayap UMNO negeri Terengganu, di sini hari ini.

Kata beliau lagi, untuk mengalihkan perhatian rakyat terhadap kegagalan perancangan skrip mereka dengan mengaitkan Datuk Seri Najib dan isu 1MDB, maka pihak pembangkang terpaksa mencari jalan lain bagi mengalih perhatian rakyat daripada memberikan tumpuan terhadap kegagalan yang mereka ciptakan itu.

“Sebab itu Lim Kit Siang membuat surat terbuka kepada semua menteri-menteri dengan undian secara veto untuk meminta Datuk Seri Najib agar tidak memenuhi undangan daripada White House itu.

“Cuba bayangkan sekiranya semua menteri buat keputusan untuk menolak dan tidak membenarkan perdana menteri kita memenuhi undangan White House itu, apa agaknya pandangan masyarakat dunia dan Amerika Syarikat sendiri tentang keputusan tersebut?

“Apakah keputusan seperti itu mendatangkan kebaikan kepada negara apabila Presiden Amerika membuat jemputan kepada Perdana Menteri kita, dan kita pula menghalang beliau supaya pergi memenuhi jemputan tersebut? Sebutkan pada saya satu kebaikan berhubung cadangan yang dibuat oleh Kit Siang itu?” soal beliau.

Ekoran cadangan tersebut, Ahli Parlimen Ketereh itu berpandangan bahawa Lim Kit Siang telah merendahkan martabatnya sendiri sebagai seorang ahli politik senior di dalam gelanggang politik tanahair.

“Saya amat bersetuju dengan kenyataan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Salleh Keruak yang menyatakan bahawa tidak sepatutnya cadangan seperti itu keluar daripada seorang ahli politik yang senior di dalam negara ini.

“Jika seorang ahli politik yang baru berkata demikian, mungkin kita boleh terima kerana dia baru di dalam gelanggang politik negara, tetapi cadangan seperti itu keluar dari mulut seorang ahli politik senior seperti Lim Kit Siang, yang mana sudah berpuluh tahun bergelumang di dalam gelanggang politik negara.

“Ternyata dengan cadangan seperti itu, Lim Kit Siang telah merendahkan martabatnya sendiri ke taraf ‘politik longkang’ dengan melontarkan cadangan yang begitu tidak munasabah sekali,” ujarnya.

Annuar seterusnya berkata, cadangan itu timbul adalah disebabkan beliau yang merupakan pencatur utama bagi pakatan harapan, kini terperangkap dalam skrip-skrip propagandanya sendiri untuk memburukkan kerajaan dan perdana menteri.

“Sekarang ini, Kit Siang cuba untuk mencari sesuatu yang baru setelah skrip beliau yang pertama mengenai forex sedang menuju kehancuran. Bertahun-tahun lamanya Lim Kit Siang mendesak kerajaan untuk mewujudkan RCI terhadap isu forex ini, namun isu forex ini akhirnya memakan dirinya sendiri apabila Tun Mahathir kini sudah berada di pihak pembangkang.

“Begitu juga dengan skrip pembangkang berhubung isu 1MDB yang dijaja mereka kononnya Datuk Seri Najib amat dikehendaki oleh pihak berkuasa Amerika Syarikat juga telah gagal, ekoran undangan White House kepada Datuk Seri Najib baru-baru ini.

“Maka dengan itu beliau terpaksa mencari jalan lain untuk mengalih fokus rakyat daripada tertumpu kepada kegagalan skrip yang mereka rancangkan bagi memburukkan imej Datuk Seri Najib dan kerajaan di mata rakyat selama ini,” tambah beliau lagi.

Sukan SEA Serlahkan Semangat Patriotisme Rakyat Malaysia – Ahmad Zahid


KUALA LUMPUR, 30 Ogos – Semangat cintakan negara dan nilai patriotisme seluruh rakyat jelas dilihat sepanjang penganjuran Sukan SEA ke-29 oleh Malaysia, kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Timbalan perdana mMenteri berkata semangat itu lebih terserlah apabila atlet-atlet negara mencatat kejayaan dan menyumbang pingat untuk Malaysia pada temasya dwitahunan itu.

“Apabila pingat emas diraih, bendera negara kita dijulang. Lagu Negaraku berkumandang. Malah, seluruh rakyat Malaysia berkobar-kobar memberi sokongan penuh kepada pasukan negara kita.

“Bagi seluruh atlet, saya merasakan inilah terjemahan semangat cintakan negara,” katanya dalam klip video ucapan Hari Kebangsaan 2017, yang dimuat naik di laman Twitter hari ini.

Ahmad Zahid juga berbangga apabila sokongan padu yang diberikan rakyat Malaysia kepada atlet-atlet negara tidak mengandungi sebarang prejudis terhadap mana-mana kaum.

Katanya sikap itu jelas menunjukkan nilai perpaduan sejati bangsa Malaysia.

“Kita harus kekalkan semangat ini demi negara. Selamat menyambut Hari Kemerdekaan. Merdeka, merdeka, merdeka!” katanya.

Klip video berdurasi 4 minit 51 saat itu dimulakan dengan petikan temu bual bersama Bapa Kemerdekaan Malaysia Tunku Abdul Rahman, yang menceritakan perjuangannya mendapatkan kemerdekaan untuk Tanah Melayu.

Menurut Perdana Menteri Malaysia yang pertama itu, setelah melihat usaha British menentang komunis terus gagal, beliau berpendapat satu-satunya cara untuk melawan komunis pada masa itu ialah dengan mendapatkan kemerdekaan.

“Inilah satu negeri dalam dunia yang berperang dengan komunis dan telah dapat kemenangan.

“Dengan adanya tuah seumpama itu (kemerdekaan), terpulang kepada rakyat jelata sekalian untuk menjaga dan memelihara negara kita ini supaya sampai akhir zaman dapatlah kita tumpang berteduh, keturunan kita tumpang berteduh dalam Malaysia negeri yang merdeka dan berdaulat,” kata Tunku Abdul Rahman.

Klip video itu seterusnya memaparkan Malaysia yang semakin berjaya dalam arus kemodenan, serta wajah beberapa rakyat Malaysia yang telah mengharumkan nama negara dalam pelbagai bidang.

Mereka adalah ahli astrofizik Prof Emeritus Datuk Dr Mazlan Othman, angkasawan negara Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor, pakar bioteknologi Dr Mahaletchumy Arujana, penyanyi Yuna Zara’ai dan pelakon Tan Sri Michelle Yeoh.

Malaysia menyambut Hari Kebangsaan pada 31 Ogos.

Tuesday 29 August 2017

Najib Ajak Rakyat Terus Bersatu Hati Bangunkan Malaysia


KUALA LUMPUR, 29 Ogos – Sempena Hari Kebangsaan 2017 yang bakal disambut Khamis ini, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengajak rakyat Malaysia untuk terus bersatu hati dalam usaha membangunkan negara.

Beliau berkata pencapaian yang dikecapi kini seperti pembangunan dalam bidang teknologi yang menjadikan Malaysia disegani di serata dunia serta pembangunan ke arah modenisasi tidak berlaku sekelip mata, sebaliknya merupakan hasil usaha sama pelbagai pihak.

Dalam satu klip video sempena Hari Kebangsaan 2017 yang dimuat naik di laman Facebook dan Twitter beliau hari ini, Najib berkata usaha membangunkan negara akan tetap diteruskan.

“Kita tidak akan berhenti di sini sahaja, malah akan terus mengorak langkah dalam melaksanakan tanggungjawab kita demi negara ini.

“Kita mampu melakukannya jika kita bersatu hati. Ayuh! Mari kita terus melangkah dengan satu matlamat demi kejayaan bersama. Selamat Hari Kebangsaan dan Selamat Hari Malaysia,” katanya dalam klip video yang berdurasi selama seminit itu.

Klip video itu turut memaparkan kejayaan beberapa atlet negara di Sukan SEA ke-29 yang sedang berlangsung, serta keharmonian masyarakat pelbagai kaum dan latar belakang di Malaysia.

Malaysia menyambut Hari Kebangsaan pada 31 Ogos dan Hari Malaysia pada 16 Sept.

Generasi Muda Pemangkin Bawa Malaysia Ke Puncak – Najib


KUALA LUMPUR, 29 Ogos – Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mahu generasi baharu terus menjadi pemangkin yang membawa Malaysia ke peringkat lebih tinggi.

Najib berkata generasi baharu perlu mengambil iktibar betapa sukarnya negara mencapai kemerdekaan dan mengekalkannya dalam tempoh 60 tahun.

“Betapa sukarnya kita nak capai kemerdekaan pada peringkat permulaan. Betapa besarnya cabaran yang ada di hadapan kita. Bila kita lihat sambutan tahun ini, kita dapat rasa apa yang kita telah capai selama 60 tahun ini adalah kejayaan yang sangat-sangat cemerlang,” katanya semasa berucap ketika meninjau raptai penuh sambutan Hari Kebangsaan 2017 di Dataran Merdeka, pagi ini.

Beliau berkata generasi muda hari inilah penyambung generasi Transformasi Nasional (TN 50) yang akan membawa Malaysia ke peringkat lebih tinggi di mata dunia.

“Ingat kata-kata ini, perjalanan perlu kita teruskan sehingga Malaysia sampai ke puncak kejayaan,” pesan perdana menteri yang memberikan kata-kata semangat kepada peserta acara persembahan, umumnya terdiri daripada pelajar sekolah serta anggota jabatan dan agensi kerajaan.

Perdana menteri turut berpuas hati dengan persiapan akhir sambutan Hari Kebangsaan 2017 yang melibatkan 18,000 peserta termasuk pelajar sekolah dan kumpulan pasukan beruniform itu.

“Saya berpuas hati dengan persembahan yang ditunjukkan semua peserta yang dilihat dapat menyampaikan mesej sambutan 60 tahun kemerdekaan negara. Mudah-mudahan pertunjukan ini akan menjadi persembahan yang tidak dapat dilupakan oleh setiap rakyat Malaysia,” katanya.

Najib, tiba kira-kira 8.15 pagi ini diiringi Menteri Komunikasi dan Multimedia (KKMM) Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak dan Ketua Setiausaha KKMM Datuk Seri Dr Sharifah Zahrah Syed Ahmad untuk menyertai dan melihat sendiri perjalanan raptai terakhir sambutan Hari Kebangsaan 2017, yang berlangsung pada Khamis.

Dalam raptai penuh itu perdana menteri melaungkan ‘Merdeka’ sebanyak tujuh kali sebagai mengimbas kembali detik bersejarah yang pernah dilakukan oleh perdana menteri pertama Malaysia Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj.

Sambutan bertemakan ’Negaraku Sehati Sejiwa’ mengembalikan semula nostalgia sambutan kemerdekaan pada 1957, selain mengimbas pengisytiharan Hari Malaysia, era pembangunan negara bawah kepimpinan perdana menteri Malaysia kedua hingga keenam, serta kejayaan dan pembangunan yang dikecapi negara hingga hari ini.

PM Najib Ucap Tahniah Kontijen Malaysia Raih 111 Pingat Emas


KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak malam ini mengucapkan tahniah dan syabas kepada semua atlet Malaysia atas kejayaan meraih  pingat emas  negara yang ke-111, sekali gus menepati sasaran Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.

Beliau berkata pencapaian bersejarah itu mengesahkan Malaysia sebagai juara keseluruhan Sukan Asia Tenggara tahun ini.

“Suka hati saya umumkan kita telah berjaya mendapat 111 emas seperti sasaran kita. 

“Dengan ini, maka sahlah Malaysia menjadi juara keseluruhan Sukan SEA. Pencapaian ini mencatat sejarah gemilang oleh semua atlet Sukan SEA negara,” katanya spontan bagi menyampaikan berita baik itu kepada hadirin ketika berucap pada Majlis Perasmian Projek River Of Life ( Sungai Nadi Kehidupan) dan Kolam Biru di sini, hari ini.

Malaysia memungut pingat emas ke-111 pada malam ini melalui jaguh lumba basikal negara Azizulhasni Awang.

Najib Rasmi Projek River Of Life


KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak malam ini merasmikan pelaksanaan fasa satu Projek River of Life (ROL) dan Kolam Biru di Masjid Jamek di sini yang  bakal mengubah kualiti air sungai utama di Lembah Klang, daripada tahap tidak selamat kepada tahap selamat untuk kegunaan rekreasi.

Perdana Menteri diiringi isteri Datin Seri Rosmah Mansor serta beberapa anggota kabinet antaranya Menteri Wilayah Persekutuan Tengku Adnan Tengku Mansor, Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim, Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz,  dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Ali Hamsa, 

ROL yang dilancarkan pada 2011 adalah Projek Permulaan di bawah Greater Kuala Lumpur/Klang Valley dan bakal mengangkat martabat Kuala Lumpur sebagai bandar raya bertaraf dunia.

Ia bertujuan menghidupkan semula Sungai Klang dan Gombak dalam bandar, mengubahnya sebagai kawasan ‘waterfront’ berkembang maju dengan nilai ekonomi dan komersial melalui pembersihan sungai, pengindahan sungai dan pembangunan tanah.

Fasa satu pengindahan Sungai Presint 7 projek ROL membabitkan kawasan bersejarah seperti Dataran Merdeka, Masjid Jamek dan Pasar Seni yang melibatkan pertembungan dua anak sungai.

Sebagai daya tarikan baharu, satu jambatan pejalan kaki telah dibina untuk menghubungkan Masjid Jamek dan Bangunan Sultan Abdul Samad dan Dataran Merdeka sekali gus memendekkan tempoh perjalanan sebanyak 50 peratus.

ROL telah selesai melalui kerja-kerja pembersihan sepanjang 110 kilometer yang meliputi lapan sungai iaitu Sungai Gombak, Sungai Batu, Sungai Jinjang, Sungai Keroh, Sungai Bunus, Sungai Ampang, Sungai Klang dan Sungai Keroyong.

ROL menggunakan kaedah pembersihan sungai dikenali ‘Interceptor system P7′ yang akan membantu meningkatkan kualiti air dengan cara menyekat dan merawat air longkang yang kotor.

Paip-paip Interceptor akan melencongkan air sisa dan kotoran dari rumah, premis komersial dan bangunan ke loji rawatan untuk dirawat sebelum menyalurkan Kelas IIB (selamat untuk kegunaan rekreasi dan tubuh)  ke sungai.

Loji ini berupaya menyediakan persekitaran kondusif secara semula jadi bagi pembiakan mikroorganisma aerobik yang berupaya menyahkan permintaan oksigen biokimia (BOD) ‘ammoniacal nitrogen’ dan pepejal terampai.

Kolam Biru, ikon baharu  Kuala Lumpur pula adalah hasil cetusan idea Perdana Menteri yang mahu mengoptimumkan potensj kawasan ROL sebagai penggerak ekonomi negara dan menarik lebih ramai pelancong ke kawasan berkenaan.

Pembinaan kolam biru menyediakan pemandangan sungai dengan limpahan cahaya berwarna-warni berserta pancutan air diiringi irama muzik.

Monday 28 August 2017

SPRM Bermesyuarat 4 Sept Bincang Tindakan Undang-Undang Terhadap Guan Eng


PUTRAJAYA, 28 Ogos – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan bermesyuarat pada 4 Sept ini untuk membincangkan tindakan undang-undang terhadap Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Dzulkifli Ahmad berkata ini berikutan keengganan Lim memohon maaf secara terbuka atau menarik balik kenyataannya terhadap agensi itu berhubung kenyataan ‘penahanan haram’ Exco kerajaan negeri berkenaan, Phee Boon Poh.

“Ini adalah satu fitnah kepada sebuah agensi kerajaan yang tiada apa-apa kepentingan dalam melaksanakan tugas kami. Kita memandang perkara ini secara serius kerana ini adalah hak kami,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis Ikrar Bebas Rasuah (IBR) Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, di sini hari ini.

Jumaat lepas, SPRM memberi tempoh 48 jam kepada Lim untuk memohon maaf secara terbuka tanpa syarat kepada suruhanjaya itu atau berdepan tindakan undang-undang susulan kenyataan yang dikeluarkannya yang berunsur fitnah.

Mengulas lanjut, Dzulkifli berkata mesyuarat bersama barisan kepimpinan tertinggi SPRM itu akan meneliti semua aspek sebelum mengambil tindakan mengikut peruntukan undang-undang sama ada sivil atau jenayah.

Terdahulu dalam ucapannya pada majlis itu, Dzulkifli berkata SPRM menyasarkan untuk menghapuskan gejala rasuah dalam sektor perkhidmatan awam menjelang 2020.

“Menjelang 2020, kita perlu mencerminkan Malaysia sebagai sebuah negara yang maju, progresif dan berdaya saing yang mana risiko rasuah adalah rendah,” katanya.

Majlis ikrar itu diketuai Ketua Setiausaha kementerian Datuk Seri Jamil Salleh dan disaksikan oleh Menterinya Datuk Seri Hamzah Zainudin dan Timbalan Menteri Datuk Henry Sum Agong serta Dzulkifli.

KDN Capai 90 Peratus KPI Dalam Enam Bulan Pertama 2017 – Ahmad Zahid


PUTRAJAYA, 28 Ogos – Kementerian Dalam Negeri (KDN) berjaya mencapai 90 peratus daripada 38 Petunjuk Prestasi Utamanya (KPI) hanya dalam enam bulan pertama tahun ini, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau yang juga Menteri Dalam Negeri berkata angka itu melepasi sasaran sebenar 69 peratus yang sepatutnya dicapai dalam tempoh tersebut daripada KPI keseluruhan sebanyak 138 peratus.

“Semangat kerja berpasukan menjadi budaya di KDN serta jabatan dan agensi di bawahnya yang membawa kepada kejayaan ini,” katanya pada perhimpunan bulanan KDN, di sini hari ini.

Ahmad Zahid berkata antara kejayaan luar biasa yang dicapai ialah melalui Jabatan Imigresen iaitu kelulusan Pas Penggajian dalam tempoh lima hari bekerja mencapai 207 peratus dan pembaharuan pasport secara dalam talian dalam tempoh sejam mencapai 143 peratus.

Polis Diraja Malaysia (PDRM) pula berjaya mencapai KPI 100 peratus dalam pengurangan indeks jenayah bagi setiap 100,000 penduduk tempatan dan asing serta indeks penglibatan komuniti sebanyak 82 peratus, katanya.

Menurut Ahmad Zahid, Program Pemerkasaan Komuniti Kawasan Berisiko oleh Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) pula mencapai KPI 128 peratus, manakala penguatkuasaan AADK ke atas Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah pula mencapai 133 peratus.

Katanya Jabatan Pendaftaran Negara pula berjaya mencapai KPI 143 peratus dalam proses pengeluaran MyKid dalam tempoh 24 jam, manakala Lembaga Penapisan Filem pula mencapai KPI 182 peratus dalam mengeluarkan keputusan tapisan filem panggung dalam tempoh lima hari.

“Saya juga merakamkan syabas dan tahniah kepada bahagian-bahagian yang melepasi sasaran 70 hingga 600 peratus seperti audit dalaman yang sedang berusaha bersungguh-sungguh dalam pertandingan yang sihat demi memartabatkan KDN sebagai sebuah kementerian yang sentiasa mendahului,” katanya.

Beliau turut memuji keberkasanan program pemulihan banduan oleh Jabatan Penjara seperti Program Rehabilitasi Komuniti (CRP) di Kem Syed Sirajuddin, Gemas yang dilaksanakan dengan kerjasama Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Menurutnya CRP yang merupakan inisiatif di bawah Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) dimasukkan dalam buku terbaharu penulis terkenal W. Chan Kim dan Renée Mauborgne, Blue Ocean Strategy Shift, yang akan dilancarkan pada September ini.

Ahmad Zahid berkata dalam buku tersebut, kedua-dua penulis membuat perbandingan kejayaan CRP apabila hanya 0.04 peratus banduan melakukan jenayah berulang berbanding penjara di California, Amerika Syarikat yang mencatat kadar banduan berulang sebanyak 68 peratus.

“Selain itu, daripada 17,081 banduan yang diparol sejak 2008 hingga Jun 2017, hanya 75 orang yang terjebak semula sebagai banduan berulang iaitu 0.04 peratus,” katanya.

Beliau berkata penjara bukan tempat untuk menghukum tetapi tempat untuk melakukan pemulihan supaya mereka mudah untuk berasimilasi dalam masyarakat serta menjadi aset dan bukannya liabiliti kepada negara.

Pada majlis itu, Ahmad Zahid turut melancarkan Jurnal Koreksional Malaysia yang merupakan terbitan tahunan Jabatan Penjara untuk dijadikan bahan bacaan dan rujukan berkaitan bidang kaunseling, kriminologi, psikologi, komunikasi, pendidikan dan sains sosial.

Sunday 27 August 2017

Negara Berada Di Landasan Betul Laksana GST- PM Najib


BALIK PULAU: Kerajaan tidak mungkin melaksanakan pelbagai pembangunan untuk rakyat sekiranya pergantungan kepada hasil sumber minyak dan gas masih kekal 41 peratus setiap tahun, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata langkah mempelbagaikan sumber termasuk pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) telah menyelamatkan ekonomi negara daripada keadaan tenat.

"Bila saya mengambil alih pemerintahan negara, kita bergantung kepada hasil sumber minyak dan gas iaitu sebanyak 41 peratus. Tetapi hari ini, pergantungan kita hanya 14 peratus hasil daripada kita pelbagaikan sumber.

"Cuba bayangkan jika kita bergantung kepada 41 peratus hasil minyak seperti sebelum ini dan harga minyak merudum, apa akan terjadi kepada ekonomi kerajaan. Jawapannya boleh dikatakan tenat," kata beliau ketika berucap merasmikan Persidangan Pewakilan UMNO Bahagian Balik Pulau di sini, hari ini.

Najib yang juga Menteri Kewangan berkata kutipan GST memberikan hasil sebanyak RM41 billion kepada sumber kewangan kerajaan dan sekiranya pelaksanaan GST dihentikan, ia akan memberi masalah kepada pentadbiran negara.

"Setiap tahun, belanjawan negara bernilai RM220 billion dan bajet pembangunan negara dianggarkan dalam RM45 billion setiap tahun. Kalau ditolak dengan kutipan GST, negara hampir-hampir tiada peruntukan setiap tahun untuk pembangunan," kata beliau.

Beliau berkata segala usaha pembangunan yang dilaksanakan itu menunjukkan kemampuan kepimpinan Barisan Nasional (BN) dalam mentransformasikan negara demi kesejahteraan rakyat.

Najib berkata keadaan itu berbeza dengan pembangkangn yang hanya pandai berjanji untuk mendapatkan sesuatu tetapi tidak menepati janjinya seperti kerajaan DAP Pulau Pinang yang sebelum ini menjanjikan tiada kenaikan harga dalam tarif air tetapi tetapi telah empat kali menaikkan surcaj air.

"Apa yang pembangkang kata, kita tidak boleh pakai sebab tidak berasaskan realiti tetapi hanya untuk bagi orang seronok dan untuk populis serta mencapai matlamat mendapatkan kuasa," kata beliau.

Najib yang juga presiden UMNO turut membidas pembangkang kerana memperbesarkan isu kilang Lynas di Pahang sedangkan pada masa yang sama mereka berdepan isu kilang haram di Pulau Pinang.

Beliau berkata isu kilang haram di Sungai Lembu yang didakwa mencemarkan alam sekitar dan menyebabkan masalah kesihatan telah dibangkitkan sendiri oleh wakil PKR sedangkan isu Lynas tidak pernah dilapor menjejaskan kesihatan penduduk di kawasan sekitarnya seperti yang didakwa pembangkang.

"(Isu) Kilang Lynas diperbesarkan dan dijadikan isu sebelum pilihan raya kononnya menjadi punca kepada masalah radiasi, boleh sebabkan penduduk terkena kanser dan mati tetapi sampai hari ini tiada orang yang mati di Kuantan sebab Lynas," katanya.

Sehubungan itu, beliau mencabar pembangkang membuktikan berlakunya kematian atau penyakit kanser yang disebabkan oleh kilang Lynas.

"Tolong buktikan wahai pembangkang (jika) ada orang mati atau kena kanser sebab Lynas. Jangan bisu seribu bahasa," kata beliau.

- Bernama

PM Ulangi Sejarah Tun Razak


BALIK PULAU: Datuk Seri Najib Razak hari ini meluangkan masa kira-kira 30 minit menghadiri Majlis Sambutan Jubli Emas di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri, di sini.

Kehadiran Perdana Menteri yang disambut lebih 1,000 warga sekolah berkenaan, mengulangi sejarah bapanya, Allahyarham Tun Razak Hussein, yang merasmikan pembukaan sekolah itu 48 tahun lalu.

Najib dalam ucapannya berkata, sejak 60 tahun lalu, rakyat dapat menyaksikan dan menikmati pelbagai kemajuan menerusi dasar diperkenalkan kerajaan Pusat.

"Ada negara yang mencapai kemerdekaan lebih awal daripada kita tetapi pencapaian kemajuannya tidak seperti mana yang dapat kita lihat di Malaysia.

"Ini kejayaan yang perlu kita pahat dalam ingatan agar kita hargai sejarah negara dan lebih hargai masa depan kita," katanya dalam ucapan ringkas ketika merasmikan Majlis Sambutan Jubli Emas SMK Seri di sini, petang tadi.

Yang turut hadir Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk P Kamalanathan dan Pengetua SMK Seri, Wan Sajiri Wan Hassan.

SMK Seri dibuka pada 10 Januari 1965 dan dirasmikan Tun Razak yang ketika itu adalah Timbalan Perdana Menteri pada 17 April 1969.

- Berita Harian

PM Jumpa Orang Balik Pulau


BALIK PULAU: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, tiba di Politeknik Balik Pulau bagi menghadiri Majlis Jamuan Rakyat bersama lebih 5,000 penduduk, di sini.

Perdana Menteri tiba kira-kira jam 1 tengah hari dan disambut Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang, Datuk Seri Zainal Abidin Osman dan Ketua Bahagian UMNO Balik Pulau, Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya.

Penduduk sekitar Balik Pulau mula berkumpul seawal jam 10 pagi lagi, bagi menyambut ketibaan Najib, yang dijadual merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Balik Pulau, petang ini.

Beliau juga dijadual merasmikan Majlis Sambutan Jubli Emas Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Balik Pulau, yang dirasmikan pembukaannya oleh Allahyarham Tun Abdul Razak, 50 tahun lalu.

- Berita Harian

Friday 25 August 2017

Sukan Sea 2017 Menyatukan Rakyat Malaysia #BangkitBersama #KL2017


Penganjuran Sukan Sea 2017 benar-benar memberikan inspirasi kepada seluruh warga Malaysia untuk bangkit bersama atas semangat 1Malaysia.

Sejak hari pertama gelangang Sukan Sea 2017 membuka tirai , para peminat sukan tanahair dan seluruh penyokong Malaysia tampil memberikan sokongan yang tidak berbelah bahagi terhadap kontinjen Malaysia yang kini sedang berjuang untuk merealisasikan misi muncul juara keseluruhan Sukan Sea 2017 edisi ke-29 ini.

Cukup membanggakan sekali apatah lagi kemenangan para atlet negara dalam acara masing-masing kadang-kalanya menyentuh hati dan perasaan seluruh rakyat Malaysia tatkala lagu Negaraku dimainkan.

Salah seorang peminat sukan tanahair , Saudara Muhammad Subhi Abu Bakar dari utara tanahair yang ditemui baru-baru ini menyatakan bahawa beliau sendiri menitiskan air mata setiap kali melihat kejayaan pasukan Malaysia dan perasaan sebak pasti hadir apabila lagu Negaraku dikumandangkan dengan bendera Malaysia mendahului negara-negara lain.

Satu perasaan yang tiba-tiba hadir sewaktu meraikan kejayaan pasukan Malaysia , beliau yang akan kembali ke Kuala Lumpur awal minggu ini untuk sama-sama memberikan sokongan kepada pasukan Malaysia mendoakan kejayaan Malaysia untuk muncul juara keseluruhan dan mengucapkan tahniah kepada Malaysia dan YB Khairy Jamaluddin yang telah menunjukkan kesungguhan dalam penganjuran kali ini sehingga mampu menarik minat seluruh warga Malaysia untuk sama-sama bangkit bersama.

Dalam masa yang sama para netizen sudah pasti dapat melihat dengan jelas bagaimana seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira latar belakang , bangsa , agama bangkit bersatu atas semangat 1Malaysia demi kejayaan bersama.

Video di bawah pastinya mencuit hati semua kita dengan ungkapan They tell us we are Muslims/Chinese/Indians, but last night showed us that we are MALAYSIANS first! #AyuhMalaysiaku #BangkitBersama

kredit KitaJuara2017 

Perkasa Tidak Layak Desak KJ Letak Jawatan Menteri Belia Dan Sukan


KUALA LUMPUR, 25 Ogos – Briged Kesatria Muda hari ini berdiri teguh di sebalik kepimpinan Khairy Jamaluddin sebagai Ketua Pemuda UMNO mahupun sebagai Menteri Belia dan Sukan, sekaligus menafikan kewajaran desakan dari Pertubuhan Pribumi Perkasa untuk YB Khairy meletakkan jawatannya sebagai Menteri Belia dan Sukan.

Pengerusinya, Datuk Armand Azha Hj Abu Hanifah dalam kenyataannya mengenai kenyataan Pertubuhan Pribumi Perkasa desak Khairy Jamaluddin meletakkan jawatan beliau sebagai menteri mengenai isu bendera Indonesia namun meminta kepimpinan Perkasa itu untuk mengikuti perkembangan semasa terutama dalam isu bendera Indonesia di Sukan Sea.

“Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin berjiwa besar telah memohon maaf kepada rakan sejawatannya dari Indonesia iaitu Iman Nahrawi atas kesilapan yang berlaku berhubung bendera Indonesia di dalam sebuah buku panduan Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.

“Isu ini telah selesai antara dua negara secara semangat nusantara,” ujarnya yang juga EXCO Pemuda UMNO Malaysia.

Tambahnya, isu Perkasa memohon maaf kepada kepada kumpulan Laskar Merah Putih (LMP) itu hak mereka.

“Tetapi harus ingat sebagai rakyat Malaysia kita harus berikan keutamaan pada Negara kita melebihi daripada negara jiran.

“Saya yang mewakili Briged Kesatria Muda Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia ingin mengingatkan kepada Perkasa bahawa pertubuhan bukan kerajaan bela orang Melayu itu tiada hak untuk menentukan hala tuju perjuangan UMNO ataupun mendesak membuang mana-mana pemimpin yang mereka tidak suka, kerana ianya adalah hak akar umbi UMNO yang telah memilih pemimpin melalui proses demokrasi pemilihan,” tambahnya.

UMNO Bukan Parti ‘Orang Kampung’, Kata Najib


JOHOR BAHRU, 25 Ogos – Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata UMNO bukannya parti ‘orang kampung’ atau luar bandar, sebaliknya boleh hidup segar di bandar.

Presiden UMNO itu berkata kejayaan UMNO Johor Bahru contohnya, membuktikan parti ditunjangi orang Melayu itu terus mendapat sokongan rakyat walaupun bandaraya Johor Bahru menjalani proses urbanisasi.

“Saya amat tertarik dengan kejayaan UMNO Johor Bahru kerana dalam peta politik tanah air kita, apabila berlaku fenomena urbanisasi, perubahan demografi serta pembangunan begitu pesat di pusat bandar, maka, sedikit demi sedikit, lama kelamaan, kawasan-kawasan tersebut (pusat bandar) beralih tangan daripada UMNO atau Barisan Nasional (BN) menjadi kawasan pembangkang.

“Tidak ada ibu negeri yang kekal kepada kawasan UMNO dan BN tetapi tahniah kepada UMNO Johor Bahru yang dapat mengimbangi proses urbanisasi dan mengekalkan pengaruh UMNO dan BN.

“Mungkin berdasarkan pada hakikat ini, kalau ada mana-mana berpendapat UMNO parti orang kampung atau luar bandar, maka, UMNO JB telah menunjukkan bahawa tidak semestinya sokongan kita di luar bandar sahaja tetapi di bandar pun UMNO boleh segar,” katanya.

Najib yang juga Perdana Menteri berkata demikian ketika berucap merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO bahagian Johor Bahru di sini hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Ketua UMNO Bahagian Johor Bahru Tan Sri Shahrir Abdul Samad.

Perhimpunan Agung UMNO 2017 Bermula 5 Hingga 9 Disember 2017


KUALA LUMPUR – Perhimpunan Agung UMNO 2017 (PAU 2017) akan berlangsung pada 5 hingga 9 Disember ini bertempat di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Menurut Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, PAU 2017 akan bermula dengan program taklimat presiden dan diikuti majlis perasmian Perhimpunan Agung pergerakan sayap Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO pada sebelah malamnya.

Najib yang juga Presiden UMNO memaklumkan perkara tersebut pada sidang media sejurus selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO di Menara Dato’ Onn di sini hari ini.

“Pada 6 Disember persidangan Perhimpunan Agung Wanita, Pemuda dan Puteri, manakala malamnya pula mesyuarat khas Majlis Tertinggi, 7 hingga 9 Disember Perhimpunan Agung UMNO 2017,” katanya lagi.

Dalam perkembangan yang berkaitan Najib turut menzahirkan perasaan kesyukuran kerana sepanjang mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian-bahagian, ianya berjalan dengan lancar dengan tiada kejadian-kejadian yang tidak diingini berlaku.

“Mesyuarat Majlis Tertinggi juga mengambil maklum bahawa persidangan-persidangan di peringkat UMNO Bahagian telah berjalan dengan baik, mendapat sambutan dan disiplin pun baik tiada kerusi yang melayang dan sebagainya.

“Dan kita lihat bahawa semangat ahli-ahli UMNO adalah tinggi dan kita berharap ini menunjukkan jentera parti berada dalam keadaan kesiapsagaan yang diharapkan, namun kerja-kerja untuk memurnikan segala-segala yang perlu dilakukan menjelang pilihan raya umum 14 ini perlu diadakan,” ujarnya.

Sebagai rujukan, mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian-bahagian telah bermula sejak 7 Julai lalu dan dijadualkan berakhir hujung minggu ini, 26 Ogos 2017. 

Prestasi Ekonomi Negara Memberangsangkan, Kerajaan Terus Tumpu Projek Kepentingan Rakyat


KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata prestasi ekonomi negara menjurus kepada keadaan yang lebih memberangsangkan apabila pencapaian Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara suku yang kedua tahun ini mencecah 5.8 peratus.

Menurut beliau ia juga sekaligus memperlihatkan bahawa untuk enam bulan tahun ini negara telah mencapai pertumbuhan 5.7 peratus selain ‘reserve’ Bank Negara telah pun melebihi 100 bilion USD.

“Dan prospek akan datang mengikut badan-badan antarabangsa dan ‘financial analyst’ umumnya membuat ramalan bahawa ekonomi kita berada di atas landasan yang akan membawa kepada pencapaian pertumbuhan ekonomi yang lebih tinggi daripada masa-masa yang lalu.

“’Consumer sentiment’ pun kita lihat lebih positif dan ini bererti bahawa apa yang telah kita buat melalui dasar transformasi negara menerusi penekanan yang telah kita berikan seperti pelancaran MRT mendapat sambutan yang sangat positif,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO, di sini, hari ini.

Kata beliau lagi kerajaan akan terus memberi keutamaan kepada projek dan perkara yang ada kaitan dengan kepentingan serta kesejahteraan rakyat.

Dalam perkembangan lain, Datuk Seri Najib yang juga Presiden UMNO seterusnya berkata suasana hari ini memperlihatkan kesatuan dan ‘mood’ negara ke arah yang lebih positif dengan terlaksananya Sukan Sea ke-29.

“Majlis Tertinggi juga juga ambil maklum bahawa suasana ‘mood’ negara kita sehari dua ini nampak ke arah yang lebih positif dengan terlaksananya Sukan Sea ke-29… lihat sokongan rakyat boleh dikatakan memuncak di setiap venue pertandingan diadakan dan ahli sukan kita juga berhempas pulas untuk mencapai kejayaan demi negara.

“Mudah-mudahan kalau ‘trend’ ini berlanjutan nampak Malaysia ada peluang baik untuk menjadi juara dan kita akan tutup pada malam ambang merdeka. Seterusnya kemerdekaan negara akan disambut besar-besaran dan ada kelainan.

“Dengan keadaan yang positif ini saya berharap ianya akan mencerminkan penambahan keyakinan rakyat bahawa kita sedang membawa negara ke arah yang lebih baik dan kita dapat menyempurnakan kehendak serta aspirasi mereka,” ujarnya.

Pada sidang media yang sama, Datuk Seri Najib turut memaklumkan Malaysia menjadi negara pertama diberikan pengiktirafan oleh kerajaan Arab Saudi untuk melaksanakan ‘pre clearance’ kepada jemaah haji ke tanah suci Mekah.

“Menerusi kaedah ini, jemaah haji diberi clearance di KLIA sebelum mereka berlepas dan insya Allah mereka akan terus keluar tanpa melalui pemeriksaan pasport dan kastam apabila sampai di Jeddah dan di Madinah.

“Kaedah ini akan dilancarkan oleh Datuk Seri Zahid dalam tujuh penerbangan terakhir musim haji ini dan kita harap dengan kerjasama kerajaan Arab Saudi ianya boleh dipanjangkan pada musim haji akan datang dan mungkin ibadat umrah juga dapat dilakukan. Ini satu pengiktirafan yang sangat bermakna kepada Malaysia,” katanya.

Menjawab soalan berhubung RCI Memali, Datuk Seri Najib menegaskan kerajaan tidak menolak ianya boleh diadakan tetapi ianya mestilah mendatangkan kebaikan dan masih menunggu reaksi serta pendapat masyarakat termasuk mereka yang terlibat dalam peristiwa tersebut sebelum kerajaan membuat keputusan muktamad.