This is default featured slide 3 title

Go to Blogger edit html and find these sentences.Now replace these sentences with your own descriptions.

This is default featured slide 4 title

Go to Blogger edit html and find these sentences.Now replace these sentences with your own descriptions.

This is default featured slide 5 title

Go to Blogger edit html and find these sentences.Now replace these sentences with your own descriptions.

Friday 31 May 2019

Kontroversi Prosiding Inkues Adib Lemahkan Semangat Penjawat Awam


PULAU PINANG 31 Mei – Badan Perhubungan UMNO negeri melahirkan rasa bimbang dengan kontroversi dalam prosiding inkues kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd. Kassim yang sedang berlaku ketika ini.

Menurut Pengerusinya, Datuk Musa Sheikh Fadzir, perkembangan terbaharu itu memberi kesan besar khususnya kepada penjawat awam lain berhubung keadilan yang sepatutnya diperoleh mereka terutama ketika menjalankan tugas.

Tambah beliau, kontroversi itu juga sekiranya berterusan dan gagal diperjelaskan akan melemahkan semangat penjawat awam dalam melaksanakan tugas kerana beranggapan tiada perlindungan sewajarnya kepada mereka khususnya daripada Kerajaan Pakatan Harapan (PH).

“Sepatutnya penjawat awam ini khususnya yang bekerja di lapangan dan berdepan dengan risiko keselamatan nyawa dan diri mendapat perlindungan dan sokongan sepenuhnya dari sudut undang-undang dan perhatian kerajaan.

“Namun, apa yang berlaku dalam perkembangan terkini prosiding inkues kematian Muhammad Adib seolah-olah pengorbanan dan perjuangan penjawat awam seperti tidak ada makna,” katanya di sini hari ini.

Beliau mengulas berhubung isu penarikan diri peguam, Syazlin Mansor daripada mewakili Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dalam prosiding inkues kematian Muhammad Adib baru-baru ini.

Tindakan itu mencetuskan persoalan banyak pihak memandangkan tempoh inkues hanya berbaki beberapa hari selain menimbulkan tanda-tanya berhubung tindakan Peguam Negara, Tommy Thomas yang baru sekarang mempersoal kredibiliti Syazlin.

Sementara itu, Musa berkata, kontroversi dalam prosiding inkues Muhammad Adib tersebut juga mencalar kredibiliti dan integriti badan perundangan dan kehakiman negara selepas banyak pihak kini mula mempersoalkan serta mempertikai mengenainya.

Malah, tegasnya, perkara itu juga menafikan hak rakyat amnya dan keluarga Muhammad Adib khususnya untuk melihat keadilan atas kematian anggota bomba berkenaan yang terkorban ketika menjalankan tugas menjaga keamanan negara dapat ditegakkan.

“Seluruh rakyat kini berkongsi kesedihan dan kekecewaan berhubung kontroversi prosiding inkues ini namun tetap berharap Muhammad Adib akan mendapat pembelaan dan keadilan sewajarnya,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Thursday 30 May 2019

Inkues Arwah Adib, AG Gagal Jalankan Tugas – Shahril Sufian


KUALA LUMPUR, 30 Mei – Naib Ketua Pemuda UMNO, Shahril Sufian Hamdan berkata penarikan diri peguam Syazlin Mansor daripada mewakili tiga pihak dalam prosiding inkues siasatan kematian Allahyarham Muhammad Adib iaitu Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan keluarga Allahyarham Muhammad Adib menimbulkan pelbagai persoalan.

Menurut beliau empat sebab yang dikeluarkan oleh Peguam Negara, Tommy Thomas kenapa peguam Syazlin Mansor sepatutnya tidak menerima perlantikan kerajaan (dalam kes ini, mewakili KPKT dan JBPM) satu kenyataan yang amat janggal di saat ini sekaligus memberi gambaran betapa bercelaru Pejabat Peguam Negara dalam kendalian kes berkenaan.

“Sekiranya kedudukan peguam Syazlin Mansor yang mewakili tiga pihak berkepentingan iaitu KPKT, Bomba dan keluarga Allahyarham Muhammad Adib mewujudkan konflik berkepentingan, sepatutnya Peguam Negara telah mengambil tindakan lebih awal selaku penasihat kepada kerajaan dalam hal ini.

“Kekalutan yang timbul ini juga hanya akan menyebabkan prosiding inkues yang sudah memasuki 36 hari ini terganggu memandangkan banyak keterangan saksi telah dikemukakan,” katanya menerusi catatan di Facebook.

Tegas Shahril, rakyat Malaysia mahukan kes ini dirungkai sebaik mungkin serta kematian Allahyarham Muhammad Adib mendapat keadilan sewajarnya.

“Namun keputusan Peguam Negara yang hanya mengambil tindakan selepas 36 hari inkues dijalankan menunjukkan Peguam Negara telah gagal melaksanakan tugas sebaik mungkin bukan sahaja atas kapasitinya sebagai peguam dan penasihat undang-undang kepada pihak kerajaan malah mencemar kedudukan Pejabat Peguam Negara secara keseluruhannya,” ujarnya lagi.- MediaUMNO

Khaled Bidas ADUN Dap… Bangsa Malaysia Citra Dap Tolak Sistem Pendidikan Kebangsaan?


JOHOR BAHRU, 30 Mei – Dasar kebudayaan apa yang akan menzahirkan Bangsa Malaysia citra Dap apabila pendirian Dap secara tidak langsung menolak sistem pendidikan kebangsaan dengan memperjuangkan pengiktirafan UEC, bidas Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab kepada kenyataan Ahli Dewan Undangan Dap, Dusun Tua, Edry Faizal Eddy Yusuf.

Katanya, lihat sahaja bagaimana Dap dicorakkan kerana tidak kedengaran pun Dap akan memperjuangkan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan malah kalau setakat menggunakannya dalam perhimpunan agung tahunan dengan seorang dua pengucapnya, adakah ia komitmen yang cukup untuk merealisasikan Bangsa Malaysia?

Berikut adalah kenyataan penuh Khaled:

1. Saya sangat senang sekali melihat pelbagai reaksi pelbagai pihak terhadap hujah saya tentang Bangsa Malaysia dan betapa ia adalah ideals yang tidak akan menjadi realiti.

2. Ramai yang menyanggah saya dan saya terbuka dengan kritikan mereka. Ramai juga yang mengakui rasional hujah saya.

3. Yang pasti, ia telah membuka ruang untuk kita memperkatakan dengan terbuka, suatu konsep yang selama ini digunakan tanpa perdebatan. Nah sekarang ia mula diperdebatkan.

4. Pada kesempatan ini saya ingin menjawab sanggahan ADUN Dusun Tua daripada Dap, YB Edry Faizal Eddy Yusuf tentang kenapa saya memperakui konsep Bangsa Johor dan tidak Bangsa Malaysia.

5. Pertama, konsep Bangsa Johor adalah slogan perpaduan. Ia dimulakan oleh DYMM Sultan Sir Abu Bakar untuk menyatupadukan semua rakyat, yang bernaung di bawah pemerintahan Baginda.

6. Ia bukan tentang kesaksamaan hak dan status. Ia adalah slogan untuk meraikan kepelbagaian Johor dan sesiapa jua yang tinggal, bermastautin di Johor, bernaung di bawah pemerintahan institusi Di-Raja Johor dan menyumbang kepada kemajuan serta pembangunannya – demikian adalah amat penting dalam membentuk Johor sebagai sebuah negeri yang berdaulat.

7. Ia juga merupakan satu naratif antropologi dan sosiologi yang ampuh, yang secara langsung pada waktu itu, telah menghalang daripada anasir pemikiran penjajah merebak ke negeri ini.

8. Lalu untuk mengungkapnya, digunakan lah slogan Bangsa Johor dengan tujuan mengukuhkan rasa kepunyaan kepada Johor dan ciri kehidupannya.

9. Bangsa Johor bukan sama sekali tentang berbahagi hak yang sama, bukan juga tentang berbahagi keistimewaan jika seseorang itu menetap di Johor.

10.Ia adalah sama seperti konsep Satu Malaysia. Ia adalah slogan perpaduan dan bukan ideologi nasional dengan tujuan pelaksanaan melalui pelbagai projek sosio-budaya yang bermatlamatkan kesamarataan hak dan kepentingan untuk semua bangsa.

11.Ia berbeza sekali dengan Malaysian Malaysia. Malaysian Malaysia adalah ideologi parti dan dijadikan doktrin kesaksamaan yang mesti dilaksanakan sebagai matlamat akhir. Agar akhirnya terbentuk sebuah negara yang bebas dari ketidaksamarataan dari segi apa jua.

12.Kedua, amat dangkal apabila beliau mengatakan sejarah Malaysia harus dilihat sewaktu penubuhannya. Ia harus dilihat jauh sebelum itu, menyelusuri peradaban Melayu-Islam di Nusantara untuk mengambil hikmah atas tatakelola mereka sebagai sebuah peradaban yang gemilang.

13.Ini kerana, bagi mewujudkan sebuah perpaduan nasional yang ampuh, ia harus didasari oleh bangsa Melayu dan ke-Melayuannya, agar ikatan perpaduan yang terbentuk itu tidak longgar dan tidak senang untuk diceraikan.

14.Secara pragmatik, kita tidak boleh lari dari hakikat bahawa, keabsahan identiti politik Malaysia sebagai sebuah negara itu berasal dari budaya Melayu sebagai budaya penakrif.

15.Lihat argumen ahli falsafah ulung negara, Prof. Syed Naquib Al-Attas dalam hujahan beliau berkenaan hal demikian. Ia merupakan sebuah karya dan hujahan yang perlu dilihat kembali dalam konteks Malaysia Baharu kini.

16.Ini tidak bermakna bahawa hanya orang Melayu sahaja yang perlu menjayakan projek ini. Cuma, ia harus mengambil kira secara serius bangsa Melayu, budaya dan agamanya yang merupakan antara formula asas yang utama kepada penubuhan Malaysia.

17.Ini boleh berlaku melalui pengukuhan Bahasa Melayu sebagai satu bahasa yang menyatukan kita semua.

18.Ketiga, benar konsep Bangsa Malaysia diungkapkan dalam Wawasan 2020 dan diceritakan dalam teks sejarah negara.

19.Tetapi selain dari diungkap dalam Wawasan 2020 dan dilancarkan pada 1991, hampir 30 tahun dahulu, apakah natijah dan kejayaan signifikan dari pelaksanaannya?

20.Sepanjang 22 tahun memerintah Malaysia, apa yang Tun Mahathir lakukan untuk menjayakan Bangsa Malaysia. Projek nasional yang bagaimana yang telah beliau laksanakan untuk menjayakan konsep tersebut.

21.Semenjak ia mula diungkapkan, dengan berani saya katakana bahawa ia adalah hanya retorik dalam sebuah wawasan tanpa tujuan untuk dilaksanakan secara tuntas kerana Tun Mahathir mengetahui bahawa ia adalah kehendak yang tidak mungkin menjadi realiti.

22.Ia adalah satu konstruk yang gagal untuk dijayakan selama 22 tahun beliau menjadi Perdana Menteri. Masakan ia boleh dijayakan sekarang?

23.Kerana itu, sepanjang pemerintahannya sebelum ini, tiada dasar khusus pembentukan Bangsa Malaysia dilaksanakan.

24.Lihat pula teks sejarah kita. Adakah ia melakarkan dengan jelas bagaimana konsep bangsa Malaysia itu dijayakan dan impaknya kepada kesatuan nasional. Yang ada adalah penerangan bahawa konsep itu adalah satu matlamat yang diungkap dalam Wawasan 2020.

25.Keempat, nyatakan bagaimana DAP akan melaksana konsep Bangsa Malaysia ini jika ia memerintah. Apa ia akan dicirikan dengan penggunaan Bahasa Melayu sebagai Bahasa penyatuan dan resmi secara total.

26.Atau dicirikan dengan satu sistem pendidikan nasional yang menjurus kepada satu aliran kebangsaan?

27.Atau membangunkan kebudayaan nasional dengan asas yang meletakkan kebudayaan Melayu sebagai teras?

28.Atau konsep bangsa Malaysia ini hanya tentang kesamarataan hak dan kesaksamaan sosial semata tanpa mengira bebanan sejarah dan realiti sosiopolitik negara?

29.Lihat sahaja bagaimana Dap dicorakkan. Tidak kedengaran pun Dap akan memperjuangkan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan. Kalau setakat menggunakannya dalam perhimpunan agung tahunan dengan seorang dua pengucapnya, adakah ia komitmen yang cukup untuk merealisasikan Bangsa Malaysia?

30.Malah akuilah, keupayaan bertutur dalam Bahasa Kebangsaan dikalangan bukan Melayu adalah sangat lemah secara amnya.

31.Jadi Bangsa Malaysia apa yang akan terbentuk jika tidak dicirikan dengan satu Bahasa Kebangsaan yang ampuh?

32.Lihat sahaja pendirian Dap berkaitan sistem pendidikan kebangsaan. Dap dengan memperjuangkan pengiktirafan UEC, secara tidak langsung menolak sistem pendidikan kebangsaan.

33.Malah tidak pernah terdengar oleh saya, pendirian Dap tentang sistem pendidikan kebangsaan dan bagaimana untuk memperbaikinya kecuali pelbagai kritikan yang senantiasa merendahkan-rendahkan

34.Nah Bangsa Malaysia apa yang akan anda lahirkan tanpa sistem pendidikan kebangsaan yang diterima semua. Bagaimana akan kita olah kelahiran bangsa Malaysia ini bila anak-anak kita tidak pun pergi ke sekolah yang sama. Tetapi dipisahkan melalui sistem dengan Bahasa pengantar yang berbeza dan sukatan pelajaran berbeza.

35.Dasar kebudayaan apa yang akan menzahirkan Bangsa Malaysia citra Dap ini. Bahawa semua budaya harus menjadi teras budaya Malaysia? Mana mungkin budaya masyarakat pribumi diletakkan setara dengan budaya lain.

36.Kerana itu hujah saya sangat jelas. Bahawa konstruk bangsa Malaysia itu adalah sesuatu yang idealistik. Diungkap senang, namun tidak mungkin boleh dilaksanakan dengan ciri dan karakter Malaysia yang sangat pelbagai.

37.Lalu dari membuang masa untuk mencapai sesuatu yang tidak mungkin berhasil dalam waktu dan saat ini, maka kita harus mencari sesuatu yang lebih pragmatik, iaitu melahirkan warganegara Malaysia yang patriotik dan bertanggungjawab dengan meraikan kemajmukan kita sebagai sebuah negara demokrasi multibudaya.

38.Amatlah elok jika wacana mengenai pembawakan Naratif Malaysia yang baharu ini digiatkan lagi oleh semua. Agar ia benar-benar adil kepada segenap masyarakat dan tidak hanya merealisasikan imaginasi politik sesetengah parti sahaja. – MediaUMNO

Wednesday 29 May 2019

Pastikan Wujud Keadilan Dan Ketelusan Perbicaraan Mohd Adib – Dr Shamsul


KUALA LUMPUR, 29 Mei – Kerajaan mesti memastikan wujud keadilan dan ketelusan dalam perbicaraan kes anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim yang terbunuh dalam rusuhan ketika menjalankan tugas di Kuil Sri Mariamman, Seafield, akhir tahun lepas.

Ketua Penerangan UMNO, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata keadilan perlu dinampakkan (justice is served) kerana sebarang campur tangan mana mana pihak dalam prosiding, adalah bercanggah dengan prinsip Kedaulatan Undang-Undang negara. Ini sangat tidak baik kepada negara.

“Kita menyokong tindakan blok pembangkang yang menuntut supaya Perdana Menteri memecat Peguam Negara dan ditubuhkan Suruhanjaya Siasatan DiRaja ( RCI ).

“Perkara ini serius dan tepat kerana dilihat wujud elemen tidak percaya kepada prosiding inkues Muhammad Adib, disebabkan berlaku banyak tindakan campur tangan yang meragukan,” katanya dalam satu kenyataan kepada UMNO-Online, di sini hari ini.

Katanya lagi dalam usaha menjaga imej Malaysia sebagai negara yang mengamalkan kedaulatan dan keluhuran undang undang, proses perbicaraan mestilah dilihat bersih dari campur tangan mana mana pihak.

Malah tegas beliau lagi keadaan itu penting demi ketelusan, selain menjaga intergriti pengamal undang-undang itu sendiri malahan rakyat Malaysia sedang teliti memerhatikan perjalanan butiran kes Muhammad Adib ini kerana ia melibatkan kematian seorang penjawat awam ketika bertugas.

“Dan apabila wujud percanggahan antara perakuan pihak polis dengan pejabat Peguam Negara, rakyat ingin tahu apakah yang sebenarnya berlaku.

“Sehubungan itu, sekali lagi ditegaskan, adalah tepat desakan dibuat supaya kes dikendalikan menerusi Suruhanjaya Siasatan DiRaja ( RCI ). Semua ini adalah demi keadilan dan ketelusan pengadilan untuk Allahyarham Muhammad Adib serta menjaga keutuhan sistem perundangan dalam negara ini,” ujarnya. -MediaUMNO

Kes Adib : Blok Pembangkang Desak Perdana Menteri Pecat Peguam Negara Dan Tubuh RCI


KUALA LUMPUR, 29 Mei – Perdana Menteri didesak untuk memecat Peguam Negara (AG), Tommy Thomas ekoran kegagalannya dalam beberapa isu termasuk menuntut keadilan kepada anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim yang maut ketika menjalankan tugas dalam rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman, Seafield, akhir tahun lalu, tegas Ketua Pembangkang, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakub.

Katanya, Kerajaan juga perlu menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung dengan supaya siasatan secara adil dan teliti kes yang melibatkan kematian ini dapat dijalankan.

“Kami dari blok pembangkang merasakan bahawa pihak Peguam Negara dilihat campurtangan secara terbuka di dalam kes yang melibatkan Adib,” katanya dalam sidang media yang berlangsung di Ibu Pejabat UMNO, hari ini.

Turut hadir pada sidang media tersebut ialah Ketua WHIP BN, Datuk Seri Mahdzir Khalid, Ketua WHIP PAS, Datuk Takiyuddin Hassan, Pengerusi PAC, Datuk Dr Noraini Ahmad dan Peguam PAS, Wan Rohimi Wan Daud.

Jelas beliau, kalau dilihat sejak dari awal selepas kes yang melibatkan rusuhan dan menyebabkan berlaku kecederaan teruk kepada Adib, sewaktu lawatan ke hospital, Perdana Menteri pun menyebut bahawa ada unsur cubaan membunuh terhadap Adib.

“Menteri Dalam Negeri dalam Parlimen mengeluarkan pernyataan menteri (ministerial statement) yang juga menyebut tentang percubaan membunuh malah pihak polis telah mengadakan siasatan dengan memanggil 34 orang saksi dan akhirnya membuat pertuduhan di bawah Seksyen 307 Kanun Kesiksaan iaitu cubaan membunuh, iaitu peringkat awal lagi rakyat telah pun digambarkan bahawa terdapat cubaan membunuh dalam kes melibatkan Adib.

“Selepas kematian Timbalan Ketua Polis membuat pengumuman penyataan bahawa kes yang dibawa seksyen 307 dipinda kepada Seksyen 302 iaitu membunuh dan apabila dihantar kepada AG dan sebagainya, pihak Peguam Negara telah pun memutuskan untuk membuat inkues.”

Terang beliau, membawa kes ini untuk membuat inkues adalah bagi dua tujuan iaitu:
1. Untuk mencari sebab-sebab kematian (cause of death)
2. Sama ada wujud perbuatan jenayah dalam kes yang terlibat.

“Jadi bermakna pihak AG menolak secara langsung siasatan dan juga dapatan (finding) yang dibuat oleh pihak polis. Seolah AG tidak yakin apa yang dilaksanakan oleh polis.

“Apabila inkues dijalankan, pihak mahkamah telah memanggil saksi, dan belum membuat keputusan lagi tentang sebab-sebab kematian ini tetapi malangnya pegawai daripada Jabatan Peguam Negara iaitu Hamdan Hamzah telah membuat afidavit dalam mahkamah mengatakan bahawa sebab kematian Adib bukan disebab dipukul oleh mana-mana, jadi bermakna pihak Peguam Negara mempunyai pemikiran sendiri, telah buat keputusan sendiri sebelum mahkamah membuat keputusan bahawa Adib tidak dipukul… mati bukan kerana dipukul tapi sebab-sebab ada sebab yang lain. Jadi kita dah nampak dah ke arah mana yang nak dibawa oleh Peguam Negara dalam kes Adib ini.

“Jadi kami berpandangan bahawa ianya merupakan satu campurtangan yang amat ketara. Kita boleh baca pemikiran rakyat dan yang di AG ini bahawa dari awal lagi seolah-olag tidak bersetuju bahawa Adib tidak dipukul dan sebagainya,” tegas beliau yang juga Naib Presiden UMNO.

Katanya, dalam perkembangan terbaru apabila peguam Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Syazlin Mansor diarahkan untuk menarik diri, jadi nampak jelas bahawa campurtangan terlalu jelas dalam isu itu.

“Kita berasakan bahawa AG bertindak diluar daripada kuasa yang ada padanya.Ini merupakan kegagalan kepada Peguam Negara dan merupakan sebahagian daripada banyak kegagalan-kegagalan yang telah dilakukan sebelum ini.

“Peguam Negara gagal menasihati kerajaan, gagal menasihat Perdana Menteri sehingga negara telah menandatangai Statut Rom dan akhirnya membatalkannya.

“Ini merupakan satu perkara yang memalukan kepada negara… menunjukkan tidak ada profesionalisme langsung dalam AG menjalankan tanggungjawabnya menasihati undang-undang kepada pihak kerajaan Begitu juga dengan kes-kes lain yang melibatkan AG.”

Pada penghujung November lalu, berpunca daripada salah faham pihak Kuil Sri Maha Mariamman, Seafield, Subang Jaya, Selangor dengan syarikat pemaju One City Development Sdn Bhd (One City), ribuan kaum India telah berkumpul di sekitar Kuil Sri Maha Mariamman, Siefield, Subang Jaya, Selangor.

Ekoran daripada peristiwa itu, rusuhan telah berlaku dan tindak-tanduk perusuh berada di luar jangkaan walaupun pihak pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) berkawal.

Hal ini turut menyebabkan kebakaran kenderaan yang menuntut pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) turun padang pada 27 November sehingga menyebabkan Adib cedera parah dan meninggal dunia selepas 20 hari dirawat. – MediaUMNO

Bil Elektrik Naik : “Akan Siasat Dan Akan Kaji…” Itu Skrip Biasa Kerajaan PH


KUALA LUMPUR, 29 Mei – Skrip biasa bagi kerajaan Pakatan Harapan (PH) ialah akan siasat atau kaji, bidas Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Dalam hantaran di Facebook, Ahmad Zahid berkata pelbagai pihak mengadu mengenai kenaikan mendadak bil elektrik Tenaga Nasional Berhad (TNB) namun kerajaan setakat ini hanya buat sidang media sahaja dan meminta Suruhanjaya Tenaga menyiasat.

“Kenaikan bil elektrik TNB secara mendadak mulai membebankan rakyat ketika kelembapan ekonomi melanda negara.

“Yang rugi rakyat kerana berdasarkan undang-undang, pengguna tetap perlu menjelaskan bil elektrik dalam tempoh sebulan dan jika ada lebihan, mereka yang layak akan mendapat pembayaran balik,” tegasnya.

Ahmad Zahid turut mempertikai alasan TNB iaitu disebabkan ubah suai meter.

“Adakah 86 ribu individu yang sokong petisyen ini ubah suai meter mereka?,” soal Ahmad Zahid sambil melampirkan pautan petisyen https://www.change.org/p/kerajaan-pantau-harga-elektrik-2019-bantahan-kenaikan-elektrik-2019-mengikut-kiraan-tnb.

Ketika berita ini disiarkan, terdapat lebih 90 ribu petisyen telah ditandatangani oleh rakyat.

Sehubungan itu, Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk menyeru kepada TNB agar kembalilah kepada asas penubuhan iaitu memberi khidmat kepada rakyat dan bukannya memerah keringat rakyat.

“Saya juga mengalu-alukan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna yang mengambil langkah proaktif untuk menangani permasalahan ini,” katanya yang turut mengalu-alukan warga maya berkongsi gambar bil terbaru utiliti tersebut di dalam ruangan komen di laman sosialnya itu. – Media UMNO

AG Jangan Urus Jabatan Peguam Negara Seperti Firma Guaman Sendiri


KUALA LUMPUR, 29 Mei – Ketua Whip Ahli Parlimen Pas, Datuk Takiyudin Hasan mengingatkan Peguam Negara agar tidak menguruskan Jabatan Peguam Negara seperti firma guamannya sendiri setelah melihat kepada beberapa perkara yang berlaku sepanjang pengurusan inkues Allahyarham Mohd Adib Mohd Kasim dan pelbagai perkara lain.

Dalam sidang medianya bersama blok pembangkang hari ini, beliau menegaskan Jabatan Peguam Negara mempunyai prosedur serta peraturan yang perlu diikuti dan tidak seharusnya melakukan perkara yang boleh menghilangkan keyakinan rakyat kepada Jabatan Peguam Negara itu sendiri.

“Kita berpandangan, inkues yang diadakan di Mahkamah hari ini adakah satu keperluan setelah Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk Abdul Rashid Abdul Wahad pada 18 Disember 2018 , mengatakan kes kematian Adib diklasifikasikan sebagai bunuh.

“Semasa kejadian Adib belum meninggal dan kes diklasifikasikan dibawah seksyen 307 iaitu percubaan membunuh …diklasifikasikan sebagai 307 sebab kita percaya sudah ada cukup bukti mengatakan bahawa ada kes cubaan membunuh kerana pada masa itu Adib belum meninggal.

“Jadi apabila Adib meninggal automatik kes diklasifikasikan sebagai kes bunuh.’ Evidence’ dah cukup kenapa perlu inkues lagi. Jadi persoalan kita adakah AG sekarang ini tidak lagi percaya kepada Polis,” katanya pada sidang media bersama blok pembangkang yang diadakan bersama Ketua Pembangkang dan Ketua Whip Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) di sini, hari ini.

Tambah beliau sememangnya dalam undang-undang, inkues adalah di bawah kuasa Peguam Negara yang mana beliau boleh meminta majistret untuk mengadakan inkues atau inkuiri.

“ Itu memang kuasa beliaulah namun kalau sekiranya punca kematian itu belum diketahui. Ini punca kematian sebagaimana Polis telah sahkan dan diketahui . Jadi persoalan kita adakah Peguam Negara sekarang ini tidak lagi percaya kepada Polis. Polis yang menjalankan siasatan dengan begitu teliti dan begitu ’evidence’ dan sebagainya serta klasifikasi sebagai kes bunuh. Adakah tidak percaya kepada Polis.

“Keduanya…. inkues ini adalah open inkuiri..ini bermakna untuk menentukan punca kematian dan tidak ada sesiapa pun lagi yang dituduh melakukan perbuatan itu iatu membunuh. Sepatutnya dalam kes ini peranan AG adalah untuk menolong Mahkamah menentukan mencari punca kematian.

“Namun apa yang berlaku sekarang ini kita lihat AG seolah-olah dalam proses pendakwaan menuduh seseorang dan dia sudah ada satu kesimpulannya sendiri . Kesimpulannya seolah-olah kematian Adib bukanlah dipukul oleh mana-mana pihak.

“Buktinya disebut tadi satu afidavit daripada seorang Timbalan Pendakwaraya yang menjadi ‘Conducting Officer’ di dalam inkuiri berkenaan yang bernama Hamdan Bin Hamzah… apabila pihak kuil telah membuat rayuan di Mahkamah Rayuan telah menarik balik rayuan tersebut setelah satu afidavit telah dimasukkan oleh pegawai peguam negara mengatakan bahawa kematian Adib ini bukan disebabkan oleh apa-apa tindakan mana-mana orang. Itu yang terkandung di dalam afidavit menyebabkan mereka tarik balik. Maknanya tidaka da sesiap yang memukul Adib. Adakah ini peranan Peguam Negara? Bagi kami bukan peranan Peguam Negara, itu peranan Koroner menentukan. Inilah persoalan kami,” tegasnya.

Tegasnya lagi penarikan diri peguam yang mewakili KPKT dan Jabatan Bomba serta keluarga Adib, iaitu Syazlin Mansor merupakan satu perkara yang amat serius.

“Ketiganya apabila Peguam yang mewakili KPKT dan Jabatan Bomba serta keluarga Adib, iaitu Syazlin Mansor , beliau adalah profesional dan bukannya pegawai kerajaan. Namun telah diarahkan oleh Peguam Negara supaya tarik diri.

“Apa kuasa Peguam Negara di situ …kita tahu memang KPKT satu kementerian dan sepatutnya mendapatkan advise tetapi kenapa selepas lima bulan inkues diadakan barulah diminta tarik balik. Dulu tidak bantah ..ini merupakan satu perkara yang amat serius pada pandangan kami,” ujarnya.

Takiyudin seterusnya menegaskan pembelaan terhadap Adib bukankah kerana namanya Adib tetapi atas dasar pembelaan untuk seluruh rakyat kerana jika Maniam mahu pun Ah Seng yang mengalami nasib yang sama seperti Adib, langkah yang sama akan turut diambil.

“Kami sebagai pembangkang akan mewakili rakyat bukan kerana namanya Adib , tetapi kerana apa yang dialami oleh simati ini. Kita tidak pernah campurtangan sebagaimana sebelum ini isu Teo Beng Hock yang telah dipolitikkan dan kita tidak pernah mempolitikkan isu Adib ini.

“Kita menuntut keadilan diberikan kepada Adib yang dah meninggal dan keluarganya yang telah kehiangan anak. Itu sahaja dan keseluruhannya pembelaan terhadap kakitangan awam yang terkorban dalam melaksanakan tugas sebagai contoh,” tambahnya. -MediaUMNO

Zuraida Perlu Beri Penjelasan, PH Perlu Pegang Konsep ‘Rule Of Law’


KUALA LUMPUR 29 Mei – Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin didesak memberi penjelasan berhubung penarikan diri peguam Syazlin Mansor yang mewakili kementerian itu dalam prosiding inkues kematian anggota bomba Muhammad Adib Mohd. Kassim.

Ketua Wanita UMNO, Datuk Dr. Noraini Ahmad berkata, malah kerajaan Pakatan Harapan (PH) tidak seharusnya lupa dengan prinsip ‘rule of law’ yang sering diungkapkan sebelum ini sebagai teras asas pentadbiran.

Katanya, semua pihak perlu telus dan amanah kerana inkues bukanlah satu prosiding untuk menentukan kemenangan atau sebaliknya.

“Persoalannya, mengapa perkara ini dijadikan isu selepas 36 hari Syazlin mewakili kementerian itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan keluarga anggota bomba dan bukannya dari awal.

“Tidakkah tindakan Peguam Negara, Tommy Thomas ini hanya akan melanjutkan lagi tempoh prosiding inkues setelah 36 hari prosiding berlangsung dan berbaki dua hari lagi?” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Sebelum ini, Syazlin yang mewakili Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, JPBM serta keluarga Muhammad Adib menarik diri daripada prosiding inkues kematian anggota bomba itu. – UTUSAN ONLINE

Campur Tangan Inkues Adib: Peguam Negara Bela Mangsa Atau Penjenayah?


KOTA BHARU 29 Mei – Peguam Negara dan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) perlu memberi penjelasan yang lebih ‘masuk akal’ mengenai penarikan diri peguam Syazlin Mansur daripada prosiding inkues kematian anggota bomba Muhammad Adib Mohd. Kassim.

Exco Pemuda UMNO yang juga Pengerusi Kluster Peguam Muda Pemuda UMNO, Nik Saiful Adli Burhan berkata, pada ketika ini, seluruh masyarakat yang mengikuti inkues tersebut terkejut dengan berita penarikan diri Syazlin sebagai peguam pemerhati yang dilantik oleh KPKT sendiri.

Lebih mengejutkan kata beliau, perkara itu dikatakan dibuat oleh KPKT atas arahan yang dikeluarkan Peguam Negara, dengan alasan tugasan yang bertindan atau ‘redundant’ antara pegawai dari Jabatan Peguam Negara dengan Syazlin sebagai peguam lantikan KPKT.

“Pada asalnya adalah jelas bahawa peranan peguam pemerhati ini adalah bagi melengkapkan apa-apa kekurangan sepanjang prosiding berjalan. Malah saksi-saksi yang dibawa oleh KPKT amat membantu dalam mencari punca kematian Adib.

“Semua pihak seharusnya saling membantu koroner mencari punca kematian, membawa saksi dan bukti penting serta memastikan segala kekurangan sepanjang inkues dilengkapkan, berbeza dengan perbicaraan kes jenayah yang melibatkan pihak-pihak yang menentang satu sama lain,” katanya dalam kenyataan, di sini.

Mengulas lanjut, Nik Saiful Adli berkata, terlalu banyak persoalan timbul selepas penarikan diri Syazlin, lebih-lebih tindakan beliau tersebut dibuat selepas 36 hari inkues yang kini hanya berbaki dua hari sahaja lagi.

Kata beliau, tindakan tersebut dilihat akan mengganggu perjalanan inkues lebih-lebih lagi Syazlin diketahui telah pun membantu sejak inkues bermula.

“Pemuda UMNO mendesak supaya Peguam Negara dan KPKT memberi penjelasan yang ‘masuk akal’ mengenai penarikan diri peguam ini, bukannya membuka ruang untuk rakyat melemparkan tohmahan terhadap sistem perundangan negara.

“Jika benar KPKT tidak mampu membela nasib arwah Muhammad Adib, Pemuda UMNO sejak awal-awal lagi telah menawarkan khidmat peguam dan (KPKT) tidak perlulah tawarkan khidmat kalau hanya untuk suka-suka,” kata beliau.

Nik Saiful Adli dalam pada itu mahu mengingatkan kembali Peguam Negara bahawa inkues tersebut dibuat adalah bertujuan mencari kebenaran dan membela kematian mangsa, bukannya menyembunyikan kesalahan mana-mana penjenayah. – UTUSAN ONLINE

'Elak Tindakan Boleh Timbulkan Kontroversi'


BUKIT MERTAJAM - "Elak apa jua tindakan yang boleh menimbulkan kontroversi dan presepsi yang salah," demikian reaksi Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor mengenai tindakan pihak tertentu yang menganjurkan majlis berbuka puasa di rumah ibadat bukan Islam.

Menurutnya, ada banyak lagi cara untuk menonjolkan sikap bertoleransi antara orang Islam dan bukan Islam.

"Dari sudut hukum tak salah, malah di Dubai umat Islam berbuka puasa dan mendirikan solat Tarawih di kuil kaum Sikh dan tiada ulama di sana yang membantah.

"Cuma dalam konteks Malaysia hari ini, melakukan tindakan keagamaan (Islam) di rumah ibadat bukan Islam adalah tindakan kurang bijak dan tidak berhikmah," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Justeru beliau menasihatkan umat Islam supaya mengelakkan tindakan sedemikian.

"Pokoknya elakkanlah perbuatan yang boleh mencetuskan keadaan tidak selesa majoriti masyarakat umum walaupun tidak salah di sisi hukum agama," katanya. - Sinar

Tuesday 28 May 2019

Inkues Adib: Percaya Ada ‘Tangan Ghaib’ Cuba Selamatkan Pihak Tertentu – Noh


TANJONG KARANG 27 Mei – Bekas Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Tan Sri Noh Omar percaya, arahan agar peguam Syazlin Mansor menarik diri pada saat akhir inkues kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd. Kassim ada kaitan dengan usaha ‘tangan ghaib’ menyelamatkan pihak tertentu.

Beliau yang kecewa dengan senario itu berkata, perkembangan tersebut juga memperlihatkan ada pihak-pihak tertentu baik di peringkat kepimpinan Pakatan Harapan (PH) mahupun di Jabatan Peguam Negara sendiri cuba main politik di sebalik kematian Muhammad Adib, akibat rusuhan kuil tahun lalu.

Selaku bekas menteri yang menjaga kebajikan anggota bomba Noh berkata, beliau mengikuti perkembangan inkues dan mendapati perkara dibangkitkan Syazlin sewaktu prosiding sangat bagus terutama apabila membawa saksi ke-29, Perunding Kanan Patalogi Forensik di United Kingdom, Dr. Shahrom Abd. Wahid.

Malah tegas Noh, selaku seorang peguam, beliau juga mendapati kenyataan Dr. Shahrom jauh lebih meyakinkan bawa Muhammad Adib mati akibat dipukul berbanding keterangan yang diberikan saksi ke-24 iaitu Pakar Forensik Hospital Kuala Lumpur (HKL), Dr. Ahmad Hafizam Hasmi.

“Isu ini (tarik diri) timbul berikutan usaha Syazlin memohon kepada Mahkamah Koroner untuk memanggil semula Dr. Shahrom untuk menerangkan kembali kenyataannya kerana kenyataan itu sangat penting.

“Keadilan kepada Adib ini jangan dipolitikkan dan jangan ada tangan-tangan ghaib yang hendak menyelamatkan pihak tertentu,” katanya.

Semalam, Syazlin membuat kejutan apabila mengumumkan penarikan diri daripada terus mewakili KPKT dan ia dikaitkan dengan ada arahan daripada ‘tangan ghaib’ kerana difahamkan ada surat arahan oleh pihak tertentu selepas peguam itu dikatakan begitu tegas dalam mencari keadilan untuk Muhammad Adib.

Susulan penarikan tersebut, Menteri KPKT, Zuraida Kamaruddin memaklumkan peranan Syazlin tidak diperlukan lagi dalam prosiding inkues berkenaan kerana Peguam Negara, Tommy Thomas sendiri akan mewakili KPKT serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Dalam pada itu, Noh berharap Syazlin meneruskan perjuangannya menegakkan keadilan kepada Muhammad Adib.

“Biarlah dia (Syazlin) berhenti daripada mewakili kementerian tetapi teruslah menjadi peguam untuk mewakili keluarga Adib, sekaligus meneruskan perjuangan menegakkan keadilan kepada Adib,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Inkues Adib: Penarikan Syazlin, Siapa Beri Arahan?


KUALA LUMPUR 28 Mei – Gerakan Pembela Ummah (Ummah) mendesak agar surat yang mengarahkan peguam Syazlin Mansor untuk menarik diri daripada prosiding inkues kematian anggota bomba Muhammad Adib Mohd. Kassim didedahkan kepada umum.

Pengerusi Ummah, Aminuddin Yahya berkata, ini kerana rakyat berhak mengetahui siapa yang memberikan arahan tersebut termasuk sebab penarikan itu dilakukan.

“Kenapa Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin secara tiba-tiba menyifatkan peranan Syazlin tidak diperlukan lagi dan mengapa penarikan itu dilakukan disaat-saat akhir inkues.

“Adakah Syazlin menerima ugutan dan kita mahu tahu siapa yang memberikan arahan tersebut,” katanya ketika sidang akhbar di sini hari ini.

Semalam, Syazlin yang mewakili Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia serta keluarga Muhammad Adib menarik diri daripada prosiding inkues kematian anggota bomba itu.

Tambah Aminuddin, Ummah juga mahu Syazlin, Zuraida serta Peguam Negara, Tommy Thomas dipanggil sebagai saksi dalam prosiding inkues tersebut supaya mahkamah dapat menyiasat sama ada wujud sebarang tekanan atau arahan jahat untuk menggangu inkues. – UTUSAN ONLINE

Ibadat Zakat Bukan Bahan Lakonan, Zahid Bidas ADUN Pulau Tikus


KUALA LUMPUR, 28 Mei – Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mempertikai tindakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Tikus, Chris Lee Chun Kit yang mencampuri urusan pengagihan zakat kepada rakyat di kawasan tersebut.

Merujuk kepada laman Facebook ADUN Dap itu, Ahmad Zahid juga melihat perlakuan tersebut seolah-olah lakonan semata-mata.

“Bila orang bukan Islam yang mengurus atau yang mengagih… lakonan apakah yang sedang dimainkan itu?,” soal Ahli Parlimen Bagan Datuk itu di Facebooknya.

Tegas Ahmad Zahid juga, ibadat zakat adalah khusus kepada orang Islam yang beriman kepada Allah SWT.

“Zakat itu salah satu daripada rukun Islam…berdasarkan kepada kepercayaan kepada Allah.

“Ianya merupakan ibadat khusus yang disyariatkan…diambil daripada orang Islam dan diserah, diagih kepada org Islam atau asnaf yang berhak,” katanya lagi. – Media UMNO

Pengukuhan kerjasama UMNO- Pas gerunkan PH


KUANTAN 28 Mei – Pengukuhan kerjasama antara UMNO dan Pas yang merupakan dua parti Melayu terbesar di negara ini menimbulkan kegerunan kepada lawan politik mereka.

Ketua Penerangan Pemuda UMNO, Mohd. Shahar Abdullah berkata, hal demikian kerana orang Melayu merupakan populasi terbesar di negara ini.

“Apabila kedua-dua parti terbesar masyarakat Melayu ini mengukuhkan persefahaman dan kerjasama, ia bakal membentuk satu ikatan yang kuat serta penyusunan gerak kerja lebih mantap menuju Pilihan Raya Umum Ke-15.

“Selalunya majoriti akan menentukan kuasa,” katanya ketika ditemui pada majlis berbuka puasa dan sumbangan kepada kanak-kanak memerlukan bantuan di Jaman Tory Resepi Indera Mahkota di sini semalam.

Yang hadir sama Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Panching, Datuk Mohd. Zaili Besar.

UMNO dan Pas dilaporkan akan memperkukuhkan lagi kerjasama secara rasmi melalui satu piagam yang akan dimeterai selepas Hari Raya Aidilfitri ini.

Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa berkata, jawatankuasa tertinggi kedua-dua parti tersebut sedang dalam proses penilitian terakhir piagam tersebut.

Beliau bagaimanapun menegaskan kerjasama rasmi tersebut masih belum mencapai tahap pembentukan gabungan baharu parti-parti politik seperti Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH). – UTUSAN ONLINE

Tokoh Sejarawan Khoo Kay Kim Meninggal Dunia


KUALA LUMPUR, 28 Mei – Tokoh akademik dan sejarawan negara, Profesor Emeritus Tan Sri Khoo Kay Kim meninggal dunia kira-kira pukul pukul 10.45 pagi, Selasa.

Beliau yang berusia 82 tahun meninggal dunia di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), menurut posting di Facebook bekas Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Profesor Datuk Dr Awang Sariyan.

“Negara kehilangan tokoh sejarah yang tiada tolok bandingnya apabila Profesor Emeritus Tan Sri Khoo Kay Kim yang meninggal dunia pada pagi ini di Pusat Perubatan UM.

“Semoga muncul tokoh seperti beliau dalam bidang akademik dan sejarah negara. Takziah kepada puteranya Eddin Khoo dan anggota keluarga yang lain,”  tulisnya dalam posting tersebut.

Perkara itu turut disahkan oleh anak perempuannya, Rubin Khoo menerusi laman Instagram.-mstar

Monday 27 May 2019

Cukup-cukuplah Cerita Tanam Buluh… Minum Minyak Sawit, Rangka Segera Pemulihan Ekonomi – Razali


KUALA LUMPUR, 27 Mei – Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Razali Ibrahim berkata kerajaan hari ini perlu lebih serius dalam melonjakkan suasana dan pasaran ekonomi supaya negara tidak terjerumus kepada situasi yang agak lebih teruk kerana lagi lama Pakatan Harapan (PH) bermain polik sepertimana yang boleh dilihat hari ini, maka negara akan jadi tidak menentu.

Menurut beliau dasar-dasar yang dibuat oleh kerajaan hari ini tidak menampakkan keyakinan dalam soal pemulihan ekonomi dan cukup-cukuplah cerita sepertimana tanam buluh, minum minyak kelapa sawit dan sebagainya lagi.

“Saya tidak nampak dasar-dasar yang dibuat boleh memberi keyakinan dalam soal pemulihan ekonomi. Isu ada banyak tetapi perkara yang kerajaan buat untuk membawa kepada keyakinan dan membina balik kedudukan ekonomi tidak ada.

“Contoh, cukup-cukuplah cerita tanam buluh… minum minyak sawit kerana kita sepatutnya dalam soal ringgit misalnya, kita kena promoasi secara serius beli barangan buatan Malaysia, rakyat tidak boleh boleh ditakuti dengan berbelanja. Kena belanja… Ringgit lemah jangan beli barang luar, beli barang dalaman supaya industri kecil dan sederhana kita masih boleh berkembang,” katanya kepda UMNO-Online.

Ujar beliau, suasana aktiviti ekonomi hari ini seperti bazar Ramadan, kedai-kedai perniagaan semakin kehilangan pelanggan kerana ketidakyakinan tersebut dan tidak ada dasar-dasar pemulihan.

“Satu lagi contoh apabila membuat kenyataan untuk bank mempermudahkan pinjaman beli rumah itu tidak menguntungkan rakyat. Mereka sepatutnya cerita menurunkan harga rumah dan bukannya meminta mendapatkan keuntungan dengan beli harga yang mahal dan akhirnya beban hutang makin tinggi. Jadi perkara-perkara yang dibuat ini tida langsung memberikan keyakinan dan ini yang pada saya menonjolkan lagi kelemahan pentadbiran kerajaan hari ini,” ujarnya.

Katanya, sebab itulah soal janji seratus hari ramai orang tuntut dan baginya janji tersebut memang susah untuk dilaksanakan.

“Saya tidak ada masalah sebab memang susah nak buat dan kita pun tahu janji-janji itu hanya semata-mata untuk pilihan raya. Sebab itu saya sebut dalam keadaan kita redha keputusan pilihan raya, tetapi kita tidak redha ditipu secara terang-terangan. Kalau sudah setahun, pada saya ianya bermasalah malah untuk kita biarkan mereka terus bermain dengan isu-isu politik semata-mata telah membuat rakyat bosan,” tegasnya.

Dalam perkembangan lain, mengenai Tabung Harapan beliau menyifatkan ianya menimbulkan banyak persoalan bagi sebuah kerajaan yang menganjurkan ketelusan, integriti dan ‘good governance’.

“Sebelum mereka beritahu untuk belanja bayar hutang dan sebagainya, kita pun tidak tahu prosedur kutipan itu macam mana, siapa yang audit, berapakah jumlah, daripada mana datang… tahu-tahu satu pengumuman dibuat. Sebenarnya rakyat sudah menyumbang banyak kepada kewangan negara dengan pembayaran cukai, jadi kutipan tabung ini sepatutnya tidak perlu pun tetapi sebab terlalu bermain politik nak tunjukkan kononnya negara ini nak bangkrap, hutang 1 trilion, akhirnya PH cuba mendapat simpati rakyat tetapi mereka sebenarnya mendedahkan masalah-masalah baru,” tambahnya lagi.- MediaUMNO

Matrikulasi: Menteri Pelajaran Mesti Realistik, Tegas – Khaled


KUALA LUMPUR, 27 Mei – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berharap Menteri Pelajaran, Dr Maszlee Malik akan meneliti cadangan Pemuda Dap dengan berobjektif dan lebih bertanggungjawab tanpa sebarang tekanan dan kegelisahan politik berhubung isu matrikulasi.

Katanya, beliau sangat dengan cara Menteri Pelajaran menyambut gesaan Pemuda Dap dengan penuh keterujaan agar Menteri Pelajaran menerima cadangan mereka, khususnya seperti yang disiarkan pada 22 Mei 2019 oleh portal berita Malaysiakini.

“Pada saya, gesaan sedemikian sudah tentulah sarat dengan motif politik serta retorik kosong yang sangat mengelirukan. Itu tidak pelik, kerana ia datang dari sebuah parti politik yang kononnya anti perkauman tetapi sentiasa menggunakan alasan kaum untuk mengangkat agendanya.

“Yang peliknya adalah ketidaktelitian menteri untuk terlebih dahulu menganalisis isu ini dalam konteks yang lebih besar.

“Terdapat beberapa perkara yang YB Menteri Pelajaran mesti beri perhatian dalam mempertimbangkan apa-apa cadangan yang diberikan oleh mana-mana parti politik,” katanya dalam satu kenyataan media malam tadi.

Ini kerana katanya, pertama, program matrikulasi adalah satu instrumen intervensi dalam pengajian tinggi dan ia bukan instrumen yang bersandarkan kesempurnaan, tetapi keseimbangan.

“Benar pelaksanaannya mempunyai kekurangan, tetapi ia bukan sistem yang bergerak menggunakan konsep ideal dan falsafah mandatori.

“Matlamat matrikulasi adalah untuk memastikan negara seperti Malaysia yang diberkati dengan kemajmukan kaum serta latar sosioekonomi yang berbezabeza ini, menyediakan satu laluan yang boleh mewujudkan keseimbangan peluang.

“Keseimbangan yang akhirnya boleh membetulkan kesenjangan dan jurang, yang jika tidak diuruskan dengan baik, pasti akan melebar dan menjadi lebih teruk.”

Kedua, katanya, program matrikulasi bukan tentang merit akademik secara mutlak dan jumlah A semata-mata dan ia tidak boleh dijadikan saluran yang celik kecemerlangan tetapi buta dalam melihat demografi masyarakat yang membentuk satu social conundrum yang kompleks.

“Sebab itu, pada saya, cadangan pemuda Dap yang mahu kerajaan menjadikan ranking pelajar dan PNGK (CGPA) sebagai kaedah kemasukan universiti hanya membuktikan dengan lebih jelas bentuk pemikiran dan keghairahan mereka dalam menuntut kesamarataan mutlak.

“Ia menunjukkan betapa mereka tidak faham, atau sengaja bertindak tidak faham, bahawa pendidikan bukan sahaja tentang siapa yang paling cemerlang dan mendapat markah tertinggi.

“Benar, merit dan kecemerlangan mesti menjadi nadi pendidikan, tetapi peluang membetulkan jurang dan memperbaiki diri serta susun atur masyarakat adalah perkara yang tidak boleh diketepikan sama sekali.”

Ketiga, jelasnya, YB Menteri Pendidikan mesti menilai semula dakwaan pemuda Dap yang mengaku bahawa isu matrikulasi adalah isu kesamarataan yang tidak sepatutnya dipolitikkan.

“Pada saya, ini adalah contoh terbaik peribahasa ibarat meludah ke langit. Bukankah mereka sendiri yang membakar-bakar isu ini dengan mengheret elemen bangsa ke dalamnya?

“Sedangkan Kerajaan dari dahulu sehingga kini melihat program matrikulasi sebagai intervensi sosial yang bebas dari pengaruh politik.

“Saya pasti, jika isu ini bukan tentang laluan untuk ke universiti seperti isu tuntutan lebih banyak penyertaan dan keseimbangan kaum bukan Bumiputera dalam unit beruniform untuk sama-sama mempertahankan negara, sudah tentu isu ini tidak akan menjadi serumit dan sehangat ini.

“Malah, sudah tentu Pemuda Dap akan diam seribu bahasa. Tidak ada idea, tidak ada cadangan yang hendak dikemukakan. Mengapa? Kerana perkara seperti itu tidak ada kepentingan politik kepada mereka biarpun jelas ia mempunyai kepentingan kepada negara secara keseluruhannya.”

Sehubungan itu, beliau memberi saranan kepada YB Menteri Pelajaran agar jadilah lebih prihatin dan sensitif terhadap sistem negara dan keadaan masyarakat, malah jangan tidak berpijak pada asas yang kukuh.

Katanya, lihatlah kembali empat perkara seperti:

(a) Adakah wujud keseimbangan dalam institusi pendidikan tinggi kita sekarang ini? Terutamanya penyertaan dalam jurusan-jurusan yang kritikal.

(b) Berapa peratusan sebenar mereka yang kononnya tercicir dan dinafikan haknya kerana sistem ini? Sedangkan kita tahu, mereka yang tidak dapat ke matrikulasi sebenarnya mempunyai pilihan lain yang juga baik dan tidak menafikan hak mereka. Malah turut disedia dan dibiaya kerajaan.

(c) Kita tidak boleh sesekali menafikan jurang dan kesenjangan yang ada dalam masyarakat. Jangan sampai dasar kita kelak hanya memastikan yang pandai dan kaya mendapat tempat sedangkan yang kurang bernasib baik tidak dibantu dengan peluang yang selayaknya.

(d) Tidak semua perkara dan sistem negara yang sedia ada mesti diserang dan diubah hanya untuk menunjukkan kita melakukan sesuatu. Sekalipun kita ingin meraikan perubahan dan idea baharu, jangan sampai kita terlepas pandang kepada perkara-perkara asas seperti keseimbangan dan kesenjangan. – MediaUMNO

Saturday 25 May 2019

Rapatkan Ukhuwwah Demi Ummah, Ketepikan Perbedaan – Zahid


SERDANG, 25 Mei – Iftar Jama’i UMNO bahagian Bangi yang disertai Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi hari ini menyantuni asnaf dan anak yatim serta penduduk sekitar Surau Al-Ittihad.

Selain menghulurkan bantuan kepada golongan asnaf, mereka yang berada di belakang tabir surau berkenaan turut diraikan bagi menghargai sumbangan mereka yang terlibat.

Suasana ceria dan penuh bermakna bagi mereka yang hadir kerana bukan sahaja dapat iftar bersama-sama malah pada masa yang sama dapat mengeratkan tali silaturahim kalangan penduduk setempat.

Datuk Seri Ahmad Zahid dalam ucapan ringkas menyifatkan hubungan atau ukhuwwah perlu dipereratkan supaya kesatuan dapat ditingkatkan dalam melahirkan permuafakatan yang unggul.

“Marilah kita sama-sama rapatkan ukhuwwah. Demi ummah Islam kita ketepikan perbedaan kita..kita jadi begini sebab kita melayani perbedaan kita selama ini,” katanya.

Pada masa yang sama beliau turut menyeru agar sama-sama meningkatkan amal ibadah pada bulan yang penuh berkat khususnya mencari malam Lailatul Qadr.

“Saya mengingatkan diri saya dan kepada semua…marilah kita sama-sama tingkatkan amal ibadah kita dan moga-moga ianya diterima Allah swt,” tambahnya.

Turut serta pada majlis berkenaan Pemangku UMNO Selangor, Datuk Mat Nadzari Ahmad Dahalan, Ketua UMNO Bahagian Bangi, Datuk Mohd Zaidi Md Zain dan mereka yang lain.

Sumbangan yang dihulurkan adalah hasil daripada penyumbang orang ramai serta jemaah Surau Al-Ittihad dan UMNO Bangi serta HELWA Bangi. –MediaUMNO

Friday 24 May 2019

Alasan Tarik Diri Lemah Dan Lembik, Ini Sebab Sebenar Kit Siang Enggan Debat Dengan Najib


KUALA LUMPUR, 24 Mei – Alasan Lim Kit Siang yang tiba-tiba menarik diri dari berdebat dengan Datuk Seri Najib Tun Razak kerana ia akan menjadi isu kaum dan agama yang melampau adalah sesuatu alasan yang amat lemah dan lembik, kata Presiden Sukarelawan Malaysia, Isham Jalil.

Katanya, debat ini khusus untuk membincangkan isu rasuah dan integriti, bukan isu kaum dan agama.

“Sekiranya ahli panel sengaja lari tajuk dengan niat mensensasi atau retorik kaum dan agama, moderator dan rakyat akan cepat menghidunya dan taktik itu tidak akan menjadi.

“Sebab itu alasan Lim Kit Siang tersebut tidak boleh dipakai dan tidak diterima akal dan Datuk Seri Najib adalah seorang yang moderate, beliau tidak pernah pun membawa isu-isu kaum dan agama yang melampau selama ini,” katanya dalam kenyataan yang disiarkan dalam laman Facebooknya, hari ini.

Katanya, beliau menyokong perdebatan politik kerana setiap pemimpin politik perlu bijak berbahas dan berdebat untuk membawa dan mempertahankan kepentingan rakyat dan untuk rakyat menilai kemampuan pemimpin-pemimpin mereka.

“Debat secara bersemuka juga adalah lebih bertamadun daripada kempen politik secara tikam belakang.

“Debat dan bahas juga melatih pemimpin untuk mengemukakan hujah dan mematahkan hujah di atas kaki sendiri di semua peringkat, sama ada di Parlimen atau di peringkat antarabangsa di Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu.

“Jika pemimpin-pemimpin kita tidak tahu atau takut berbahas, bagaimana mereka ingin menegakkan kepentingan kita dan melawan dakyah terhadap kita?”

Pada hemat Isham sebab sebenar Lim Kit Siang lari dari debat ini ialah kerana:

1. Beliau takut untuk mendengar fakta sebenar dan kebenaran dari Dato’ Sri Najib sendiri secara berhadapan dan beliau hanya mahu “main kutuk belakang” seperti seorang pengecut.

2. Beliau tidak ada cukup hujah, bukti dan fakta berkenaan tuduhan-tuduhan dan fitnah-fitnah beliau selama ini kepada Dato’ Seri Najib lantas takut untuk mengemukakannya secara langsung dan berhadapan kerana takut hujah-hujah beliau senang dipatahkan.

3. Beliau takut ditanya berkenaan skandal kehilangan RM44 billion dalam urusniaga matawang asing yang melibatkan kleptokrat terbesar negara Tun Dr Mahathir yang mana Lim Kit Siang sendiri telah menulis buku berkenaannya.

4. Beliau takut ditanya berkenaan skandal rasuah bungalow bekas Ketua Menteri Pulau Pinang yang melibatkan seorang lagi kleptokrat iaitu anaknya sendiri Lim Guan Eng.

5. Beliau takut ditanya berkenaan skandal beratus juta terowong Pulau Pinang yang juga melibatkan kleptokrat anaknya sendiri Lim Guan Eng.

6. Beliau takut ditanya berkenaan skandal-skandal rasuah pemimpin-pemimpin PH yang dilepaskan begitu sahaja oleh Kerajaan.

7. Beliau takut kalah oleh sebab-sebab di atas lantas memalukan diri sendiri di hadapan penyokong-penyokongnya sendiri dan rakyat.

8. Beliau memang penakut dan pengecut.

Dilaporkan, terdahulu Kit Siang mencabar Najib berdebat atas tajuk ‘Bagaimana Malaysia menjadi sebuah negara kleptokrasi dan bagaimana kita menjadi negara berintegriti’ yang kemudian disahut bekas Presiden UMNO itu. Namun begitu, Kit Siang mengumumkan penarikan diri semalam menerusi blog rasminya. – MediaUMNO

Tiada ‘Duit Raya’: Peneroka Kecewa Dan Rasa Tertipu Pilih PH


KUALA LUMPUR, 24 Mei – Kenyataan Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamad Azmin Ali tiada ‘duit raya’ untuk Peneroka FELDA sangat mengecewakan seluruh warga peneroka, kata Ketua Pembangkang merangkap Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Katanya, tidak seperti Kerajaan Barisan Nasional sebelum ini walau apa kedudukan kewangan Felda tetap mereka diutamakan terutama dalam keadaan kos sara hidup yang makin meruncing menjelang Syawal yang setidaknya ada sedikit saguhati untuk mereka berbelanja dalam persiapan raya.

“Peneroka telah melakukan kesilapan yang besar apabila memilih Pakatan Harapan (PH). Janji untuk menghapuskan segala hutang sangat mempersonakan peneroka, namun harga sawit terus rendah dan tiada polisi jangka pendek untuk bantu peneroka, pendapatan terus dipotong walaupun pendapatan rendah.

“Tambah menyedihkan duit raya dan bonus yang diterima setiap tahun masih seperti di dalam mimpi yang tak menjadi nyata,” katanya dalam kenyataan menerusi laman Facebooknya.

Bidas beliau, alasan kedudukan kewangan negara yang tidak mengizinkan untuk diberikan ‘duit raya’ merupakan alasan yang tidak dapat diterima oleh peneroka malah seperti ada sesetengah pendapat jika BN masih memerintah pada hari ini sudah pasti akan ada duit raya walau apa kedudukan ekonomi negara.

“Kenapa BN boleh bagi? Kerajaan yang dikatakan rasuah boleh bagi ‘duit raya’ tapi kerajaan yang kononnya bersih tak mampu bagi ‘duit raya’. Sudah jadi terbalik.

“Sepatutnya kerajaan yang rasuah yang tak mampu kerana hasil FELDA dijaras dan dirompak… mana lagi ada duit untuk diagih, tapi sebaliknya berlaku. Kerajaan yang tak rasuah (kononnya) tapi tak mampu bagi ‘duit raya’. Siapa perompak sebenar ni?” soal beliau yang juga Ahli Parlimen Bera.

Jelasnya, ketika pemerintahan BN, FELDA mampu memberikan duit raya RM450/500 dan duit bonus RM350 yang setidaknya jumlah ini mampu meringankan keluarga peneroka menjelang Aidilfitri.

“Peneroka menunggu-nunggu duit raya kerana memang setiap tahun mereka terima duit raya dan bonus raya. Lebih-lebih lagi di dalam waktu harga sawit yang rendah sekitar RM350 setiap tan untuk buah tandan segar seperti ini mereka sangat mengharapkan pemberian duit raya tersebut. Ditambah dengan kenaikan kos barangan di pasaran menambah perit mereka.

“Pendapatan mereka hari ini kadang-kadang kurang RM700 dan ada yang hanya berbaki RM50 selepas di tolak hutang, upah ladang, sewa lori, baja dan lain-lain.

“Dulu sewaktu BN memerintah segala pembayaran hutang ditangguhkan jika pendapatan kurang dari RM1,500 sebulan tapi hari ini walaupun pendapatan kurang namun potongan hutang tetap dikenakan.”

Katanya, beliau bersama rakan-rakan pembangkang telah bawa perkara ini dalam parlimen untuk pihak kementerian mengkaji cadangan supaya menangguhkan potongan hutang jika pendapatan kurang dari RM1,500 yang akhirnya Menteri janji untuk tangguhkan pembayaran hutang namun pendapatan mereka tetap dipotong untuk pembayaran hutang.

“Jika diikutkan janji Pilihan Raya-14 PH berjanji untuk hapuskan hutang, namun sekarang bukan sahaja hutang tidak dihapuskan tapi pendapatan kurang RM1,500 pun hutang tetap dipotong.

“Bagi peneroka yang sedang tanam semula. Pinjaman Sara Hidup sewaktu Kerajaan BN sebanyak RM1,500 sebulan. Walau bagaimana pun kadar tersebut dikurangkan kepada RM1,000 selepas PH ambil alih pemerintahan.”

Difahamkan katanya, ada cadangan untuk kurangkan kepada RM750. Saya membangkitkan isu ini dalam parlimen supaya kekalkan RM1,500 sepertimana sebelum dan Menteri Ekonomi di dalam membentangkan Kertas Putih telah berjanji untuk menaikkan semula kepada RM1,500. Namun sehingga hari ini masih kekal RM1,000.

“Tiada tindakan segera dari kerajaan PH dalam melaksanakan apa yang sudah mereka janjikan. Bukan itu saja malah ada potongan lain seperti untuk keceriaan kampung dan lain-lain menjadikan baki RM900 sahaja.

“Bagi peneroka yang menanam semula dengan Technoplant sebuah anak Syarikat Felda, pendapatan mereka terjejas kerana kegagalan Technoplant menguruskan ladang dengan baik.Kegagalan tersebut menyebabkan hasil ladang makin berkurang.”

Ujarnya, Menteri hanya beri sedikit harapan berkaitan Pinjaman Sara Hidup dan Bayaran Pendahuluan Hasil tetapi ianya masih tidak dapat mengembirakan peneroka yang semakin tertekan berdepan persiapan raya yang tidak lama lagi.

“Walau apa pun saya dan barisan pembangkang tetap akan berjuang tanpa henti untuk peneroka sehingga kerajaan memulangkan hak yang seharusnya diberikan kepada peneroka.

“Kekadang setiap dugaan itu datang untuk menyedarkan kita akan kesilapan kita untuk selepas ini kita tidak lagi melakukan kesilapan sama dengan mempercayai kerajaan yang hanya pandai bercakap sebelum menang dan khianat selepas mendapat mandat.” – MediaUMNO

Piagam UMNO PAS Ke Arah PRU-15


KOTA BHARU 24 Mei – PAS tidak menolak kemungkinan akan meningkatkan kerjasama dengan UMNO untuk jangka masa yang panjang sehingga membentuk gabungan baharu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man bagaimanapun berkata, perkara tersebut masih dalam penilitian pihaknya kerana melibatkan pelbagai proses termasuk kelulusan Majlis Syura Ulama serta muktama khas.

Beliau berkata, namun pada masa sekarang hubungan di antara kedua-dua parti tersebut akan terus dipertingkatkan dengan memeterai deklarasi piagam kerjasama UMNO-PAS selepas Hari Raya Aidilfitri nanti.

“Sebagaimana kita sebut dulu, muafakat kita (PAS-UMNO) ada tiga benda iaitu, pertama mana-mana pilihan raya kecil akan melibatkan satu lawan satu. Kedua, agenda Islam, untuk mempertahankan Islam dan ketiga, menyusun tindakan bersama dalam sidang Parlimen.

“Deklarasi (piagam UMNO-PAS) ini akan lebih daripada itu. Lepas raya, kita bermesyuarat untuk lihat piagam ini… Ke arah PRU-15 kita akan lihat nanti,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ceramah Badar al-Kubra peringkat di negeri di Madinah Ramadan di sini malam tadi.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa mengenai piagam kerjasama UMNO dan PAS yang akan diumumkan selepas Hari Raya Aidilfitri nanti.

Piagam tersebut membawa kepada satu peringkat baharu kerjasama di antara kedua-dua parti itu yang melibatkan semua lapisan daripada peringkat bahagian atau kawasan sehingga ke Pusat melalui manual bertulis.

Tuan Ibrahim yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian berkata, kerjasama politik atau ‘tahaluf’ dengan UMNO perlu dibawa kepada Majlis Syura Ulama untuk diluluskan.

“Kalau kerjasama biasa tidak apa, dalam kerangka parti yang dibenarkan dalam perlembagaan parti.

“Kalau ada kerjasama panjang membabitkan ‘tahaluf’ kena bawa kepada syura dan pengalaman Pas walaupun syura luluskan macam masuk Barisan Nasional (BN) dulu, kita akan bawa dalam muktamar khas. Jadi ahli-ahli tak perlu bimbang,” katanya.

Katanya, beliau telah melihat draf piagam tersebut namun harus dibincangkan dalam mesyuarat jawatankuasa induk kerjasama kedua-dua parti.

“Ada dua jawatankuasa, jawatankuasa tertinggi (induk) dan jawatankuasa teknikal. Jawatankuasa induk akan bermesyuarat tiga bulan sekali manakala jawatankuasa teknikal telah bermesyuarat beberapa kali.

“Piagam yang disyorkan oleh jawatankuasa teknikal akan diangkat kepada jawatankuasa induk, selepas raya nanti kita akan mesyuarat lihat piagam ini.

“Saya sudah lihat piagam ini dan UMNO juga sudah tengok. Kena bahas dalam mesyuarat kedua-dua pihak,” katanya.

Tambahnya, piagam tersebut berteraskan muafakat dan perpaduan ummah. – UTUSAN ONLINE

Thursday 23 May 2019

Mampukah Anwar Bela Islam Sedangkan ‘Ghanimah’ Perang Politik PRU-14 Dikuasai Dap…


PASIR SALAK, 23 Mei – Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Tajuddin Rahman berkata, beliau menyambut baik hasrat Datuk Seri Anwar Ibrahim yang ingin dikenali sebagai pemimpin negara yang memiliki keyakinan teguh terhadap Islam apabila memegang jawatan sebagai Perdana Menteri kelak dan dalam masa sama, ingin dikenali sebagai pemimpin yang sangat prihatin terhadap orang bukan Islam kerana ini satu sikap yang mulia dan sepatutnya ada pada seseorang pemimpin.

Namun jelas beliau, apa yang menjadi persoalan, adakah Anwar mampu untuk mengotakan apa yang dikatakan itu kerana, tidak ada siapapun yang boleh menafikan ghanimah (harta rampasan) perang politik selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) sebenarnya dikuasai oleh Dap.

“Anwar adalah ahli politik yang cuba untuk mendapatkan sokongan daripada semua pihak dan kita tahu kumpulan-kumpulan yang dia mengharapkan mendapat sokongan itu mempunyai agenda berlainan iaitu menentang agenda Melayu Islam. Sebab itu di satu tempat dia boleh menjadi penari dan di satu tempat yang lain dia boleh menjadi ‘ustaz’.

“Kita pernah melihat di mana Anwar terpaksa akur kepada pihak-pihak yang mempunyai agenda bertentangan itu semata-mata kerana untuk meraih sokongan politik. Contoh, dia terpaksa mengambil hati Dap sehingga sanggup menggadaikan atau berkompromi dalam hal kepentingan Melayu dan Islam bila menghadapi kesulitan yang di bawa oleh Dap kepada dirinya. Ini yang menyebabkan saya berasa kurang yakin dengan janji Anwar itu.

“Mengenali Dap, Dap tidak akan mengalah dari segi agenda perjuangan mereka kerana mereka mempunyai agenda yang kosisten yang selama ini diperjuangkan iaitu Malaysian Malaysia… agenda kesamarataan yang akan mengurangkan kepentingan Islam. Ini agenda Dap. Sebelum berkuasa pun mereka bertegas, apatah lagi setelah berkuasa,” ujar beliau kepada UMNO-Online.

Tambah Tajuddin yang juga Ahli Parlimen Pasir Salak, atas agenda tersebutlah maka kini hak anak Melayu dalam matrikulasi dipertikaikan dan UEC diperjuangkan.

“Ini tanda-tanda yang menunjukkan mereka semakin lantang memperjuangkan agenda mereka. Begitu juga dari segi agama Islam, walaupun Dap cuba mengambil hati orang Islam dengan memberi bantuan kepada masjid dan orang Islam tetapi sumbangan yang diberikan kepada bangsa lain jauh lebih besar.

“Mereka cerdik mengaburi mata orang Melayu dan Islam kononnya membantu dan menyokong institusi Islam. Adakah Anwar boleh membendung semua ini? Adakah Anwar boleh menghadapi cabaran ini? Saya rasa tidak mungkin kerana kedudukan Anwar sebagai seorang Perdana Menteri kelak akan banyak bergantung kepada sokongan Dap,” tegas beliau.

Tajuddin turut mengatakan, sehebat-hebat Tun Mahathir sebagai Perdana Menteri dan juga dikatakan ‘kuku besi’ turut ‘tunduk’ mengalah kepada desakan Dap.

“Tun sendiri mengakui sebagai Perdana Menteri, dia bergantung kepada Dap. Mungkin ada yang berkata Tun dapat kuasai Dap. Malaysia baru… mungkin ya mungkin tidak. Kalau dia tidak tunduk kepada Dap mengapa begitu ramai menteri terdiri dari kalangan Dap? Ini semua tuntutan Dap… maknanya Tun memang mengalah dengan desakan Dap.

“Jawatan-jawatan penting menteri terpakaa diberi kepada Dap kerana Tun menghadapi desakan daripada Dap walaupun Dap menunjukkan dia boleh bekerjasama dengan Tun dan orang melayu dalam Amanah dan PPBM tetapi agenda siapa yang lebih berjaya dalam Pakatan Harapan (PH)?

“Siapa yang mendapat keuntungan besar dalam kerajaan sekarang ini? Kalau kita buat kira-kira maka kita akan dapati dan tidak ada siapa boleh nafikan bahawa Dap yang untung besar. Ghanimah perang politik PRU-14 ini yang banyak dapat adalah Dap,” tegas beliau.

Maka jelas Tajuddin, apa yang berlaku kepada Tun sekarang ini akan turut dilalui oleh Anwar apabila dia berjaya menjadi Perdana Menteri kerana Dap adalah sebuah komponen yang dominan dan tidak akan ada perubahan dalam politik kerajaan PH. – MediaUMNO

Wednesday 22 May 2019

PH Tersepit Antara Tunai Janji Yang Tak Munasabah Dengan Realiti Sebenar PTPTN


Pada hemat saya, Kerajaan PH sedang mencari alasan mahu melaksanakan “beberapa pendekatan yang mereka tentang” sebelum ini setelah menyedari realiti dan kedudukan sebenar bila mengambilalih PTPTN.

Sekarang mereka baru menyedari banyak pendekatan BN dulu adalah tepat. Namun kerana terikat dengan janji tidak munasabah yang ditabur, ia menjadi sukar pada PH.

2. Ketika ini, PH hanya menyambung sahaja apa yang BN laksana dahulu. Masih tidak ada sesuatu pembaharuan PH lakukan kecuali menghapuskan sekatan imigresen yang realitinya menjadi antara punca kutipan balik PTPTN merosot.

Apapun sepertimana Lembaga Urusan Tabung Haji (LUTH), mereka cuba mencipta naratif dengan mendakwa betapa teruknya polisi dan dasar PTPTN dahulu dan akhirnya mahu muncul sebagai jaguh menyelesaikan masalah PTPTN. Naratif ini mudah dibaca.

3. Saya adalah Pengerusi PTPTN (2013 – 2018) iaitu selepas PRU 13. Dalam tahun 2013, iaitu sebelum dan selepas PRU13. Saya masih ingat apabila aliran kewangan PTPTN ketika itu menjadi begitu teruk.

Ramai peminjam terpengaruh apabila dalam kempen PRU13, PKR dan pembangkang yang lain melalui tokoh mereka seperti Nurul Izzah, Rafizi Ramli dan ramai lagi berjanji untuk hapuskan hutang .

4. Kesannya, ramai terpesona. Mereka tidak mahu membayar hutang pinjaman dalam tempoh itu kerana percaya PTPTN akan dihapuskan.

PTPTN dijadikan modal politik bagi menarik sokongan anak muda. Akibatnya kutipan jatuh dan PTPTN berjaya mengutip pinjaman hanya sekitar RM50 juta sebulan, iaitu sekitar RM600 – RM700 Juta sahaja setahun. Keadaan ini menimbulkan masalah kepada aliran kewangan PTPTN.

5. Akibat dana tidak cukup, PTPTN terpaksa mengambil langkah drastik. Langkah ini diakui tidak popular tetapi penting kepada kelastrian PTPTN. PTPTN, terpaksa membuat potongan jumlah pinjaman sebanyak 5% kepada pelajar ke IPTA dan 15% pinjaman pelajar ke IPTS. Kemudian untuk jumlah pinjaman terpaksa meletakkan syarat tertentu kepada peminjam.

Malah PTPTN memulakan tindakan CRISS ketika itu. Langkah ini dibuat kesan kutipan yang rendah, dan puncanya turut disumbangkan oleh pembangkang (Kerajaan PH sekarang) yang tidak bertanggungjawab ketika itu.

6. Kemudian diwaktu itu, PTPTN tingkatkan dan membuat perubahan pentadbiran, perkhidmatan dan sebagainya. PTPTN perkenalkan pelbagai kaedah membuat bayaran balik dengan mudah dan cepat “hanya menggunakan hujung jari“.

Antaranya direct debit dengan diskaun 10% diberikan, potongan gaji juga dengan diskaun 10% diberikan dan 20% kepada yang membayar penuh. Pengeluaran akaun II KWSP, Kaunter ejen bank di seluruh negara (Bank Islam, CIMB Bank, BSN, Bank Rakyat, Pejabat Pos). Jompay dan perbankan internet (maybank2u, cimbclicks, posonline, public bank online) dan banyak lagi.

7. PTPTN juga turut membuka dan menambah cawangan PTPTN di seluruh negara. PTPTN melaksanakan kolaborasi strategik bersama agensi-agensi korporat antaranya kerjasama bersama MyClear bagi kemudahan bayaran balik pinjaman PTPTN melalui jompay dan direct debit online serta AirAsia bagi memperkenalkan kaedah bayaran balik menggunakan BIG Prepaid MasterCard (Kad Prabayar Mastercard BIG), selain itu Program Sahabat kepada agensi swasta dan kerajaan turut dibuat. PTPTN amalkan antaranya “mesra pelanggan” dan konsep ” #Boleh Bincang” dan banyak lagi pendekatan lain. Kesannya jumlah kutipan pinjaman mula meningkat iaitu dari RM0.7Bilion pada 2014 kepada RM1.5 Bilion 2015.

8. PTPTN semasa BN juga, giat mentansformasikan paradigma daripada meminjam kepada menyimpan melalui penabungan Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN-i). Kita mahu budaya meminjam di kalangan masyarakat dikurangkan sebaliknya budaya menyimpan iaitu persediaan dan perancangan awal diutamakan, maka 2015 PTPTN telah memperkenalkan pula satu lagi produk baharu iaitu SSPN-i Plus bagi tujuan simpanan demi masa depan pendidikan dengan menawarkan perlindungan takaful yang amat murah dan komprehensif.

Kita mengalakkan rakyat menabung melaksanakan perancangan kewangan ataupun ‘financial planning’ yang baik di PTPTN.

9. Kita waktu itu mahu rakyat melihat PTPTN sebagai TABUNG PENDIDIKAN untuk rakyat Malaysia, sebagaimana Lembaga Tabung Haji dilihat untuk mengerjakan haji dan KWSP dilihat untuk simpanan apabila telah bersara. Maka, sekiranya ingin melihat anak-anak berjaya mendapat pendidikan tinggi, ada PTPTN – TABUNG PENDIDIKAN Anda.

Kesannya, peratusan rakyat gunakan simpanan untuk melanjutkan pelajar menunjukan peningkatan dan positif. Malah, sesuai dengan Revolusi Industri 4.0, PTPTN juga telah bersedia kearah itu. Kita adakan Program Jobmaching dengan industri dan sediakan dana untuk tujuan sempena sambutan 20 tahun PTPTN.

10. Dengan pelbagai usaha PTPTN dibawah BN lakukan, akhirnya jumlah keseluruhan pencapaian bagi kutipan balik dan deposit SSPNi pada tahun 2017 adalah sebanyak RM4.7 bilion.

Malah usaha kita fokuskan tahun 2017 sebagai tahun penabungan, membolehkan pencapaian kutipan bagi deposit SSPNi bagi tahun itu amat memberangsangkan iaitu RM727.40 juta (132.3%) .

11. Pencapaian ini merupakan pencapaian tertinggi yang pernah diperolehi bagi SSPNi. Manakala bagi pembukaan akaun baharu SSPNi juga menunjukkan peningkatan yang ketara bagi tahun 2017 iaitu 447,039 akaun baharu (127.7%).

Semua ini kerana usaha gigih warga PTPTN walaupun cabarannya cukup besar. Realitinya kutipan bulanan PTPTN mula positif dan telah mencecah sekitar RM400 Juta hingga RM490 Juta sebulan . Kerana itulah rekod 2016 kutipan PTPTN mencecah angka RM3.4 Bilion dan pada tahun 2017 RM3.985 Bilion) yang melepasi KPI di tetapkan PTPTN.

12. Namun demikian menjelang PRU14. Pakatan Harapan sekali lagi mempengaruhi rakyat. Mereka janjikan untuk mulakan bayaran balik ditangga gaji RM4 ribu sebulan, pendidikan percuma dan hapuskan sekatan imigresen. Suara suara Rafizi Ramli, Nurul Izah, Azmin Ali dan lain lain termasuk Adam Adli, Syed Sadiq sekali lagi berkumandang dan menjuarai isu ini. Ini menyebabkan ramai tidak membayar pinjaman kerana menanti janji berkenaan.

13. Keadaan ini menyebabkan kutipan menurun pada penghujung 2018 kepada hanya RM3.3 Bilion berbanding sebelumnya dan tidak melepasi sasaran KPI. Tindakan PH melaksanakan penghapusan sekatan imegresen, juga menjadi punca kepada penurunan kutipan balik wang PTPTN.

Semua ini adalah fakta yang sesiapapun tidak boleh menafikannya. Kerajaan PH sekarang bertanggungjawab kepada semua ini kerana hanya mahu populis.

14. Kini, saya rasa, PH mula sedar bahawa banyak langkah BN yang mereka tentang dulu, adalah baik sebenarnya. Langkah, penghapusan sekatan imigresen sangat memberi kesan kepada kutipan balik PTPTN sesuatu yang silap. Malah ia hanya memberikan keuntungan kepada mereka yang mendapat pinjaman.

Perlu difahami PTPTN bukan menerima geran kerajaan. Rekodnya hanya pernah menerima sebanyak RM5.2 Bilion diawal penubuhannya. Kemudian, selepas 2003 PTPTN mula berdikari. Bila berdikari, PTPTN mendapat sumber kewangan daripada; pinjaman PTPTN dari institusi kewangan, Terbitan SUKUK, dan daripada Kutipan Balik Pinjaman. Maka jika kutipan balik menjadi masalah, ia akan menganggu aliran pusingan kewangan PTPTN.

15. Difahamkan, sehingga Februari 2019 PTPTN telah membantu seramai 3.02 juta pelajar dengan jumlah dana sebanyak RM56.0 bilion.

Jumlah ini pasti akan meningkat jika pendekatan yang dibuat dan dirancang oleh BN dulu tidak dilaksana. Manakala, semua janji PH termasuk mula bayar balik ditangga gaji RM4000.00 akan beri kesan kepada penurunaan kutipan.

Jika ini berlaku, pasti secara berterusan PTPTN akan bergantung pada pinjaman dari institusi kewangan untuk diberikan pada pelajar. Sedangkan waktu BN dulu kita sudah mulakan usaha kurangkan kebergantungan kepada institusi kewangan untuk dipinjamkan kepada pelajar.

16. Pinjaman berterusan PTPTN dari institusi kewangan, akan berikan kesan besar pada PTPTN dan negara. Bayangkan setiap tahun antara RM3.5 bilion – RM5 bilion diperlukan untuk menampung lebih kurang 200 ribu pelajar baru dan 600 ribu pelajar sedia ada di IPT, serta sebahagiannya PTPTN perlu jelaskan pinjamannya pada institusi kewangan.

17. Inilah keadaannya, dan apa yang PTPTN lakukan selama ini di zaman BN sudah baik, jika diterus mungkin hanya perlu ditambahnilai sahaja. BN lakukan pelbagai cara untuk mengalakkan pinjaman dibayar. Namun apakan daya PH sudah terlajak cakap. Pasti malu untuk laksanakan apa yang telah BN lakukan selama ini. Namun jika PH terus dengan egonya, PTPTN akan bermasalah.

Jalan terbaik ikutlah apa yang PTPTN lakukan sewaktu BN dahulu, cuma tutuplah muka supaya PH tidak malu. Lagipun, apa salahnya PH memang suka tukar nama dan kulit saja, tapi kalau pembaharuan lesen memandu, roadtax, pasport, lesen perniagaan pun disekat kerana tidak membayar pinjaman ia sangat kejam.

YB DATO’ DR SHAMSUL ANUAR HJ NASARAH
Ketua Penerangan UMNO Malaysia
(Mantan Pengerusi PTPTN)