This is default featured slide 3 title

Go to Blogger edit html and find these sentences.Now replace these sentences with your own descriptions.

This is default featured slide 4 title

Go to Blogger edit html and find these sentences.Now replace these sentences with your own descriptions.

This is default featured slide 5 title

Go to Blogger edit html and find these sentences.Now replace these sentences with your own descriptions.

Tuesday, 8 May 2018

Masa Untuk Permatang Pauh Berubah – Mohd Zaidi


BUKIT MERTAJAM, 8 Mei – Permatang Pauh, kawasan yang hampir 20 tahun diwakili pembangkang tetapi tidak pernah dipinggir dalam pembangunan oleh Kerajaan Persekutuan dan dalam tempoh itu juga pelbagai usaha dilakukan untuk kebajikan penduduk yang seolah-olah dilupakan wakil rakyat mereka.

Walaupun kawasan itu merupakan kubu kuat PKR, jentera UMNO yang diterajui ketua bahagiannya Datuk Mohd Zaidi Mohd Said sentiasa ‘turun membantu’ penduduk yang memerlukan.

Beliau tidak pernah mengenal erti penat dan lelah serta jemu tidak kira siang atau malam membantu masyarakat Permatang Pauh walaupun beliau bukan wakil rakyat yang dipilih di kawasan itu.

“Pelbagai program telah kami buat dalam kawasan Permatang Pauh ini dalam memperkasakan dua institusi penting iaitu pendidikan dan agama. Ini dua perkara yang menjadi tumpuan saya dalam Parlimen ini. Bagi institusi agama dalam beberapa tahun ini, kami berjaya menyiapkan dua masjid baharu iaitu pada 2015 Masjid Timah di Seberang Jaya dan awal tahun ini Masjid Kubang Ulu di Penanti.

“Pada masa ini juga sedang berlangsung kerja-kerja untuk membaiki dan menaik taraf 20 surau di Parlimen ini daripada peruntukan ICU (Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri),” katanya kepada Bernama ketika ditemui di Yayasan An Nadhoh baru-baru ini.

Mohd Zaidi berkata beliau amat berterima kasih kepada Kerajaan Persekutuan kerana walaupun Permatang Pauh berada di bawah parlimen pembangkang, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak tetap menyalurkan peruntukan bagi membaiki infrastruktur di kawasan itu.

Justeru dengan pembangunan hasil bantuan kerajaan BN, Mohd Zaidi yang juga calon Parlimen Permatang Pauh yakin akan berlaku angin perubahan pengundi untuk beralih mengundi UMNO dan BN pada pilihan raya umum ini.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) ini, Mohd Zaidi akan ditentang Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar dan calon PAS Afnan Hamimi Taib Azamudden.

“Secara peribadi saya melihat mood pengundi Permatang Pauh nampak berubah begitu ketara sekali, mungkin perubahan ini disebabkan kecelaruan yang timbul dalam Pakatan Harapan. Saya nampak mood pengundi positif kepada BN adalah disebabkan oleh usaha dan kerja keras kami selama ini membantu rakyat dalam Parlimen Permatang Pauh.

“Bermula dari 2013 kami tidak pernah berhenti untuk membantu rakyat Permatang Pauh dalam segala sudut. Ada bantuan untuk orang susah, miskin, ibu tunggal termasuk memberi kemudahan infra seperti lampu, jalan, sekolah, masjid dan surau…memang kami telah membuktikan kepada rakyat yang kami telah membantu Permatang Pauh,” katanya.

Mengenai bekas wakil rakyat kawasan itu, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang dikatakan jarang turun padang, Mohd Zaidi berkata keadaan Presiden PKR itu yang tinggal di Kuala Lumpur menyukarkan beliau untuk membantu penduduk di kawasan yang diwakilinya.

“Beliau (Wan Azizah) sangat jarang menghabiskan masa di Permatang Pauh, jadi kebanyakan masalah rakyat di sini tidak dapat diselesaikan…jadi kalau masalah yang ada pun tidak dapat diselesaikan, tak mungkinlah beliau dapat memikirkan bagaimana untuk membangunkan Permatang Pauh.

“Keadaan yang sama akan berlaku jika anaknya Nurul Izzah dipilih wakil rakyat di sini kerana jarak antara Kuala Lumpur dan Permatang Pauh bukan dekat…pengundi di sini kena sedar tentang hal ini dan mudah-mudahan akan ada perubahan dalam pilihan raya ini,” katanya.

Mohd Zaidi menasihatkan pengundi di Permatang Pauh agar mengundi mengikut keperluan masa depan yang lebih cemerlang dan tidak terpengaruh dengan emosi yang akhirnya akan merugikan generasi akan datang.

“Cukuplah rakyat Permatang Pauh berkorban selama hampir 20 tahun ini kepada keluarga Datuk Seri Anwar Ibrahim…sudah sampai masa untuk pengundi Permatang Pauh membuat keputusan demi masa depan anak cucu dan generasi akan datang,” katanya.

Balik Pulau Bakal Berubah Landskap


BALIK PULAU - Penduduk dalam kawasan Parlimen ini mungkin mene­rima manfaat lebih tinggi sekiranya cadangan pembinaan sebuah hotel besar di sini menjadi kenyataan tidak lama lagi.

Calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Balik Pulau, Datuk Seri Dr. Hilmi Yahaya berkata, ketika ini cadangan tersebut masih dalam peringkat perbincangan.

Hilmi yang juga penyandang kerusi Parlimen itu berkata, cadangan terbabit diusulkan bertujuan menarik lebih ramai pe­lancong ke Balik Pulau selain pertambahan jumlah penduduk di sini termasuk seluruh daerah Barat Daya yang kini mencecah 375,000 orang.

“Pelancong yang berdepan masalah kesesakan lalu lintas untuk ke Georgetown juga boleh menjadikan Balik Pulau sebagai alternatif dengan adanya hotel tersebut nanti,” katanya kepada pemberita di sini semalam.

Tambah beliau, selain hotel, BN juga akan meneruskan projek pembinaan hospital daerah yang lebih besar serta beberapa projek lain termasuk projek jalan raya dan sebagainya.

Terdahulu, beliau yang juga Timbalan Menteri Kesihatan me­lancarkan Fiesta Sihat Rakyat di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pondok Upeh di sini.

Yang hadir sama Ketua Pe­ngarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah serta Pengarah Kesihatan negeri, Dr. Wan Mansor Hamzah.

Fiesta yang dilaksana menggunakan pendekatan Strategi Laut­an Biru Kebangsaan (NBOS) iaitu berteraskan perkhidmatan yang berpusatkan rakyat, menitik-be­ratkan pemikiran kreatif serta ge­rak kerja inovatif dalam memperkenalkan inisiatif-inisiatif baharu kerajaan kepada rakyat.

Hilmi berkata, melalui fiesta itu atau program Pusat Transformasi Komuniti Bergerak (Mobile CTC), pihaknya membawa pelbagai perkhidmatan kesihatan khas untuk rakyat di sini melalui beberapa agensi seperti Institut Jantung Negara (IJN) dan klinik pergigian bergerak.

“Perkhidmatan lain yang disediakan termasuk Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) serta Ka­unter Wang Tidak Dituntut untuk kemudahan penduduk menyemak baki wang yang mungkin tidak dituntut di mana-mana institusi kewangan sebelum ini,” katanya.

Turut dilancarkan sempena fiesta itu ialah Minggu Imunisasi Sedunia peringkat kebangsaan, bahan untuk program Table Top iaitu satu inisiatif kerjasama antara Kementerian Kesihatan dan Kementerian Pendidikan serta Healomicopedia iaitu penyampaian mesej kesihatan menerusi penerbitan komik kesihatan. - Utusan Online

Undi Cina Penentu Peluang Barisan Nasional Rampas Batu Maung


PULAU PINANG – Calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Maung, Datuk Liakat Ali Mohamed Ali yakin dapat meraih sokongan daripada masyarakat Cina di sini menjelang hari pe­ngundian Rabu ini.

Liakat Ali berkata, jika BN berjaya ‘mencuri’ kira-kira 15 peratus undi mereka, maka peluang untuk merampas kembali kerusi yang kali terakhir dimenangi 14 tahun lalu itu dilihat agak cerah.

“Fokus saya sekarang ialah untuk lebih mendekati masyarakat Cina kerana percaya mereka boleh menjadi penentu kepada kejayaan BN pada pilihan raya umum kali ini.

“Walaupun saya merupakan calon baharu, dua lagi calon yang akan bertanding pada pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) ini juga adalah muka baharu.

“Jadi, peluang kami semua sebenarnya sama rata sahaja,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Mengulas lanjut mengenai per­kembangan kempennya ketika ini, Liakat Ali berkata, secara ke­seluruhannya beliau amat ber­puas hati dengan maklum balas diterima daripada penduduk Batu Maung ketika ini.

Katanya, sebahagian besar­ pen­duduk terutama yang ber­keturunan Melayu dan India me­nunjukkan sokongan yang baik, malah ada dalam kalangan mereka turut berkempen untuk beliau.

“Bagi saya ini adalah satu pe­tanda positif memandangkan komposisi kaum di kawasan ini agak seimbang, jadi adalah pen­ting untuk saya membawa sejek perpaduan dan keharmonian ka­um di sini ke arah masa depan negara yang lebih baik,” katanya. - Utusan Online

Isu Calon Luar Tidak Relevan – Sheik Hussein


NIBONG TEBAL - Biarpun dianggap sebagai calon luar dan datang bertanding di Parlimen Ni­bong Tebal, perkara itu sama sekali tidak menjejaskan peluang Datuk Sheik Hussein Mydin untuk mencipta sejarah di kawasan tersebut.

Ini kerana menurut Ketua UMNO Bahagian Bagan berke­naan, jika isu calon luar yang diperdebatkan, penyandang ke­rusi Parlimen tersebut, Datuk Mansor Othman juga bukanlah anak tempatan namun dipilih menjadi wakil rakyat sejak lima tahun lalu.

Sheik Hussein, beliau telah berada di Nibong Tebal sejak lebih setahun lalu dan menjalankan kerja lebih daripada apa yang Mansor lakukan, malah telah menjelajah kira-kira 70 peratus kawasan di situ.

“Tiada sebab sentimen calon luar dijadikan alasan untuk menolak saya atau Barisan Nasional (BN) kerana saya buat kerja lebih baik daripada Ahli Parlimen sedia dan dibuktikan dengan pelbagai program yang dilaksanakan.

“Biarpun saya akui saingan kali ini agak sengit, namun saya ya­kin BN akan kembali merampas kerusi Parlimen ini selepas melihat sokongan pengundi kepada calon-calon kita di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN),” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Tambah Sheik Hussein, jentera BN telah menjalankan kerja pada momentum terbaik malah jauh lebih baik daripada jentera PKR mahupun daripada Pas atau calon Bebas.

Jelas Sheik Hussein, beliau juga mendapat sokongan padu daripada parti-parti komponen yang bertungkus-lumus merampas kembali DUN Jawi dan Sungai Bakap yang kini disandang DAP dan PKR.

Beliau turut mengakui Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) adalah penentu kepada survival BN serta sebagai medan untuk meneruskan agenda pembangunan yang telah dijalankan selama ini.

“Selain daripada manifesto yang saya bentangkan sebelum ini, ada beberapa perkara yang saya yakin mampu memberi manfaat kepada penduduk Nibong Tebal sekiranya BN kembali berkuasa di sini.

“Antara yang utama adalah sekiranya kerusi Parlimen dan DUN Jawi berjaya dirampas oleh BN, saya akan pastikan perkhidmatan ETS akan berhenti di Ste­sen Keretapi Tanah Melayu Berhad Nibong Tebal yang akan memudahkan perjalanan ke Kuala­ Lumpur,” ujarnya.

Ditanya persiapan saat-saat akhir, Sheik Hussein berkata, pi­haknya bersedia berhadapan hari penentuan pada 9 Mei ini selepas melakukan persiapan sejak sekian lama untuk ‘berperang’ pada PRU-14. - Utusan Online

Monday, 7 May 2018

Nasib Masyarakat Telok Ayer Tawar Terus Dibela


TASEK GELUGOR - Calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Telok Ayer Tawar, Datuk Zamri Che Ros enggan dibayangi oleh penyandang kerusi itu sebelum ini iaitu Datuk Jahara Hamid.

Katanya, Jahara memang si­no­nim sebagai wakil rakyat di Telok Ayer Tawar kerana telah memegang jawatan itu selama lima penggal berbanding beliau yang turun selaku calon muka baharu.

Bagaimanapun, menurut Zamri, beliau bertuah kerana Jahara yang dianggap sebagai ‘sifu’ banyak membantunya dalam usaha mempertahankan kerusi milik BN ini.

“Malah, dalam beberapa program turun padang sebelum ini, beliau turut berkempen bersama-sama saya dan memperkenalkan saya dengan para pengundi di sini.

“Selain itu, sokongan dan pene­rimaan jentera BN di kawasan ini juga memberi semangat kepada saya untuk bekerja lebih keras untuk menonjolkan diri dalam kala­ngan pengundi,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Ketika ini, Zamri telah menjelajah ke hampir setiap pelosok DUN Telok Ayer Tawar untuk berjumpa pengundi termasuk pengundi India di pangsapuri Taman Tun Dr. Awang, di sini baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Zamri yang juga Setiausaha UMNO Bahagian Tasek Gelugor memberitahu, sebahagian besar pengundi yang ditemuinya juga sudah dapat menerima calon lelaki daripada BN untuk bertanding bagi kerusi berkenaan.

“Lagipun, berdasarkan maklumat yang kita terima, memang penduduk di Telok Ayer Tawar ini mahu wakil rakyat daripada golongan lelaki pula,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, tidak banyak aduan yang diteri­manya daripada penduduk setempat berhubung isu berbangkit di kawasan tersebut memandangkan sebelum ini kawasan berkenaan mendapat limpahan kemajuan dan pembangunan daripada Kerajaan Pusat.

“Jika ada pun, mereka cuma mahu beberapa kemudahan awam ditambah seperti pejabat pos dan klinik yang lebih besar untuk memudahkan mereka,” katanya.

“Sudah semestnya perkara ini saya akan bawa kepada peringkat negeri dan Pusat dan usaha ini pasti akan lebih mudah dilaksanakan jika BN terus diberi mandat di kawasan ini,” katanya. - Utusan Online

‘Pak Chop’ Mahu Jumpa Seberapa Ramai Pengundi Sungai Dua


TASEK GELUGOR – Pengundi ketika ini lebih teruja untuk melihat calon pilihan mereka sentiasa berdamping dengan rakyat khususnya di saat mereka memerlukan atau berdepan masalah.

Itu yang dilakukan calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Dua, Muhamad Yusoff Mohd. Noor sepanjang tempoh kempen Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) iaitu berjumpa secara dekat dengan pengundi di kawasan tersebut.

Ujarnya, beliau percaya pendekatan itu membolehkannya serta jentera BN mengenali setiap pengundi serta masalah yang dihadapi mereka dan pengundi juga akan berasa dekat dengan beliau sebagai wakil mereka.

“Kalau kita rapat dengan pe­ngundi, pasti mereka tidak akan lupa sampai bila-bila.

“Itu yang saya buat sejak empat atau lima tahun lalu. Pertan­dingan (pilihan raya) tetap satu pertandingan tapi saya akan terus berkhidmat untuk rakyat selagi termampu,” katanya.

Muhammad Yusoff atau lebih dikenali sebagai Pak Chop ditemui ketika menghadiri satu majlis perkahwinan di Alor Merah, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Muhamad Yusoff memberitahu, ketika ini juga, beliau telah menjelajah le­bih separuh daripada keseluruhan 25 kampung dalam kawasan Sungai Dua.

“Saya berusaha berjumpa sendiri dengan setiap pengundi di sini dan memandangkan tempoh kempen PRU-14 juga semakin ke penghujung, saya perlu menggandakan usaha supaya tidak ada penduduk yang ter­tinggal daripada diziarahi,” katanya.

Tambah beliau, ketika ini juga tidak banyak isu atau aduan yang dibangkitkan oleh kebanyakan pengundi yang ditemuinya memandangkan masalah mereka telah diberi perhatian sejak beliau menjadi wakil rakyat di situ pada PRU-13.

“Tempoh kempen kali ini le­bih kepada susulan bersama penduduk berkenaan keadaan semasa mereka daripada apa yang telah kita laksanakan sebelum ini dan berusaha menyelesaikan sekiranya ada malasah atau isu berbangkit,” katanya. - Utusan Online

Pembangunan Tasek Gelugor Dapat Perhatian


TASEK GELUGOR - Kehadiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ke Tasek Gelugor semalam memberi keyakinan dan menaikkan semangat penyandang kerusi Parlimen itu, Datuk Shabudin Yahaya untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Malah, menurut Shabudin, Najib sendiri mengakui banyak perubahan berlaku di kawasan Parlimen itu dalam tempoh lima tahun ini dengan pelbagai projek pembangunan infrastruktur dijalankan.

Katanya, Perdana Menteri juga mengiktiraf Tasek Gelugor sebagai hab pendidikan berasaskan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dengan pembinaan beberapa istitusi pendidikan di kawasan itu.

“Selepas lima tahun menjadi Ahli Parlimen, saya telah berjaya membina empat masjid de­ngan dua daripadanya telah siap manakala dua lagi sedang dalam proses pembinaan selain 16 dewan terbuka di sekolah-sekolah.

“Kemudahan dewan terbuka yang dibina ini bukan sahaja di sekolah kebangsaan dan sekolah menengah kebangsaan tetapi juga sekolah jenis kebangsaan Cina dan Tamil di sini,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini.

Tambah Shabudin, bagi menggalakkan industri agropelancongan di kawasan itu, pihaknya juga berjaya menubuhkan tiga buah koperasi serta membina tiga jeti nelayan darat selain memiliki dua buah bot yang digunakan untuk membawa pelancong menyelusuri sungai.

Jelasnya, industri itu akan me­ningkatkan pendapatan nelayan dan mereka tidak lagi terlalu bergantung kepada kerjaya sebagai nelayan semata-mata, namun boleh melibatkan diri dalam bidang pelancongan.

Selain itu, tambahnya, dalam tempoh dua tahun lalu juga, seba­nyak 2,000 lampu jalan telah dipasang di beberapa kampung di bawah projek Lampu Jalan Kampung yang memberi kemudahan kepada penduduk pada waktu malam.

“Semalam pula Perdana Menteri telah umumkan kelulusan pembinaan tempat letak kereta bertingkat di Stesen Keretapi Tanah Me­layu Berhad (KTMB) Tasek Gelugor, pembinaan Masjid Sungai Lokan dan Klinik Kesihatan Teluk Air Tawar.

“Jadi, pengundi di Parlimen Tasek Gelugor harus memberi mandat kepada Barisan Nasional (BN) untuk terus menerajui kawasan ini agar segala yang kita rancang dapat dilaksanakan,” ujarnya. - Utusan Online

200 Ahli PKR Keluar Parti, Hilang Kepercayaan


PERMATANG PAUH 7 Mei - Akibat hilang kepercayaan terhadap pimpinan PKR Pulau Pinang, 200 ahli dari empat cabang bertindak keluar parti, semalam.

Mereka yang diketuai Ahli Jawatankuasa PKR Cabang Tasek Gelugor, Mohd. Fauzi Hassan mengakui terabai di bawah PKR pimpinan Datuk Mansor Othman.

Menurutnya, ahli-ahli terbabit adalah dari Cabang Permatang Pauh, Tasek Gelugor, Bukit Mertajam dan Nibong Tebal.

Mohd. Fauzi berkata, mereka mengambil tindakan itu selepas tidak berpuas hati dengan pucuk kepimpinan PKR yang langsung tidak mempedulikan suara orang bawahan.

“Kami sering dipinggirkan oleh pimpinan parti dan langsung tidak dihiraukan oleh orang atas dan mereka seolah-olah menjadikan kami ini hiasan sahaja dalam PKR.

“Kami sudah hilang kepercayaan kepada Mansor malah tiada makna kami terus bertahan dalam parti,” ujarnya yang juga bekas Setiausaha Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Taman Desa Murni.

Tambahnya, golongan muda juga tiada tempat dalam PKR malah sukar untuk berbincang dengan pimpinan di peringkat negeri.

“Banyak kali kami cuba bawa suara dan masalah ahli kepada Mansor namun tiada sebarang maklum balas diberi malah ada dalam kalangan kami yang mula dipulaukan.

“Buat masa ini kami belum terfikir untuk menyertai parti lain dan tidak buat keputusan lagi menjelang hari pengundian Pilihan Raya Umum Ke-14,” katanya.

Pada masa sama, beliau berharap masalah yang dihadapi mendapat perhatian Presiden PKR, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail. - Utusan Online

Sunday, 6 May 2018

Zairil 'Resah' Berdepan Chang Yeow Di Tanjung Bungah ?


PULAU PINANG 6 Mei - Calon PKR kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Bunga, Zairil Khir Johari seolah-olah resah berdepan Pengerusi Barisan Nasional (BN) negeri, Teng Chang Yeow di kerusi berkenaan dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Menyedari penduduk kawasan berkenaan mementingkan penjagaan sekitar dan menuntut kawasan lereng bukit di situ tidak diusik untuk projek pembangunan, Zairil menggunakan isu berkenaan untuk 'menyerang' Chang Yeow dalam ceramahnya, di sini malam ini.

Zairil berkata, manifesto Chang Yeow untuk menghentikan projek pembangunan di lereng bukit berketinggian lebih 70 meter tidak boleh dipercayai.

“Dahulu, beliau pernah menjadi Exco kerajaan negeri dan luluskan 23 projek lereng bukit," katanya.

Chang Yeow baru-baru ini menegaskan akan menghentikan projek di lereng bukit sekiranya BN berjaya mentadbir negeri ini.

Dalam satu majlis perjumpaan dengan penduduk Tanjung Bunga baru-baru ini, Zairil dikecam kerana gagal memberikan jaminan untuk menghentikan projek lereng bukit pada masa akan datang.

Tanjung Bunga yang merupakan antara kawasan hijau di negeri ini semakin terancam akibat terlalu banyak kelulusan projek pembangunan lereng bukit di bawah Kerajaan DAP Pulau Pinang.

Pada Oktober tahun lepas, seramai 11 maut akibat tanah runtuh ketika kerja-kerja pembinaan perumahan di lereng bukit sedang dijalankan selain banyak kejadian tanah runtuh dan banjir kilat dilaporkan berlaku di kawsan itu apabila hujan.

Sementara itu, Zairil juga tidak mengakui Kerajaan DAP Pulau Pinang turut terlibat dengan projek tambak laut di negeri ini.

Dakwanya, pantai di Persiaran Gurney kononnya hilang disebabkan BN melaksanakan projek pembangunan sewaktu memerintah.

Bagaimanapun, Zairil 'terlupa' apabila Kerajaan DAP Pulau Pinang turut meluluskan beberapa projek pembinaan kondominium mewah di kawasan berkenaan sejak 2008 yang turut menyebabkan kerosakan ekosistem laut. - Utusan Online

Jangan Terpengaruh Pembangkang Putar Belit Kenaikan Harga – Badruddin


KEPALA BATAS, 6 Mei – Rakyat diminta tidak mudah terpengaruh dengan dakyah pembangkang yang sering memanipulasi isu kenaikan harga barang dengan matlamat untuk menghentam kerajaan Barisan Nasional (BN).

Pengerusi Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Tan Sri Badruddin Amiruldin berkata kerajaan Persekutuan sebenarnya sentiasa berusaha malah amat prihatin dalam menangani masalah kos sara hidup rakyat masa kini.

“Kerajaan melalui FAMA sentiasa proaktif dengan menganjurkan program Jimat Belanja Dapur yang berperanan membantu rakyat membeli barang dapur pada harga yang lebih murah daripada pasaran.

“Seperti yang kita tahu, harga barang asas agak mahal di pasaran sekarang kerana ia dikawal dan dimanipulasi oleh orang tengah.

“Apabila harga barang naik, maka pihak pembangkang akan menjadikannya modal untuk mempengaruhi rakyat (supaya) menghentam kerajaan,” katanya kepada pemberita pada program Jimat Belanja Dapur di sini, hari ini.

Program itu dirasmikan Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican yang akan mempertahankan kerusi Parlimen Kepala Batas pada Pilihan Raya Umum Ke-14 Rabu ini.

Badruddin berkata sebagai agensi kerajaan, FAMA sentiasa membantu menstabilkan harga barang di pasaran supaya ia tidak membebankan rakyat.

Melalui program Jimat Belanja Dapur, pengguna dapat menjimatkan perbelanjaan bagi 27 barang keperluan makanan terpilih seperti ikan, ayam, sayuran dan barang-barang runcit yang dijual dengan harga lebih rendah antara lima dan 20 peratus daripada harga pasaran.

Selama 10 Tahun Di Bawah Dap, Pulau Pinang Jadi Negeri Yang Gagal


Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Pulau Pinang Rafizal Abd Rahim berkata, pengundi di Pulau Pinang harus ingat, sepanjang 10 tahun Dap menjadi kerajaan negeri, mereka telah membawa negeri itu kepada sebuah negeri yang gagal.

Jelas beliau, pelbagai masalah melanda rakyat Pulau Pinang yang tidak mampu diselesaikan oleh Dap malah lebih teruk apabila kerajaan negeri gagal menguruskan pembangunan dengan baik sehingga mengundang bencana alam seperti tanah runtuh dan banjir yang teruk.

“Ramai yang mengetahui bahawa kerajaan negeri mengamalkan sikap pro pemaju sehingga ada yang meggelarkan Dap sebagai ‘Developer Action Party’ iaitu parti yang hanya menjaga kepentingan pemaju hartanah sahaja.

“Kerana sikap tamak Dap dalam hartanah akhirnya ia mendatangkan musibah banjir sehingga menyusahkan rakyat. Saya pasti rakyat masih ingat bagaimana drama Ketua Menteri Lim Guan Eng menangis meminta pertolongan kepada kerajaan persekutuan kerana tidak mampu lagi mengatasi masalah banjir.

“Bukan banjir sahaja tetapi satu lagi tragedi yang masih tidak mampu dilupakan oleh rakyat Pulau Pinang adalah tragedi tanah runtuh di Tanjung Bungah yang meragut 11 nyawa. Antara punca kes tanah runtuh ini adalah tidak lain dan tidak bukan kerana pembangunan tidak terkawal yang dilakukan di cerun bukit serta tidak mendapat kebenaran serta kelulusan dari Jabatan Alam Sekitar (JAS),” ujar beliau kepada UMNO-Online.

Jelasnya, menguatkan lagi fakta yang mengatakan Pulau Pinang adalah sebuah negeri yang gagal adalah hutang kerajaan negeri yang melonjak tinggi walaupun kerajaan negeri mendapat berjuta-juta daripada hasil penjualan tanah negeri.

“Mungkin kerana hutang yang semakin meningkat ini maka kerajaan negeri terpaksa menaikkan tarif air sebanyak empat kali dalam tempoh 10 tahun sekaligus menyusahkan rakyat.

“Jika kita bercakap soal pertumbuhan ekonomi pula, pelaburan dari luar negara semakin kurang memasuki negeri ini. Ini terbukti sekiranya kita melihat Laporan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia, MIDA pada April 2017 menunjukkan penurunan sebanyak 30 peratus pelaburan ke Pulau Pinang. Pada Januari hingga Ogos 2016, pelaburan ke Pulau Pinang hanya berjumlah RM3.77 bilion berbanding RM5.34 bilion pada 2015. Adakah ini membuktikan syarikat-syarikat serta pelabur juga tidak yakin dengan pentadbiran Dap di Pulau Pinang?” ulas Rafizal.

Justeru jelas Rafizal, rakyat harus menilai keseluruhan perkara ini sebelum terus memberi mandat kepada Dap untuk Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) akan datang.

“Jangan kita terus ditipu dengan permainan pembangkang untuk mengelirukan rakyat. Mereka memang sering menabur janji manis tetapi sebenarnya semua itu tidak benar.

“Sebagai contoh, pembangkang mendakwa Malaysia adalah sebuah negara yang korup tetapi kita harus tahu membezakan kepercayaan ‘popular’ dengan fakta kerana Corruption Transparency Index 2016 yang dikeluarkan oleh Transparency International meletakkan Malaysia pada tangga ke 55 daripada 176 negara di seluruh dunia, ini menandakan bahawa Malaysia sebenarnya salah satu negara paling tidak korup dan di rantau Asia-Pasifik lagi pula Malaysia tidak pun disenaraikan sebagai salah sebuah negara paling korup di dunia, seperti dilaporkan oleh CNBC pada 24 Januari 2017.

“Pembangkang juga mendakwa kononnya Malaysia bukanlah sebuah negara yang selamat tetapi faktanya Malaysia ditempatkan di tangga 29 daripada 159 negara oleh Indeks Keamanan Global pada tahun 2017 mengalahkan United Kingdom, Korea Selatan, Perancis, Indonesia dan Amerika Syarikat, sekaligus menunjukkan Malaysia adalah antara negara yang paling aman seantero dunia,” tegas beliau lagi. – MediaUMNO

KENYATAAN MEDIA TUN ABDULLAH AHMAD BADAWI Sempena Hari Pengundian 9 Mei 2018


1. Pada 9 hb Mei 2018 rakyat Malaysia yang layak akan mengundi dalam Pilihan Raya Umum ke 14. Sekali lagi rakyat Malaysia yang bertanggungjawab akan mengundi bagi menentukan masa hadapan keluarga, masyarakat dan negara.

2. Pada umumnya Malaysia sudah melalui pengalaman yang mematangkan. Rakyat Malaysia telah melaksanakan hak demokrasi mereka sebanyak 13 kali dan jika dimasukkan bersama pilihanraya 1955, pilihan raya kali ini ialah kali yang ke15. Rakyat Malaysia sudah cukup pengalaman untuk memahami erti demokrasi dan setiap 5 tahun sekali mereka menunaikan tanggung jawab mereka dengan penuh bijaksana.

3. Pilihan Raya ke-14 bakal menentukan keupayaan Negara dan masyarakat menghadapi cabaran-cabaran baru yang tidak pernah dialami sebelum ini. Pilihanraya ini juga akan menentukan kerajaan yang akan menjaga dan memacu negara dimasa hadapan. Sama ada masa hadapan negara akan terus maju, makmur dan aman bakal ditentukan oleh kerajaan yang akan dibentuk pada tahun 2018 ini.

4. Malaysia yang berada diambang menjadi negara maju sepenuhnya dengan rakyat berpendapatan tinggi tidak boleh mengelak daripada kesan kesan globilasasi. Semua cabaran ini perlu ditangani oleh sebuah kerajaan yang kuat dan stabil lagi berpengalaman. Kerajaan yang kuat dan stabil hanya boleh didirikan diatas mandat yang kukuh oleh pemimpin pemimpin yang benar benar dapat bekerjasama untuk kebaikan rakyat. Memilih mereka yang sekian lama berlainan pahaman politik tetapi berganding bahu semata mata untuk meraih kuasa untuk memerintah bukanlah sesuatu pilihan yang waras.

5. Kejayaan Malaysia mencapai pembangunan yang pesat sejak mencapai kemerdekaan lebih 60 tahun yang lalu telah banyak bergantung kepada kestabilan politik yang kita kecapi selama ini, dengan tampuk kepimpinan yang terdiri dari pasukan yang benar benar dapat bekerjasama serta akrab berkongsi aspirasi dan cita cita yang sama untuk negara.

6. Selain dari itu penggubalan dan kesinambungan dasar yang kukuh dan konsisten, pentadbiran ekonomi yang baik serta struktur pemerintahan yang jelas dan peralihan kuasa didalam Perikatan dan Barisan Nasional dari satu Perdana Menteri ke satu Perdana Menteri secara stabil telah menentukan kesinambungan kemajuan Malaysia selama ini.

7. Jadi pilihan pada kali ini juga hendaklah dilakukan atas kewarasan fikiran dan kesedaran bahawa kriteria kriteria ini penting dalam memilih parti yang akan memacui pemerintahan negara.

8. Ini bukan suatu perjudian mempertarungkan nasib, ataupun menukar haluan semata mata kerana tidak puas hati dgn beberapa isu. Tiada semuanya yang seratus peratus sempurna. Nilai segala janji yang diberi secara terperinci. Apa yang benar benar dapat dikotakan dari apa yang manis dibibir sahaja. Timbangkan kesemuanya secara keseluruhan dan fikirkanlah masak masak dan secara waras (dengan izin) … “spring may lead into a glorious summer but can also end up in a winter of discontent for our children”.

9. Sama ada ekonomi negara akan terus makmur seperti yang kita kecapi selama ini, sama ada masa depan generasi muda dan tua terus cerah dan sama ada negara terus selamat aman dan makmur atau mundur dipinggiran bakal ditentukan oleh pilihan anda pada 9 haribulan Mei 2018 nanti.

10. Sebagai seorang rakyat Malaysia yang pernah suatu ketika menjadi peneraju negara, saya ingin melihat kematangan politik yang tinggi di kalangan calon calon pada pilihanraya ke -14 ini.

11. Para calon dan parti-parti yang bertanding hendaklah menjiwai erti demokrasi secara rasional. Bukan demokrasi berasaskan emosi dan kemarahan.

12. Saya juga ingin mengingatkan calon calon pilihanraya kali ini bahawa kita manawarkan diri bukan semata mata untuk meraih, merampas atau mengekalkan kuasa memerintah tetapi untuk diberi peluang untuk berbakti kepada rakyat dan negara.

13. Semua calon mesti cukup berwibawa dan berhemah tinggi dalam menawarkan diri, dasar atau ideologi masing-masing untuk penilaian rakyat. Bukan tuduh menuduh membakarkan kemarahan rakyat semata mata untuk meraih sokongan

14. Yang penting adalah rakyat bukan agenda atau cita cita politik seseorang individu.

15. Atas semua perkara yang saya telah nyatakan, saya mengajak semua rakyat Malaysia melaksanakan hak demokrasi masing-masing dengan aman dan penuh tanggungjawab tanpa sebarang sengketa. Marilah kita membina tamudun negara dan bangsa mengikut cara yang menyerlahkan integriti, etika dan keimanan peribadi yang tinggi. Yakinlah bahawa maju mundur, kaya miskin dan hina mulianya bangsa adalah di tangan kita. Saya mendoakan agar pilihanraya kali ini berjalan dengan lancar dan teratur didalam keadaan yang aman dan selamat dan keputusan yang bakal dizahirkan nanti adalah sesuatu yang baik untuk negara kita Malaysia yang kita cintai.

Sekian. Selamat mengundi.

TUN ABDULLAH AHMAD BADAWI

Fiesta Rakyat Sihat Guna Pendekatan NBOS Dilancar Di Balik Pulau


BALIK PULAU 6 Mei - Kementerian Kesihatan hari ini melancarkan Fiesta Sihat Rakyat yang dilaksanakan menggunakan pendekatan Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) iaitu berteraskan perkhidmatan yang ber-pusatkan rakyat.

Timbalan Menterinya yang juga calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Balik Pulau, Datuk Seri Dr. Hilmi Yahaya berka-ta, pendekatan itu menitikberatkan pemikiran kreatif dan gerak kerja inovatif dalam memperkenalkan inisiatif-inisiatif baharu kerajaan kepada rakyat.

“Melalui fiesta ini atau program Pusat Transformasi Komuniti Bergerak (Mobile CTC), kita bawa pelbagai perkhid-matan kesihatan khas untuk rakyat di sini melalui beberapa agensi seperti Insitut Jantung Negara (IJN) dan Klinik Pergigian Bergerak.

“Turut disediakan ialah perkhidmatan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) serta Kaunter Wang Tidak Dituntut un-tuk kemudahan penduduk menyemak baki wang yang mungkin ada di mana-mana institusi kewangan sebelum ini,” katanya ketika merasmikan fiesta tersebut di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pondok Upeh di sini.

Yang hadir sama, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah serta Pengarah Kesihatan negeri, Dr. Wan Mansor Hamzah.

Turut dilancarkan sempena fiesta itu ialah Minggu Imunisasi Sedunia peringkat kebangsaan, bahan informasi untuk program ‘Table Top’ iaitu satu inisiatif kerjasama antara Kementerian Kesihatan dan Kementerian Pendidikan serta ‘Healomicopedia’ iaitu penyampaian mesej kesihatan menerusi penerbitan komik kesihatan. - Utusan Online

Tun M Tidak Lagi Relevan – PM


KEPALA BATAS - Datuk Seri Najib Tun Razak mengingatkan rakyat bahawa Tun Dr. Mahathir Mohamad dengan usianya kini lebih 90 tahun tidak mencerminkan atau membawa ‘wajah’ masa hadapan negara.

Menurut Perdana Menteri, rakyat tidak seharusnya hidup dalam ‘nostalgia’ dengan menge­nang zaman 22 tahun peme­rintahan pemimpin gabungan pembangkang PKR berkenaan yang sudah tidak relevan kepada negara.

Sebaliknya, kata beliau, rakyat perlu bersama dengan dasar-dasar Barisan Nasional (BN) membawa negara ini ke arah masa hadapan yang lebih baik supaya setanding dengan negara-negara maju lain.

“Takkan kita mahu terus hidup dalam nostalgia, sedang­kan kita ada banyak peranca­ngan untuk bergerak ke hadapan, untuk memacu kejayaan dan mengangkat martabat Malaysia supaya sama dengan negara pa­ling maju,” katanya ketika berucap dalam majlis bertemu rakyat kawasan Parlimen Kepala Batas di Kampung Pasir Gebu, Penaga di sini yang dihadiri lebih 5,000 penduduk tempatan.

Yang turut hadir kesemua calon BN kawasan itu diketuai calon kerusi Parlimen Kepala Batas, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican serta barisan kepemimpinan BN negeri.

Dalam pada itu, Najib turut mengingatkan rakyat berkenaan dasar pembangunan mega ketika era pemerintahan Dr. Mahathir yang hanya bertumpu kepada bandar seperti membina bangunan pencakar langit dan lebuh raya.

Sedangkan, kata beliau, dasar BN ketika era pentadbirannya memastikan kemakmuran negara dikongsi pelbagai lapisan masyarakat termasuk golongan kurang berkemampuan sebagai contoh menerusi pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BRIM).

“Di bawah kerajaan saya, saya ubah falsafah zaman Dr. Mahathir, dia suka buat jalan raya, suka kenakan tol tetapi zaman saya, saya cuba kurangkan tol, sebab itu empat tol dalam Bajet 2018 kita mansuhkan. Walaupun di Pulau Pinang belum mansuh lagi, jika menang mungkin kita boleh fikirkan sesuatu,” katanya.

Dalam masa sama, Perdana Menteri turut menggesa rakyat menilai manifesto gabungan pem­bangkang PKR sebelum memberi sokongan yang mana menurutnya hanya janji palsu.

“Badan antarabangsa pun tolak manifesto pembangkang sebab tahu perancangan mereka tidak dapat dilaksanakan,” katanya. - Utusan Online

Saturday, 5 May 2018

PRU-14: 98 Peratus Polis P. Pinang Mengundi Awal Hari Ini



PULAU PINANG 5 Mei -  Seramai 5,022 orang anggota polis negeri ini melaksanakan tanggungjawab mengundi awal bagi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) hari ini.

Timbalan Ketua Polis negeri, Datuk Roslee Chik berkata, jumlah berkenaan mewakili keseluruhan 98.45 peratus anggotanya yang layak mengundi.

Beliau memberitahu, jumlah keseluruhan pengundi polis di negeri ialah 5,101 orang.

"Secara keseluruhan kehadiran anggota untuk melaksanakan tanggungjawab sangat memuaskan kerana melepasi sasaran awal 90 peratus hadir mengundi," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau memberitahu, sebanyak 27 pusat mengundi di buka di lima daerah di negeri ini melibatkan 32 saluran.

Sementara itu, seramai 2,117 anggota tentera bersama pasangan turut terlibat dalam proses pengundian awal di negeri ini hari ini. - Utusan Online

Gabungan Pembangkang PKR Pakatan Yang Rapuh- Najib


TASEK GELUGOR 5 Mei - Datuk Seri Najib Tun Razak menyifatkan gabungan pembangkang PKR sebuah pakatan yang rapuh kerana tidak mempunyai kesepakatan antara semua parti dan ditubuhkan semata-mata untuk menjatuhkan Barisan Nasional (BN).

Perdana Menteri berkata, mereka seolah-olah tidak sayangkan masa depan negara dan rakyat apabila lebih mengutamakan untuk mencari salah kerajaan BN hari ini.

Menurutnya, biarpun banyak kebaikan yang dilaksanakan kerajaan BN, namun gabungan pembangkang PKR masih mencari silap dan akan melakukan perkara yang bertentangan.

“Kita bagi Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M), mereka kata dedak tapi dalam manifesto mereka, akan diteruskan pula. Sehinggakan anak Tun Dr. Mahathir Mohamad pun hina penerima BR1M.

“Kita tidak faham apa dasar pembangkang ini yang tiada kesepakatan serta agenda khusus,” katanya ketika berucap di hadapan kira-kira 2,000 penyokong BN di Pusat Komersial Tasek Gelugor, di sini hari ini.

Yang turut hadir, penyandang kerusi Parlimen Tasek Gelugor Datuk Shabudin Yahaya dan Pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan Negeri Pulau Pinang, Datuk Seri Zainal Abidin Osman.

Najib menambah, pembangkang juga hanya pandai berjanji namun tidak pernah ditepati berbanding BN yang melaksanakan 99.4 peratus janji yang dibuat dalam manifesto pilihan raya umum lalu.- Utusan Online

Najib Sifatkan Tun Abdullah Pemimpin Negara Sejati


KEPALA BATAS 5 Mei - Datuk Seri Najib Tun Razak menyifatkan bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi sebagai tokoh pemimpin negara dan UMNO sejati.

Menurut Perdana Menteri, beliau melahirkan rasa hormat kepada Abdullah yang juga bekas Ahli Parlimen kawasan ini kerana tidak berganjak menyokong Barisan Nasional (BN) sama ada ketika susah atau senang.

“Tun Abdullah sedar selagi ada BN, perjuangan kita selama ini (membela rakyat) dapat diteruskan,” katanya ketika berucap dalam majlis bertemu rakyat di Penaga, di sini hari ini.

Menurut Najib, beliau boleh menerima perbezaan pendapat dengan mana-mana pemimpin tetapi mengambil pendekatan seperti dituntut Islam iaitu bermesyuarah.

“Tetapi ada seorang lagi bekas pemimpin parti (Tun Dr. Mahathir Mohamad) sampai mahu bakar rumah kita (BN dan UMNO).

“Sedangkan ini rumah yang kita bina bersama-sama, rumah yang memberi perlindungan kepada kita dari terik panas matahari,” katanya.

Disebabkan  itu, tegas Najib, beliau tidak akan sesekali membenarkan Dr. Mahathir meruntuhkan rumah (BN dan UMNO) yang dibina kerana masih banyak yang perlu dilakukan untuk membela rakyat.

“Tetapi kami (pemimpin BN dan UMNO) tidak boleh melakukannya bersendirian, sebaliknya memerlukan sokongan rakyat,” katanya. - Utusan Online

Tun M Bukan Wajah Masa Depan Negara - Najib


KEPALA BATAS 5 Mei - Datuk Seri Najib Tun Razak mengingatkan rakyat yang mana Tun Dr. Mahathir Mohamad tidak mencerminkan atau membawa ‘wajah’ masa depan negara.

Menurut Perdana Menteri, rakyat tidak seharusnya hidup dalam ‘nostalgia’ dengan mengenang zaman 22 tahun pemerintahan pemimpin gabungan pembangkang PKR berkenaan yang sudah tidak relevan kepada negara.

Sebaliknya, kata beliau, rakyat perlu bersama dasar-dasar BN membawa negara ini ke arah masa depan yang lebih baik iaitu menjadi setanding dengan negara-negara maju lain.

“Takkan kita mahu terus hidup dalam nostalgia, sedangkan kita ada banyak perancangan untuk bergerak ke depan, untuk memacu kejayaan dan mengangkat martabat Malaysia supaya sama dengan negara paling maju,” katanya.  

Beliau berucap dalam majlis bertemu rakyat kawasan Parlimen Kepala Batas di Kampung Pasir Gebu, Penaga di sini yang dihadiri barisan calon BN kawasan ini serta lebih 5,000 penduduk tempatan.

Dalam pada itu, Najib turut mengingatkan rakyat berkenaan dasar pembangunan mega  ketika era pemerintahan Dr. Mahathir yang hanya bertumpu kepada bandar seperti membina bangunan pencakar langit, lebuh raya dan sebagainya.

Sedangkan, kata beliau, dasar BN ketika era pentadbirannya memastikan kemakmuran negara dikongsi pelbagai lapisan masyarakat termasuk golongan kurang berkemampuan sebagai contoh menerusi pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BRIM). - Utusan Online

Najib Tiba Di Kepala Batas, Disambut 5,000 Penduduk


KEPALA BATAS 5 Mei - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tiba di Penaga, di sini pagi ini dalam siri jelajah kempen beliau sempena Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) di negeri ini.

Ketibaan beliau yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN)  kira-kira pukul 10 pagi tadi  disambut kesemua calon BN bagi kawasan Parlimen itu diketuai Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.

Turut menyambut beliau ialah lebih 5,000 penduduk setempat serta penyokong BN.

Dalam lawatan separuh hari di negeri ini, Najib kemudiannya akan ke majlis bersama rakyat di Tasek Gelugor dekat sini sebelum pulang ke ibu negara. - Utusan Online

Roslan Utamakan Pembangunan Infrastruktur


KEPALA BATAS – Selepas tiga penggal menjadi wakil rak­yat Pinang Tunggal di sini, Datuk Roslan Saidin boleh dikatakan sa­ngat arif dan memahami keperluan penduduk setempat.

Biarpun berada di kawasan luar bandar, namun pembangunan infrastruktur di Dewan Undangan Negeri (DUN) itu tetap rancak dilaksanakan sama ada dalam bidang keagamaan, pendidikan atau kebajikan rakyat bagi meletakkan kawasan itu setanding dengan tempat-tempat lain.

Malah, melalui pembinaan Kompleks Rakyat Pinang Tunggal yang diilhamkan Roslan sendiri menjadikan kawasan itu tidak terpinggir daripada arus pemba­ngunan.

Menurut calon Barisan Nasio­nal (BN) bagi kerusi DUN itu, pada masa ini sebuah sekolah agama rakyat (SAR), pejabat ja­wa­tankuasa kemajuan dan ke­se­lamatan kampung (JKKK) Per­sekutuan, tadika serta pusat permainan telah siap dibina di kompleks terbabit.

“Bagi melengkapkan kompleks itu, saya merancang membina sebuah gelanggang yang dilengkapi astaka bagi memberi kemudahan kepada penduduk di sekitar kawasan ini.

“Selain itu, saya telah membina beberapa SAR bagi memberi pendidikan agama kepada kanak-kanak di Pinang Tunggal dengan projek terbaharu di Paya Keladi Masjid dan Kampung Selamat,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika mengadakan ziarah di Kampung Air Melintas Besar, di sini hari ini.

Pada program itu, beliau meluangkan masa lebih sejam bertemu penduduk serta beramah mesra dengan warga emas di situ selain mengunjungi Othman Ahmad, 49, yang lumpuh dan warga emas, Din Jusoh, 93.

Tambah Roslan, kemudahan lain yang diusahakan adalah dewan-dewan terbuka di sekolah yang turut boleh digunakan oleh penduduk kampung untuk me­ngadakan kenduri-kendara serta majlis keraian.

Selain itu, jelasnya, beliau me­ngusahakan pembinaan ja­lan-jalan baharu yang menghu­bung­kan kampung ke ta­man-taman perumahan serta di sekitar kawasan pertanian di Pinang Tunggal.

“Atas kepercayaan yang diberikan, saya perlu melipat-gandakan usaha agar semua pihak mendapat manfaat terutama golongan ibu tunggal, orang sakit, warga emas dan anak yatim,” ujarnya. - Utusan Online

Lebih Utamakan Pembangunan


KEPALA BATAS - Biarpun pelbagai tawaran baharu diberikan kepada pengundi oleh pihak-pihak yang berkempen dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14), namun Kepala Batas sentiasa menjadi kubu kuat UMNO dan Barisan Nasional (BN).

Malah, perkhidmatan terbaik yang diberikan oleh wakil rakyat BN sejak sekian lama menjadikan kawasan itu memiliki ‘DNA’ yang tidak mungkin diubah.

Penyandang kerusi Parlimen Kepala Batas, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, rakyat di kawasan itu sememang­nya matang dalam berpolitik kerana tidak mudah terpengaruh dengan isu yang dibawa pembangkang.

“Semua pihak yang berkempen akan membuat tawaran baharu kepada pengundi, namun di benak penduduk Kepala Batas adalah wajah-wajah wakil rakyat yang memberikan perkhidmatan kepada mereka selama ini.

“Pada masa sama, mereka juga tidak mudah terpengaruh dengan isu yang dibawa oleh pembangkang tetapi yang diutamakan oleh mereka adalah agenda pembangunan yang dibawa oleh kerajaan,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika mengadakan ziarah ke Kampung Air Melintas Besar, di sini hari ini.

Tambah Reezal Merican, selepas menjadi Ahli Parlimen di kawasan itu sejak lima tahun lalu, beliau melihat ikatan antara penduduk dan wakil rakyat terjalin kuat setiap kali mengadakan pertemuan sama ada secara santai atau majlis-majlis rasmi.

Jelasnya, apa yang utama adalah khidmat berterusan sejak se­kian lama yang menjadikan nama wakil rakyat sama ada di Parlimen atau Dewan Undangan Ne­ge­ri (DUN) tidak akan lekang daripada ingatan. - Utusan Online

Nor Hafizah Calon Sesuai


TASEK GELUGOR: Orangnya kecil molek dan sentiasa tersenyum manis serta peramah. Sikap itu yang menjadikan calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang Berangan, Nor Hafizah Othman, 42, mudah dikenali dan disenangi penduduk setempat.

Namun di sebalik tubuh kecilnya, anak kedua daripada tujuh adik beradik yang juga seorang peguam itu mempunyai semangat dan jiwa besar bagi membantu penduduk di kawasannya.

Masih bujang, Nor Hafizah yang juga anak tempatan dan dilahirkan di Pokok Tampang, di sini adalah calon yang memang dikenali sebagai seorang yang suka membantu penduduk.

Berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang Dengan Kepujian dari Universiti Islam Antarabangsa (UIAM), beliau pada mulanya bekerja sebagai peguam di sebuah firma, pada masa sama mula berkecimpung dan terjun dalam dunia politik pada 2002.

Menurutnya, secara kebetulan ketika itu penubuhan Puteri UMNO Malaysia diperkenalkan, mereka mencari calon untuk ketua puteri bahagian.

"Saya dipilih sebagai Ketua Puteri Umno Bahagian Tasek Gelugor pada 2001 dan sejak itu saya terpaksa membahagikan masa untuk menjalankan tugas sebagai peguam, selain aktif dalam politik.

"Pada 2005 saya mempunyai firma guaman sendiri dan itu membolehkan saya untuk aktif berpolitik serta banyak meluangkan masa membantu penduduk di kawasan ini," katanya.

Menurutnya, tugasnya sebagai peguam memerlukannya sentiasa berhadapan dengan orang ramai dan hakim hampir setiap hari ketika berada di mahkamah.

"Pengalaman sebagai peguam banyak mengajar saya dalam berpolitik untuk berhadapan dengan penduduk dan juga calon lawan.

"Ini sedikit sebanyak dapat memberi keyakinan ketika berkempen dan bertemu orang ramai.

"Jadi, saya berharap penduduk di sini dapat menyokong saya sebagai anak tempatan yang akan bertanding nanti kerana saya akan terus berkhidmat kepada masyarakat sekiranya dipilih mereka," katanya.

Sementara itu, penduduk Kampung Guar Petai, Mokhtar Aziz, 66, berkata, dia memang gembira dengan perlantikan Nor Hafizah sebagai calon di DUN Permatang Berangan.

"Sebelum beliau dipilih menjadi calon, Nor Hafizah memang daripada dulu lagi suka membantu penduduk di kawasan ini dan kami akan sentiasa menyokongnya," katanya. - Berita Harian

Friday, 4 May 2018

10 Tahun Rakyat Pulau Pinang Rugi


MEMASUKI separuh masa kedua kempen Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), parti politik bertanding sudah semestinya mendapat gambaran awal berhubung kecenderungan pengundi.

Pengamatan tersebut lebih kritikal bagi UMNO Pulau Pinang selaku pembangkang dalam merampas semula negeri itu daripada DAP.

Beban lebih besar digalas Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang, DATUK SERI ZAINAL ABIDIN OSMAN memandangkan hanya parti itu yang berjaya memenangi kerusi di negeri ini pada pilihan raya umum lalu. Dalam wawancara bersama wartawan Utusan Malaysia, MOHD. KHUZAIRI ISMAIL, beliau turut merumuskan pandangannya berhubung 10 tahun 
negeri ini di bawah pentadbiran DAP.

UTUSAN MALAYSIA: Selepas enam hari tempoh kempen, bagaimanakah Datuk Seri melihat situasi di negeri ini?

ZAINAL ABIDIN: ADA beberapa perkembangan menarik yang dapat saya perhatikan sepanjang tempoh berkempen setakat ini, antaranya yang paling ketara adalah ‘tsunami Cina’ yang semakin reda. Jika kita lihat di kebanyakan kawasan di negeri ini, pengundi Cina tidak seghairah atau begitu teruja dengan kempen pembangkang seperti pada dua pilihan raya umum lalu. Paling ketara adalah pada malam kelmarin iaitu ketika ceramah mega DAP yang dihadiri pemimpin utama pembangkang di padang sekolah Han Chiang, Georgetown. Pada Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU-12), kira-kira 30,000 orang membanjiri padang itu yang menyaksikan DAP kemudiannya merampas negeri ini. Begitu juga pada PRU-13 yang mana kira-kira 20,000 orang mendengar ceramah mereka di tempat sama. Tetapi malam kelmarin, hanya antara 7,000 hingga 8,000 orang hadir dan ini pada saya menunjukkan DAP semakin hilang pengaruh ‘tsunami Cina’.

Pada pandangan Datuk Seri mengapakah situasi itu berlaku?

Masyarakat Cina sebenarnya melihat banyak kesilapan dan perkara yang dilakukan Kerajaan DAP Pulau Pinang yang tidak menyenangkan hati mereka. Antaranya dalam isu melibatkan pembangunan, kepadatan rumah yang tinggi, bukit yang ditarah, kesesakan, pencemaran alam sekitar, isu rasuah Ketua Menteri, terowong dan banyak lagi. Isu-isu ini membuatkan mereka memikirkan semula tentang sokongan terhadap DAP. Sekarang mengikut sentimen, kaum Cina yang sebelum ini berada bersama DAP mula kembali kepada kedudukan atas pagar. Sebab itu dalam beberapa hari akan datang iaitu sebelum hari mengundi, kita harap mereka dapat mengubah minda dan diyakinkan untuk bersama BN. Sebab selama 10 tahun sejak DAP merampas negeri ini, kaum Cina dan India tidak diwa­kili oleh pemimpin daripada Kerajaan Pusat dan keadaan ini adalah satu kerugian buat mereka.

Jika BN diberikan kerusi yang cukup dan kita boleh membentuk kerajaan negeri, sudah semesti­nya kita yakin kita dapat menjadi kerajaan yang jauh lebih baik dari­pada DAP ketika ini. Tetapi jika golo­ngan atas pagar belum beralih sepenuhnya kepada BN, tetapi memberi beberapa kerusi tambahan, kita juga boleh jadi pembangkang yang kuat di negeri ini.

Adakah keterlaluan untuk menyimpulkan masyarakat Cina di negeri ini mula kembali kepada BN?

Masyarakat Cina di negeri ini mereka agak berbeza dengan di tempat atau negeri lain. Mereka adalah kelompok pengundi yang menganalisis setiap perkara. Bukannya berdasarkan khabar angin atau sentimen semata-mata. Sebagai contoh pada 1969, sewaktu sokongan masyarakat Cina di seluruh negara bertambah kuat, tetapi masyarakat Cina di sini memilih Gerakan untuk menjadi kerajaan negeri. Tetapi dalam situasi berbeza, mereka juga pernah menolak orang paling berjasa di negeri ini iaitu Tun Dr. Lim Chong Eu yang pernah menjadi Ketua Menteri selama 21 tahun. Orang kedua paling berjasa dalam pembangunan negeri ini iaitu Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon juga pernah ditolak selepas menjadi Ketua Menteri selama 18 tahun. Saya melihat masyarakat Cina di negeri ini berani untuk menjadi berbeza dengan penduduk di negeri lain. Pada waktu DAP begitu kuat di seluruh negara, mereka memilih menyokong Gerakan. DAP misalnya pernah ada satu kerusi DUN sahaja di negeri ini. Tetapi sekarang mereka beri sehingga 30 kerusi kepada DAP dan sekutunya.

Bagaimanakah pula dengan prestasi UMNO negeri ini menje­lang PRU-14?

Bagi UMNO, kita yakin boleh menang sebahagian besar kerusi dan saya setakat ini juga berpuas hati dengan pergerakan jentera dan calon kita. Mereka bergerak secara tersusun dan tanpa masalah dan berjaya tangani lebih awal isu-isu yang mungkin timbul dan boleh mengganggu gerak kerja kita. Saya kira berbanding pilihan raya umum (PRU) dulu, PRU kali ini menunjukkan kita lebih susun dan terkawal sebab kita sudah rancang lama. Ini sebenarnya hanya kerja-kerja akhir (finishing touch) daripada usaha yang kita lakukan sejak beberapa tahun lalu. Kesungguhan jentera UMNO juga saya perhatikan luar biasa dan mereka berpegang kepada semangat yang mana apabila BN dan UMNO serta pemimpin mereka dilihat berada dalam keadaan tercabar, mereka akan bangkit mempertahankan parti dengan semangat kepartian dan kesukarelaan yang tinggi.

Mungkinkah ada ‘tsunami Melayu’ seperti didakwa pembangkang?

Memang ada yang bercakap tentang tsunami Melayu, tetapi tsunami itu kalau betul mahu terjadi akan menunjukkan tanda-tanda awal. Tetapi di Pulau Pinang, kita tidak melihat langsung adanya tanda-tanda itu. Keadaannya (sokongan orang Melayu) di sini sangat tenang, tidak ada gelora.

Ramai melihat Guan Eng lebih gemar berpolitik daripada menjadi Ketua Menteri. Apa panda­ngan Datuk Seri?

ZAINAL ABIDIN: Selama 10 tahun menjadi Ketua Menteri, saya melihat Guan Eng masih tidak dapat keluar daripada kepompong diri sebagai seorang pembangkang. Beliau tidak dapat meletak­kan diri atau berfikir sebagai Ke­tua Menteri. Sebab itu kita lihat segala pergerakan, kenyataan, perancangan dan kehidupannya lebih kepada politik. Ini mungkin kerana beliau dilatih sejak kecil sebagai pembangkang. Sebab itu apabila DAP menjadi kerajaan, Guan Eng tidak boleh tukar pendekatan sebagai pemimpin. Tindak-tanduk beliau juga tidak mencerminkan kewibawaan sebagai seorang Ketua Menteri.

Ini berbeza dengan negeri-negeri di bawah pentadbiran BN yang meletakkan agenda pembangunan, pembelaan serta kese­jahteraan rakyat sebagai perkara utama. Tetapi DAP meletakkan politik itu sebagai keutamaan yang mana bagi saya mereka tersilap meletakkan kepentingan. Pemimpin pembangkang terma­suk DAP sepanjang masa berpolitik sehingga perkara berkaitan rakyat bukan lagi menjadi keutamaan. Selepas 10 tahun, keada­an ini perlu diubah dan penduduk pun sudah penat melihat kelakuan politik mereka. Sebab itu penduduk negeri ini perlu bermula dengan sesuatu yang baharu iaitu memberi semula kepercayaan kepada BN untuk memerintah.

Selama 10 tahun di bawah pembangkang, apakah kerugian penduduk negeri ini yang ‘terpisah’ daripada Pusat?

ZAINAL ABIDIN: Kerugian utama adalah pembangunan tanah dan kelulusan pelan pembangunan. Sejak 10 tahun lalu, Kerajaan Pusat cuba sedaya upaya membangunkan rumah kos rendah, sederhana rendah dan mampu milik kerana memahami kesukaran penduduk memiliki kediaman sendiri. Sejak 2013 sehingga ke hari ini, kita sudah menghantar pelan untuk membina 10,000 unit rumah mampu milik itu kepada kerajaan negeri. Tetapi tiada satu pun pelan itu diluluskan.

Bidang kuasa kelulusan itu di bawah pihak berkuasa tempatan (PBT) yang melalui Jawatankuasa Perancangan Negeri (SPC) yang diketuai Ketua Menteri. Tetapi pelan ini yang dikemukakan oleh tujuh agensi Kerajaan Pusat tidak diluluskan. Selain itu, sebanyak 30,000 unit sedang menunggu untuk dihantar bagi kelulusan perancangan kepada kerajaan negeri sebaik sahaja pelan awal diluluskan. Ini bermakna sekurang-kurangnya 40,000 unit rumah mampu milik boleh dibina untuk dimanfaatkan penduduk tetapi tidak diluluskan kerajaan negeri.

Isu pertukaran tanah pertanian juga antara yang menjadi kebimbangan, apakah pandangan Datuk Seri?

Perkara berkaitan kelulusan per­tukaran syarat tanah pertanian kepada tanah komersial juga menjadi kerugian besar kepada penduduk. Negeri ini ada banyak tanah pertanian seperti di Balik Pulau, Kepala Batas dan Nibong Tebal. Ini adalah tanah pertanian yang berada di kawasan luar bandar dan dimanfaatkan orang Melayu. Tetapi banyak tanah ini sudah ditukar syarat kepada ta­nah pembangunan komersial.

Ini pastinya satu kerugian kepada generasi masa depan sebab apabila semua tanah ini ditukar syarat, orang Melayu khususnya yang berada di luar bandar tidak lagi mempunyai kawasan untuk pertanian. Keadaan ini berlaku kerana kuasa kelulusan terletak pada kerajaan negeri. Kerugian rakyat juga adalah apabila banyak caj diperkenalkan dan dinaikkan kerajaan negeri seperti surcaj dan tarif air, caj tempat letak kereta dan kutipan tol yang masih dite­ruskan meskipun dijanjikan untuk dihapuskan. Selain itu ada juga caj yang dikenakan kepada pemaju. Ini adalah antara sebab mengapa harga rumah di negeri ini menjadi tinggi kerana pemaju memindahkan caj itu kepada pembeli.

Adakah bumiputera mendapat pembelaan sewajarnya?

Perkara bersangkutan dengan ekonomi luar bandar, bantuan usa­hawan atau agenda bumipu­tera tidak dilaksanakan sama ada secara langsung dan tidak langsung. Perkara ini terpaksa diambil alih oleh agensi kerajaan tetapi menerusi skop yang sangat kecil. Jika di bawah Kerajaan Pusat, pembangunan bumiputera menjadi agenda utama. Tetapi sekarang tidak ada agenda bumiputera di bawah Kerajaan DAP Pulau Pinang dan ini adalah kerugian kepada rakyat khususnya orang Melayu.

Adakah ini juga punca mengapa semakin banyak kampung Melayu hilang?

Di bawah BN, kita merancang supaya kira-kira 60 kampung tradisi Melayu yang terletak di tanah rizab dan tanah swasta di negeri ini dipertahankan. Keba­nyakan kampung ini dibuka atau menumpang di atas tanah milik pihak lain dan pada bila-bila masa akan dipindahkan apabila tuan tanah mendapat perintah mahkamah. Malangnya kerajaan negeri tidak bersungguh-sungguh mahu mempertahankan kampung tradisi dan warisan Melayu ini. BN pula berdepan kekangan kerana kerajaan negeri ini tidak sealiran dengan Kerajaan Pusat.meskipun kita ada perancangan untuk menyusun semula kampung-kampung Melayu ini untuk dibangunkan dan dipindahkan dalam menjaga kepentingan penduduk. Setakat apa yang kita termampu hanyalah sumbangan sekali bayar (one-off) untuk dana pembangunan. Tetapi kita tidak mampu menggunakan kaedah sebegini untuk menyelamatkan semua kampung warisan di negeri ini. Sebab itu kita perlukan pendekatan holistik untuk menyelamatkan kampung-kampung ini yang hanya boleh dilakukan sekiranya BN menjadi kerajaan negeri.

Sumber - Utusan Online